Saturday, December 3, 2016
Pemimpin - Mana Empatimu!
Tidak cukup dengan memahami kesusahan orang bawahan tetapi pemimpin mesti merasai masalah mereka. Untuk merasai kesusahan bawahannya, pemimpin mesti selalu bersama mereka, menjadi pendengar yang penuh simpati dan empati.
Kesalahan pemimpin bermula apabila percaya sepenuhnya kepada pembantu-pembantu rapat tanpa turun sendiri ke bawah untuk mendengar kesusahan dan rintihan bawahannya. Adakalanya pemimpin hanya berdepan dengan 'presenting problem' bukan 'real problem' akibat laporan oleh mereka yang tidak mampu bekerja tetapi hanya pandai mengampu dan bermuka-muka.
Pemimpin mesti punya ketajaman mata hati untuk dapat membezakan antara teguran yang tulus tetapi pahit milik Hang Nadim berbanding ampuan penuh manis tetapi palsu warisan tukang jahit yang menipu dalam kesah Raja tanpa baju!
Semakin tinggi pokok yang dipanjat semakin kuat angin yang menggoyang maka begitulah godaan buat seorang pemimpin...kuantiti harta acapkali menghakis kualiti jiwa.
Wahai pemimpin, intimlah dengan bawahan untuk mengetahui masalah mereka, namun akrablah dengan Allah untuk membantu bawahan menyelesaikan masalah mereka.
Sama ada kau sedang mengorek lubang yang paling dalam untuk lebih jauh kau tenggelam atau kau sedang mendaki puncak untuk jatuh lebih tinggi dan lebih sakit bila terhenyak. Berteriak, bersorak dan ketawalah...namun ingat, 'one who laugh last laugh the best!'
{Pahrol Mohd Juoi]
Rasulullah saw bersabda: "Akan datang masanya kepada umat manusia kebohongan dalam waktu sangat panjang. Pendusta dianggap benar, orang yang benar dianggap pendusta, pengkhianat dianggap orang amanah, orang amanah dianggap pengkhianat, dan ruwaibidah akan berbicara pada saat itu. "
Seseorang bertanya,' Siapakah ruwaibidah itu?' Rasulullah saw berkata, "Orang bodoh yang berbicara mengenai kepentingan orang ramai.: (HR Ibnu Majah).
*Ruwaibidah adalah orang-orang yang rendah komitmennya dalam menegak kebenaran dan mencegah kemungkaran.Walaupun bicaranya mengenai urusan umat, butir bicaranya sekadar pemanis mulut bagi menarik simpati dan perhatian orang ramai.
"Mereka hendak menipu Allah dan orang-orang yang beriman padahal mereka hanya menipu diri sendiri sedangkan mereka tidak sedar." (Surah Al Baqarah ayat 9).
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment