Sunday, December 11, 2016
Ibadah Bukan Main-main
Sekian ramai juga umat ini dibuat-buat lupa oleh nafsunya tentang ibadah menolong. Telekung solat dan jubah baharu kerap bertukar ganti. Walaupun beratus ringgit harganya, tidak mengapa. Bukankah demi ibadah juga. Namun apabila ada saudara yang kesusahan, untuk menghulurkan sepuluh ringgit pun berfikir dulu beratus kali.
Apa yang kita cari sebenarnya dalam beribadah? Keredaan Allah atau kepuasan diri? Dalam tidak sedar kita mentafsirkan kehendak Allah mengikut selera sendiri. Rupa-rupanya dalam ibadah pun kita memilih mengikut nafsu.
Andai sahabat Nabi melihat ibadah hanya berupa solat, puasa dan zikir, nescaya mereka tidak akan keluar dari tanah suci. Bukankah pahala solat di Masjidilharam dan Masjid Nabawi beribu-ribu kali ganda daripada tempat lain? Bagaimanapun para sahabat keluar dari bumi suci tersebut, bertebaran di seluruh tempat. Bahkan ribuan sahabat Nabi dimakamkan di luar.
Mereka keluar demi melaksanakan “ibadah membantu”. Jihad; ibadah membantu agama Allah, ibadah membantu manusia kembali mengenal Allah."
xxxxxxxxxxxxx
Menjadi qanaah ketika senang dan kaya adalah jauh lebih sukar berbanding semasa susah dan miskin. Untuk menjadi qanaah secara sukarela tidak semudah menjadi qanaah kerana terpaksa. Maka boleh jadi orang kaya yang qanaah adalah lebih mulia daripada orang miskin yang qanaah.
Maka sudi-sudilah mengukur tahap qanaah diri sendiri. Bimbang kita hanya perasan diri seorang yang qanaah, walhal tidak pun. Semoga Allah mengurniakan kita nikmat qanaah. Amin.
(Muhammad Luqman Makhtar, editor Majalah SOLUSI)
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment