Thursday, December 1, 2016

Si Hitam Kesayangan Malaikat


Assalamualaikum

Al kisah

Lelaki itu miskin dan berkulit hitam legam, dua kombinasi yang membuatkan pinangannya sering ditolak. Namun keinginan untuk beristeri tetap ada. Kekecewaan itu diadukan kepada pemimpinnya yang sangat disayangi dan dihormati masyarakat.

Lantas pemimpin itu menghantar wakilnya meminang gadis tercantik di kota itu, puteri kepada salah seorang lelaki kenalan pemimpin tersebut.

Pada mulanya ibu bapa si gadis menolak, namun gadis itu berkeras mahu mengahwini si hitam, memandangkan peminangan itu adalah atas arahan pemimpin yang mereka sayangi.

Disebabkan si hitam terlalu miskin, para sahabat pemimpin menghulurkan wang untuk membolehkan dia membeli persiapan perkahwinannya.

Ketika sedang memilih barangan persiapan di pasar, dia terdengar panggilan untuk ke medan perang.

"Musuh sudah tiba! Musuh sudah tiba! Bersiaplah semua untuk berjuang!"

Lelaki hitam terlupa tujuan asalnya hendak membeli barang persiapan bagi perkahwinannya dengan si gadis cantik. Wang yang ada di tangan digunakannya untuk membeli kuda, pedang dan baju perisai. Dan dengan kelengkapan itu dia terus menuju ke barisan hadapan medan tempur.

Namun ajalnya sudah ditentukan. Dia gugur sebagai seorang syahid.

Lelaki hitam itu ialah SA'AD BIN MUAZ. Pemimpin yang dikasihi, Rasulullah s.a.w. menceritakan 70,000 MALAIKAT DI LANGIT DAN DI BUMI MENYAKSIKAN KESYAHIDAN SA'AD, SEHINGGA ARASY DI LANGIT KETUJUH BERGEGAR KERANA TANGISAN PARA MALAIKAT. Walaupun di dunia Sa'ad tidak dapat berkahwin, para bidadari yang jauh lebih jelita menanti kedatangannya di syurga.

Ibrah:

Jangan sedih bila dihina oleh penghuni dunia lantaran keterampilan diri tidak sempurna dari kaca mata mereka, asalkan kita disayangi oleh semua penghuni di langit sana.

Cari redha Allah, bukan redha manusia. Bahagia hakiki bukan letaknya di bumi ini tetapi di syurga sana.

No comments:

Post a Comment