Thursday, December 29, 2016

Makmum Masbuq



Semasa solat, Brother Firdaus Wong, Pengasas Multiracial Reverted Muslims menjadi masbuq kepada seseorang. Sepanjang solat, lelaki tersebut langsung tidak menjaharkan (menguatkan) suaranya ketika takbir ataupun pada setiap gerakan.

Seusai solat, mereka berjumpa di luar surau dan sebelum sempat Firdaus bertanya mengapa beliau tidak menjaharkan suaranya, beliau terlebih dahulu bertanya kepada Firdaus, "Tadi abang jadi makmum saya?'

Firdaus mengiyakan pertanyaannya dan bertanya, "Kenapa tadi tidak menguatkan suara ketika solat?"

Beliau menjawab, 'Saya tak pasti abang tadi jadi makmum saya atau tidak sebab abang berdiri sebaris dengan saya.'

Lalu Firdaus mengambil peluang berkongsi dengan dia tentang satu hadis dari Ibnu Abbas, "Aku pernah shalat bersama Nabi shallallahu'alaihi wa sallam pada suatu malam. Lalu aku berdiri di sebelah kiri beliau, kemudian Rasulullah shallallahu 'alaihi wa sallam memegang kepalaku dari belakangku, lalu ia tempatkan aku di sebelah kanannya..." [Shahih Riwayat Bukhari I/177)]

Lelaki tersebut seperti terkejut dan berkata, "Saya tak tahu pasal hadis tu sebab selama ni hanya diajar, kalau solat imam akan ke depan sedikit dari makmum."

Firdaus tersenyum sambil berkata, 'Takpelah, banyak benda pun saya dulu pun tak tahu. Bila kita belajar sikit-sikit, InshaAllah kita akan tahu dan kita berkongsi apa yang kita tahu sahaja."

Beliau mengucapkan terima kasih atas perkongsian ringkas tetapi sebelum beredar, lelaki tersebut bertanya Firdaus, 'Abang ni muallaf ke?'

Firdaus tersenyum dan menjawab, 'Ya saya muallaf. Muallaf 11 tahun.'


(FB Firdaus Wong Wai Hung - Multiracial Reverted Muslims)

No comments:

Post a Comment