Sunday, December 25, 2016

Berderai Air Mata



Suatu petang, Azhar bersama-sama isteri dan anaknya, Iqram pergi ke pelantar ikan. Isteri Azhar beli udang besar seberat 2 kilo berharga RM70. Di sebelah mereka seorang pakcik sedang mengambil ikan yang agak berbau dan membayar RM2.

Iqram bertanya, "Pakcik hendak bagi makan kucing ke? Ikan tu tak berapa elok, anjing kebun ayah pun tak nak makan, berbau."

Pakcik itu terus gosok kepala Iqram sambil berkata “Anak ni bertuah sebab ayah orang kaya. Boleh beli udang besar, ikan elok. Pakcik anak ramai. Sekarang pakcik tak larat nak toreh getah lagi. Ikan ini baunya sikit saja. Pakcik bukan beli untuk kucing. Pakcik beli untuk keluarga pakcik”.

Azhar tergamam, lalu minta maaf sangat-sangat dengan pakcik itu. Orang-orang di pelantar ikan semuanya terdiam. Iqram menangis dan minta maaf pada Azhar kerana tadi dia menyangka pakcik hendak beri ikan itu pada kucing. Azhar membelikan ketam dan udang besar dan menyerahkannya kepada pakcik itu. Berat juga pakcik hendak menerima tetapi tetapi bila melihat Iqram menangis, dia gosok kepala Iqram dan mengucapkan "Terima kasih."

===============================

Malam tu bila isteri menghidangkan ikan kukus dan udang goreng, terus airmata Azhar berderai. "Apa emak makan apa dekat kampung malam ini?"

Waktu kecil dulu, Azhar juga melalui perkara yang sama. Emak kutip ikan yang tidak sesuai buat keropok di dalam tong ikan untuk lauk mereka sekeluarga. Hari ini Allah S.W.T. memperingatkan Azhar lagi dari mana dia datang. Sebenarnya kesusahan itu nikmat, merasai kesukaran orang lain untuk survival hidup setelah kita mendapat lebihan rezeki-Nya.

Di atas rezeki kita ada hak untuk mereka.

Ya Allah ya Rabb... tetapkanlah hati kami dalam memahami hikmah-Mu, jauhkanlah kami dari sikap bangga diri....

[Sumber: FB Hazaruddin Abdullah]

No comments:

Post a Comment