Thursday, December 1, 2016

Mentakzim Keagungan Junjungan s.a.w.



TULISAN: SYEIKH DR MAHMOUD MRGLANI

ISLAM AGAMA TAKZIM

Pembuka kata dan pemula bicara bagi topik yang besar, luas dan agung iaitu tentang mentakzim keagungan dan ketinggian Saiyidina wa Maulana Muhammad صَلَّى اللهُ عَلَيهِ وَسَلَّمَ

Agama Islam yang murni, soheh, suci, yang menyucikan lagi disucikan itu terbina seluruhnya di atas prinsip takzim, ittiba’ (menurut/mentaati), redha dan qabul (menerima).

وَمَن يُعَظِّمْ شَعَائِرَ اللَّهِ فَإِنَّهَا مِن تَقْوَى الْقُلُوبِ.

“Dan barangsiapa mentakzim syiar-syiar Allah maka itu adalah dari inti hati yang bertaqwa” . (Al-Hajj: 32)

قُلْ إِن كُنتُمْ تُحِبُّونَ اللهَ فَاتَّبِعُونِي يُحْبِبْكُمُ اللهُ وَيَغْفِرْ لَكُمْ ذُنُوبَكُمْ وَاللهُ غَفُورٌ رَّحِيمٌ.

“Katakanlah (ya Muhammad): “Sekiranya kamu sekalian cintakan Allah maka ikutlah aku nescaya Allah akan menyintaimu dan mengampuni dosa-dosamu, sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang”
(Ali ‘Imran: 31)

يَوْمَئِذٍ لَّا تَنفَعُ الشَّفَاعَةُ إِلاَّ مَنْ أَذِنَ لَهُ الرَّحْمَنُ وَرَضِيَ لَهُ قَوْلًا.

“Pada hari itu, tidak berfaedah syafaat (dari dan kepada sesiapapun) kecuali dari mereka Yang diizinkan Allah yang maha melimpah rahmatNya, dan kepada mereka yang diredhai perkataannya”
(Thoha: 109)

أُوْلَئِكَ الَّذِينَ نَتَقَبَّلُ عَنْهُمْ أَحْسَنَ مَا عَمِلُوا وَنَتَجَاوَزُ عَن سَيِّئَاتِهِمْ.
“Mereka (yang bersifat dengan sifat-sifat yang terpuji seperti itu) ialah orang-orang yang Kami terima amalnya yang baik yang mereka telah kerjakan, dan Kami ampunkan kesalahan-kesalahannya”
(Al-Ahqaaf: 16)

MEREKA BEKERJA MEROSAK AGAMA

Adapun para agamawan baru hanya mahu menempel segala yang salah, aib, musibah dan fitnah ke atas Islam dan kaum Muslimin Muslimat. Objektif mereka adalah merosak imej kita dari dalam dan luar.

Dari dalam mereka melingkar sebagai kaum Bathiniyyah dan Hasyawiyyah: Dengan semboyan bahawa umat berada dalam kesesatan, syirik, kufur, sembah kubur serta berbagai lagi tohmahan dan kata dusta. Mereka tidak punya dalil apa pun selain kejahilan, sikap melampau dan mengada-ngada dalam pengamalan agama mereka.

قُل أَتُعَلِّمُونَ اللهَ بِدِينِكُمْ وَاللهُ يَعْلَمُ مَا فِي السَّمَاوَاتِ وَمَا فِي الأَرْضِ وَاللهُ بِكُلِّ شَيْءٍ عَلِيمٌ.

“Katakanlah (kepada mereka wahai Muhammad): "Patutkah kamu hendak mengajar Allah tentang ugama kamu? Padahal Allah mengetahui segala yang ada di langit dan yang di bumi, dan Allah maha mengetahui akan tiap-tiap sesuatu" (Al-Hujuraat: 16)

Apa yang mereka lakukan itu tiada kena mengena langsung dengan agama umat ini yang diredhokan oleh Allah untuk kita;

اليَومَ أَكمَلتُ لَكُم دِينَـكُم وَأَتـمَمْتُ عَلَيكُم نِعمَتِي وَرَضِيتُ لَكُمُ الإِسلَامَ دِينًا.

“Pada hari ini Aku telah sempurnakan bagi kamu ugama kamu, dan Aku telah cukupkan nikmatKu kepadamu, dan Aku telah redhakan Islam itu menjadi ugama untukmu sekalian” (Al-Ma’idah: 3)

Kepada mereka saya katakan janganlah kamu dengar lagi mengikut syaitan juga bala tentera dan pengikutnya, sebaliknya dengarlah kata Allah Subhanahu wa Taala:

قُل أَنفِقُوا طَوعًا أَو كَرهًا لَّن يُتَقَبَّلَ مِنكُم إِنَّكُم كُنتُم قَومًا فَاسِقِينَ. وَمَا مَنَعَهُم أَن تُقبَلَ مِنْهُمْ نَفَقَاتُهُم إِلاَّ أَنَّهُم كَفَرُوا بِاللهِ وَبِرَسُولِهِ وَلاَ يَأتُونَ الصَّلاةَ إِلاَّ وَهُم كُسَالَى وَلاَ يُنفِقُونَ إِلاَّ وَهُم كَارِهُونَ. فَلاَ تُعجِبكَ أَموَالُـهُم وَلاَ أَولادُهُم إِنَّمَا يُرِيدُ اللهُ لِيُعَذِّبَهُم بِهَا فِي الْحَيَاةِ الدُّنيَا وَتَزهَقَ أَنفُسُهُم وَهُم كَافِرُونَ. وَيَحلِفُونَ بِاللهِ إِنَّهُم لَمِنكُم وَمَا هُم مِّنكُم وَلَكِنَّهُم قَومٌ يَفرَقُونَ.

“Katakanlah (ya Muhammad): "sama ada kamu menginfaqkan hartamu dengan sukarela atau kerana terpaksa, tidak sekali-kali akan diterima daripada kamu, (kerana) sesungguhnya kamu adalah orang-orang yang fasik". Dan tidak ada yang menghalangi mereka untuk diterima derma-derma mereka melainkan kerana mereka kufur kepada Allah dan RasulNya, dan (kerana) mereka tidak mengerjakan sembahyang melainkan dengan keadaan malas dan mereka pula tidak mendermakan hartanya melainkan dengan perasaan benci. Oleh itu janganlah engkau tertarik hati kepada harta benda dan anak-anak mereka, (kerana) sesungguhnya Allah hanya hendak menyeksa mereka dengan harta benda dan anak-anak itu dalam kehidupan dunia, dan hendak menjadikan nyawa mereka tercabut sedang mereka berkeadaan kafir (untuk mendapat azab akhirat pula). Mereka (yang munafik itu) bersumpah dengan nama Allah bahawa sesungguhnya mereka dari golongan kamu, padahal mereka bukanlah dari golongan kamu, tetapi mereka ialah suatu kaum yang pengecut”
(At-Taubah: 53-56)

Dari luar mereka adalah kaum Khawarij dan Mufsidun (Perosak): Tujuan mereka adalah mencacatkan imej kaum Muslimin dan melempar tuduhan yang berbagai macam, antaranya orang Islam terrorist, pembunuh, bobrok, pelanggar undang-undang, pemberontak yang menentang tamadun dan urbanisasi. Sebenarnya memang itulah yang mereka mahu namun mereka bermain kata dan silap mata kerana mereka bersekutu dengan syaitan yang terkutuk serta para pembantunya dari kalangan jin dan manusia.

وَمَن أَظلَمُ مِـمَّنِ افتَرَى عَلَى اللهِ الكَذِبَ وَهُوَ يُدعَى إِلَى الإِسلامِ وَاللهُ لا يَهْدِي القَومَ الظَّالِمِينَ. يُرِيدُونَ لِيُطفِؤُوا نُورَ اللهِ بِأَفْوَاهِهِمْ وَاللهُ مُتِمُّ نُورِهِ وَلَو كَرِهَ الكَافِرُونَ. هُوَ الَّذِي أَرسَلَ رَسُولَهُ بِالهُدَى وَدِينِ الحَقِّ لِيُظهِرَهُ عَلَى الدِّينِ كُلِّهِ وَلَو كَرِهَ المُشرِكُونَ.

“Dan tiada yang lebih zalim daripada mereka yang mengada-adakan perkara dusta terhadap Allah, sedang ia diajak kepada memeluk Islam; dan (ingatlah) Allah tidak memberi hidayah kepada orang-orang Yang zalim. Mereka sentiasa berusaha hendak memadamkan cahaya Allah (ugama Islam) Dengan mulut mereka, sedang Allah tetap menyempurnakan cahayaNya, sekalipun orang-orang kafir tidak suka. Dia lah yang telah mengutus RasulNya dengan membawa hidayah dan ugama yang benar (Islam), supaya Dia memenangkannya dan meninggikannya atas segala ugama yang lain, walaupun orang-orang musyrik tidak menyukainya” (As-Shoff: 7-9)

No comments:

Post a Comment