Saturday, December 3, 2016
Balasan Dari Langit
Puan Nikmah adalah isteri kepada Tuan Dholim, seorang penguasa berkedudukan tinggi di Kaherah dan ibu kepada sepasang anak lelaki dan perempuan.
Tuan Dholim bersikap bengis dan sering mendera pembantu rumahnya. Lebih memburukkan keadaan, Puan Nikmah sendiri terikut-ikut perangai suaminya. Kerana tidak tahan ramai pembantu rumah yang melarikan diri.
Pembantu rumah mereka yang terakhir, Sangsar, anak dari keluarga miskin berusia 9 tahun, hanya menangis sendirian menahan kesakitan selepas didera. Dia tidak mampu melarikan diri kerana gajinya sebanyak 20 Pound itu amat diperlukan oleh keluarganya yang daif di kampung.
Akibat deraan demi deraan tanpa sebarang perhatian ke atas keadaan kesihatannya, Sangsar menjadi separuh buta dan menderita sakit. Puan Nikmah bimbang anak-anaknya yang sebaya Sangsar akan dijangkiti penyakit tersebut lalu dihantarnya Sangsar kembali ke kampungnya di kawasan pedalaman Mesir.
Bertahun-tahun berlalu, anak lelaki dan anak perempuan Puan Nikmah pula telah mendirikan rumahtangga. Tuan Dholim juga telah bersara. Namun keadaan hidup mereka penuh kesengsaraan kerana cucu Puan Nikmah separuh buta dan Tuan Dholim sendiri mengidap penyakit skizofrenia sehingga terpaksa dimasukkan ke hospital psikitri.
Timbul keinsafan di hati Puan Nikmah bahawa nasib yang menimpa keluarganya adalah HUKUMAN DARI PEMILIK LANGIT DAN BUMI akibat perlakuan zalim dia dan suaminya ke atas pembantu-pembantu rumah mereka terutama Sangsar.
Dengan mengharapkan keampunan Allah, dia mencari Sangsar kembali. Akhirnya dia berjaya menjejaki wanita muda separuh rabun itu yang bekerja sebagai pencuci di sebuah masjid. Dalam tangisan Puan Nikmah memohon supaya Sangsar sudi kembali hidup bersama keluarganya.
Meskipun memiliki kenangan pahit lagi menyakitkan, Sangsar bersedia memenuhi permintaan Puan Nikmah. Tambahan pula dia merindui anak perempuan Puan Nikmah yang sering bersikap baik kepadanya dulu.
Sangsar hidup di rumah Puan Nikmah bukan lagi sebagai pembantu rumah tetapi dilayan seperti salah seorang ahli keluarga. Puan Nikmah berharap itu dapat menebus kembali dosanya dulu.
Kisah Puan Nikmah yang tersiar di akhbar Al Ahram menerima komentar dari editornya.
"SETIAP AMAL DIBALAS SESUAI DENGAN JENISNYA. Pun begitu, betapa banyak kesalahan dan dosa-dosa manusia dan betapa sedikit dari mereka yang mengambil pengajaran".
Catatan:
Nama-nama yang dinyatakan dalam kisah benar ini adalah nama samaran.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment