Wednesday, December 28, 2016

Kerasukan Syaitan


Syaitan mampu bergerak dalam tubuh manusia dan mempengaruhi tindak-tanduknya. Dalam suasana itu manusia yang dipengaruhi masih dalam keadaan normal. Akan tetapi adakalanya syaitan dapat mempengaruhi manusia hingga mengubah perwatakan dan tingkah lakunya, menjadi seolah-olah orang yang gila. Inilah yang disebut sebagai kerasukan atau histeria.

Firman Allah S.W.T., "Orang-orang yang memakan (mengambil) riba tidak dapat berdiri betul melainkan seperti berdirinya orang yang dirasuk syaitan dengan terhuyung-hayang kerana sentuhan (syaitan) itu." (Surah al-Baqarah (2) ayat 275)

Kerasukan tidak saja terhad kepada orang yang melibatkan diri dalam urusniaga riba, tetapi meluas kepada pelbagai keadaan lain. Pendapat mengenai kerasukan syaitan ke atas manusia terbahagi kepada tiga golongan:

1. Mereka yang menafikannya.

Golongan ini mengatakan kerasukan tidak berpunca dari syaitan, sebaliknya berpunca dari penyakit tertentu seperti gangguan saraf, perubahan hormon, tekanan jiwa (stress) dan sebagainya. Penyakit-penyakit ini dapat dihentikan dengan mengambil ubat.

2. Mereka yang berlebih-lebihan.

Golongan ini mengatakan kerasukan berpunca dari syaitan. Akan tetapi mereka berlebih-lebihan dalam menyandarkannya kepada syaitan. Apa jua perubahan tingkah laku (behaviour) yang dihadapi oleh seseorang itu, mereka menganggapnya sebagai kerasukan syaitan.

3. Mereka yang berada di pertengahan antara golongan pertama dan kedua.

Golongan ketiga ini mengatakan kerasukan boleh berpunca dari penyakit dan boleh juga berpunca dari syaitan. Maka kerasukan pertama (penyakit) dihentikan dengan ubat-ubatan manakala kerasukan kedua (syaitan) dihentikan dengan zikir-zikir yang diajar oleh Rasulullah Shallallahu 'Alaihi Wasallam. Jika tidak pasti kerasukan yang dialami oleh seseorang sama ada berpunca dari penyakit atau syaitan, maka ia dihentikan dengan ubat dan zikir.

Ada pun hujah golongan pertama bahawa kerasukan hanya berpunca dari penyakit, mereka membuktikannya dengan pelbagai penemuan baru tentang apa yang sedang berlaku dalam badan. Bahkan dengan peralatan serba canggih masa kini, mereka dapat menunjukkan secara tepat bahagian saraf yang sedang mengalami gangguan dan keadaan hormon badan yang tidak seimbang. Maka apabila diberi ubat, apa yang dianggap sebagai kerasukan dapat dihentikan.

Akan tetapi, sekali pun dengan segala penemuan dan alat canggih tersebut, tetap timbul satu persoalan yang masih tidak dapat dijawab oleh para pakar perubatan: Mengapa saraf mengalami gangguan dan mengapa sebahagian kelenjar merembeskan hormon secara berlebihan? Benar, bahawa semua itu dapat dihentikan dengan mengambil ubat tertentu. Akan tetapi mengapakah kerasukan berulang apabila ubat habis dimakan?

Jawapannya dapat diperolehi dengan mengkaji peranan syaitan. Apabila syaitan memasuki tubuh badan manusia, ia mampu mengganggu kestabilan saraf dan keseimbangan hormon. Bahkan ia mampu melakukan pelbagai lagi yang tidak dianggap sebagai kerasukan, seperti mematikan saraf (paralyse), menyumbat saluran darah (blood clot) dan merangsang sel-sel tertentu untuk berkembang dengan pantas secara tak terkawal (tumor and cancer). Semua ini amat mudah bagi syaitan dan semua ini akan diakui oleh sesiapa yang mengkaji secara teliti kesemua ciri-ciri syaitan yang dikupas dalam bab ini.

Walau bagaimanapun, ini tidaklah bererti semua penyakit dan gangguan tingkah laku berpunca dari syaitan. Sebahagiannya berpunca dari faktor lain seperti gizi pemakanan yang tidak seimbang, kecederaan fizikal, tekanan jiwa, usia tua dan sebagainya. Ia dihentikan dengan ubat-ubatan doktor pakar manakala apa yang berpunca dari syaitan, ia dihentikan dengan zikir-zikir yang diajar oleh Rasulullah Shallallahu 'Alaihi Wasallam. Jika tidak pasti sama ada kerasukan berpunca dari penyakit atau syaitan, maka kedua-dua kaedah digunakan serentak untuk menghentikannya.

Seterusnya, peranan syaitan dalam menyebabkan kerasukan kepada manusia terbahagi kepada dua kategori:

Kategori Pertama:

Kerasukan yang dilakukan oleh syaitan berdasarkan kemahuannya sendiri. Sengaja syaitan merasuk manusia untuk menyesatkannya, mengkafirkannya, mensyirikkannya dan memasukkan mangsa tersebut ke dalam neraka. Semua ini dapat dicapai oleh syaitan apabila mangsa atau orang di sekelilingnya cuba mengubati kerasukan itu dengan cara yang berbeza dari tunjuk ajar Rasulullah, bahkan dengan cara yang dilarang oleh Islam.



