Friday, December 16, 2016

Celaan Berpelesiran di Kompleks Beli-Belah




Masyarakat masa kini amat gemar melepak di kompleks beli-belah, "window shopping" bagi mengisi masa lapang. Sebenarnya terdapat beberapa dalil yang menunjukkan celaan ke atas kunjungan yang berlama-lama di pasar atau tempat membeli-belah.

Pertama, hadis dari Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu, Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda,
أَحَبُّ الْبِلَادِ إِلَى اللَّهِ مَسَاجِدُهَا ، وَأَبْغَضُ الْبِلَادِ إِلَى اللَّهِ أَسْوَاقُهَا
Tempat yang paling dicintai Allah adalah masjid dan tempat yang paling dibenci oleh Allah adalah pasar. (HR. Muslim 671).

Imam Nawawi dalam mentafsir hadis ini menyebut "Kerana pasar, umumnya adalah tempat orang curang, menipu, transaksi riba, sumpah palsu, menyalahi janji, tidak ingat Allah, dan aktiviti lain seumpamanya. Manakala masjid adalah tempat turunnya rahmat. (Syarh Shahih Muslim, 5/171).

Seorang sahabat, Salman al-Farisi mengatakan,"Jika boleh, janganlah kamu menjadi orang yang pertama masuk pasar, dan yang terakhir keluar pasar kerana pasar adalah tempat berkumpulnya syaitan dan di sana mereka menancapkan benderanya". (HR. Muslim 2451)

Seorang lagi sahabat, Maitsam radhiyallahu ‘anhu menyebut, "Saya pernah mendengar bahawa Malaikat berangkat dengan membawa bendera untuk menyertai orang yang pertama sekali datang ke masjid. Malaikat terus mendampinginya sampai dia pulang, dan masuk ke rumahnya dengan membawa bendera itu. Sementara syaitan pula berangkat membawa benderanya untuk menyertai orang yang pertama sekali masuk pasar. (HR. Ibnu Abi Ashim dalam al-Ahad wal Matsani, 5/183, dan sanadnya disahihkan al-Hafidz Ibnu Hajar).

Jika nabi dan para sahabat mencela hobi ke pasar pada zaman mereka, sedangkan di zaman mereka hanya lelaki yang ke pasar, tentulah celaan itu lebih berat jika dibandingkan zaman ini yang pasarnya bercampur lelaki perempuan, ada orang mendedah aurat khusus bukan Islam. Bahkan ada kompleks beli-belah yang menyediakan maksiat sebagai hiburan. Siapa berani berkata dia tidak terlihat aurat orang lain jika ke tempat membeli belah?

Ini bukan bermakna kita langsung tidak boleh ke pasar untuk membeli keperluan hidup atau mencari rezeki kerana para nabi pun ke pasar juga.

وَمَا أَرْسَلْنَا قَبْلَكَ مِنَ الْمُرْسَلِينَ إِلَّا إِنَّهُمْ لَيَأْكُلُونَ الطَّعَامَ وَيَمْشُونَ فِي الْأَسْوَاقِ
“Kami tidak mengutus rasul-rasul sebelummu, melainkan mereka sungguh memakan makanan dan berjalan di pasar-pasar.” (QS. al-Furqan: 20)

Tetapi janganlah ke sana hanya untuk berjalan-jalan memenuhi masa lapang, berhibur, seronok lihat itu ini. Untuk memenuhi masa lapang mungkin lebih baik pergi ke tepi laut kerana hadis nabi ada menyebut, melihat laut itu juga diberi pahala, atau melihat alam di taman rekreasi,berkunjung berziarah saudara mara,jiran tetangga, membaca sumber yang membina jiwa terdiri dari buku atau apa saja media yang serupa. Bahkan duduk di rumah bersama keluarga tentu lebih baik. Biarlah tujuan ke kompleks beli-belah hanya kerana membeli keperluan atau mencari rezeki yang baik. Di akhirat nanti akan ditanya bagaimana kita menggunakan masa hidup kita. Wallahua'lam

[Abdul Ghani Haron]


No comments:

Post a Comment