Kategori Kedua:

Kerasukan yang dilakukan oleh syaitan berdasarkan perintah tuannya. Ini disebut sebagai sihir. Sihir adalah satu tindakan jahat yang memerlukan dua unsur utama:

1. Manusia sebagai ahli sihir sekali gus merangkap jawatan “Tuan”. Syaitan sebagai khadam yang melakukan kerja sihir yang diperintah oleh tuannya. Melalui sihir syaitan dapat mencapai beberapa objektifnya. Secara terperinci:

Objektif Menyesatkan:

Apabila orang yang terkena sihir berubat, lazimnya mereka tidak tahu cara perubatan sahih yang diajar oleh Rasulullah Shallallahu 'Alaihi Wasallam. Mereka berjumpa dengan mana-mana bomoh atau pengamal perubatan Islam yang masyhur di sisi masyarakat untuk berubat dan menerima apa saja kaedah perubatan yang diberikan olehnya. Bahkan mereka tidak tahu apakah maksud jampi-jampian yang dibacakan ke atas mereka. Akibatnya, mereka telah meninggalkan jalan Rasulullah kepada jalan lain yang menyesatkan.

Objektif Memusyrikkan:

Apabila orang yang terkena sihir berubat, lazimnya mereka meletakkan keyakinan bahawa pengaruh kesembuhan adalah dari bomoh atau pengamal perubatan yang sedang mengubatinya beserta bacaan-bacaan jampi mereka. Padahal satu-satunya pengaruh untuk kesembuhan ialah Allah Subhanahu Wa Ta'ala. Apabila keyakinan seseorang terhadap kuasa yang dapat memberi manfaat dan mudarat kepadanya beralih dari Allah kepada sesuatu yang lain, dia telah syirik kepada Allah.

Objektif Mengkafirkan:

Satu contoh mudah, apabila Jamal ingin berbuat jahat kepada Jamilah, dia akan menemui seorang ahli sihir bernama Ahmad dan menyampaikan hajatnya. Ahmad akan memerintah khadamnya, yakni syaitan, untuk membuat apa yang dihajatkan oleh Jamal ke atas Jamilah. Perbuatan itu pelbagai, dari muntah darah, gangguan pemikiran sehinggalah kepada kerasukan. Inilah yang lazim disebut sebagai “kena buat orang!”

Untuk melawan buatan sihir itu, Jamilah akan pergi menemui seorang ahli sihir lain bernama Kamal dan menyampaikan hajatnya. Kamal akan memerintahkan khadamnya, yakni syaitan, untuk membuatkan apa yang dihajatkan oleh Jamilah ke atas Jamal. Demikianlah ia berulang antara Jamal dan Jamilah.

Dalam contoh di atas, syaitan berjaya mengkafirkan kesemua Jamal, Jamilah, Ahmad dan Kamal. Sekali pun syaitan disebut sebagai “khadam”, sebenarnya ia adalah tuan kepada semua yang terbabit, termasuklah Ahmad dan Kamal. Syaitan hanya berpura-pura menjadi khadam asalkan dengan itu tercapailah objektifnya untuk mengkafirkan manusia.

Sesiapa saja yang terlibat dengan sihir, sama ada untuk menyihir atau melawan sihir dengan sihir, akan menjadi kafir berdasarkan firman Allah Subhanahu Wa Ta'ala yang bermaksud : "Mereka mengikut ajaran-ajaran sihir yang dibacakan oleh puak-puak syaitan
dalam masa pemerintahan Nabi Sulaiman, padahal Nabi Sulaiman tidak mengamalkan sihir yang menyebabkan kekufuran itu, akan tetapi syaitan itulah yang kafir (dengan amalan sihirnya); Kerana merekalah yang mengajarkan manusia ilmu sihir dan apa yang diturunkan kepada dua malaikat: Harut dan Marut, di negeri Babil (Babylon), sedang mereka berdua tidak mengajar seseorang pun melainkan setelah mereka menasihatinya dengan berkata:
“Sesungguhnya kami ini hanyalah cubaan (untuk menguji imanmu), oleh itu janganlah engkau menjadi kafir (dengan mempelajari sihir).”(Surah al-Baqarah (2) ayat102)

Objektif memasukkan ke dalam neraka:

Orang yang berurusan dengan sihir akan menerima padah yang buruk di Hari Akhirat, termasuk diazab di dalam neraka.

Allah Subhanahu wa Ta'ala berfirman maksudnya : "Dan sebenarnya mereka mempelajari perkara (sihir) yang hanya membahayakan mereka dan tidak memberi manfaat kepada mereka. Dan demi sesungguhnya mereka telahpun mengetahui bahawa sesiapa yang memilih ilmu sihir itu, tidaklah lagi mendapat bahagian yang baik di Akhirat. Demi sesungguhnya amat buruknya apa yang mereka pilih untuk diri mereka, kalaulah mereka mengetahui." (Surah al-Baqarah (2) ayat 102)

Buku-buku membicarakan tentang sihir, sila kaji buku-buku berikut:

1. ‘Abd al-Salam al-Syukri – al-Shir bain al-Haqiqah wa al-Wahm fi al-Tashawwur al-Islami (edisi terjemahan oleh Tirmidzi & Sari Narulita atas judul Bedah Tuntas Sihir; Pustaka Qalami, Jakarta, 2004).

2. Muhammad ‘Umar Sulaiman al-Asyqar – ‘Alam al-Sihr wa al-Sya’wadzah (edisi terjemahan oleh Munirul Abidin atas judul Candu Mistik: Menyingkap Sihir dan Perdukunan; Darul Falah, Jakarta, 2005).

3. Ibrahim ‘Abd al-Alim – ar-Radd al-Mubin ‘ala Bida‘i al-Mu‘alijin (edisi terjemahan oleh Masturi Irham & Abdurrahman Salih atas judul Rujukan Lengkap Masalah Jin dan Sihir; Pustaka al-Kautsar, Jakarta, 2005).

No comments:

Post a Comment