Friday, December 2, 2016

Kasihanilah Masyarakat Orang Asli


[Surat luahan hati orang asli selepas dibebaskan dari penjara kerana kesalahan mengepung kawasan adat mereka dari dimasuki pekerja balak di Kelantan. Foto ehsan Mohd Faizal]

"Kamu marah bila kami panggil wilayah kami sebagai tanah adat. Tapi kamu tolak permohonan kami walau tanah TOL pun! Walau kami dah duduk situ zaman sebelum orang putih. Kubur kami usia ribu tahun.

Kalau kamu luluskan tol, kami panggil tanah kami tanah tol, lulus geran, kami panggil tanah kami bergeran! Kamu kata cadangan dah lulus. Belas tahun kami dengar alasan itu. Kenapa tak warta? Kenapa tak buat? Guna alasan kampung lain yg luluskah? Guna penghulu tanpa kampung yg dapat gaji kerajaankah? Berpuluh lagi kampung kami susah sangatkah nak susun semula? Wartakan, bagi geran. Kalau tuntutan kami tidak tepat, betulkanlah, berundinglah, takut jubah kotorkah?

Kamu suruh patuh undang2 tapi undang2 kamu yg buat. Undang2 kamu lindungi siapa? Syarikat singaporekah? Syarikat taiwankah?
Jangan jual agama pada kami. Tuhan kamu bukan Allah tapi kapitalisme. Kamu yg tentukan siapa yg boleh tanam sayur sape tak boleh, siapa boleh tebang pokok, Siapa tak boleh. Kalau potong tangan hudud pun, kamu yg tentukan siapa kena, siapa terlepas, siapa pencuri, siapa bukan?

Jangan bawa cerita nabi pada kami. Kenapa kamu tidak susah macam nabi? Kamu susahkan org lain pula. Cuba kamu hidup 24 jam di tempat kami. Minum air kami yg kamu kotorkan. Buat susu bayi kamu guna sungai kami yg kamu cemarkan racun itu. Basuh baju keluarga kamu. Takut nyamuk, takut pacat, atau takut racun?"


SATU PENELITIAN TERHADAP PEMBALAKAN DAN PENAHANAN ORANG ASLI DI KELANTAN: ANTARA PERSEPSI ATAU FAKTA?

Saya mempunyai penelitian awal terhadap kes pembalakan dan penahanan orang asal yang berlaku di Kelantan yang saya ingin kongsikan kepada semua.

Beberapa persepsi yang ditabur turut mungkin memberi kesan kepada saya dalam penulisan kali ini. Saya akan cuba membuat klarifikasi terhadap persepsi tersebut. Dan penjelasan ini juga boleh disanggah dengan fakta yang lebih baik, lebih benar dan lebih tepat. Saya cuba menggunapakai laras bahasa yang paling mudah difahami oleh umum.

Saya tidak mahu membawa isu perbincangan ini dalam skop perbincangan yang remeh temeh seperti negeri asal aktivis Orang Asli yang ditahan. Tetapi, saya akan membawa perbincangan ini kepada beberapa titik persoalan yang penting.

Antara persoalan yang timbul adalah, adakah kerajaan Kelantan sangat zalim tidak memberikan pemfokusan langsung kepada kebajikan Orang Asli terutamanya selepas PAS mentadbir Kelantan selama dua dekad? Saya cukup terkilan dengan beberapa figur yang tidak cermat membuat persamaan kerajaan Kelantan sebagai rejim zalim, Zionis dan lebai kapitalis. Adakah ini patut?

Kedua, adakah aktiviti pembalakan yang sedang berlangsung memberi kesan secara terus kepada penempatan Orang Asli hingga menyumbang kemusnahan samaada secara total ataupun tidak menyeluruh? Namun, jika diteliti dari sudut fakta. Kawasan pembalakan dengan penempatan orang asli berjarak hampir 40 kilometer hingga 60 kilometer. Seperti jarak Gombak dengan Bangi. Ia adalah satu jarak yang agak jauh dan tidak seperti yang digambarkan, aktiviti pembalakan dijalankan di penempatan Orang Asal. Namun, saya juga secara peribadi berpandangan jarak ini sudah ideal dan tidak perlu ada campurtangan tambahan pada masa akan datang kerana ia boleh menjejaskan ekosistem habitat semulajadi termasuk menyumbang kepada pencemaran sungai yang menjadi sumber bekalan air Orang Asli terutamanya.

Ketiga, adakah blockade yang dibuat beberapa kelompok Orang Asli tersebut menggambarkan pendirian seluruh penduduk Orang Asli? Tetapi pada masa yang sama hampir semua ketua kampung Orang Asli sudah membuat laporan polis berikutan kewujudan blockade menghalang aktiviti keluar masuk Orang Asli sendiri, dan laporan tersebut juga turut memuatkan beberapa butiran berkaitan campur tangan orang luar dan pengaruh pihak tertentu.

Keempat, adakah Kelantan tidak mengamalkan toleransi yang baik dan tidak memberi ruang kepada suara Orang Asli? Setahu saya Kerajaan Kelantan sudah mengadakan beberapa siri turun padang ke kawasan pendalaman berikutan laporan daripada akhbar akhbar tempatan. Saya juga mengambil kira persoalan, adakah sesebuah kerajaan perlu melunaskan semua permintaan dan permohonan satu satu kelompok baru dikira adil dan toleransi? Sebagai contoh, kali ini kelompok tersebut yang dikatakan mewakili suara orang asal ada memohon kepada kerajaan supaya diberikan puluhan ekar tanah kepada setiap keluarga Orang Asli untuk diisytiharkan sebagai tanah adat sedangkan jumlah tersebut terlalu tinggi untuk ditunaikan. Jika sesebuah kerajaan tidak menunaikan kesemua permintaan sesuatu kelompok, pada masa yang sama kerajaan tersebut telah dan sedang menunaikan sebahagian tuntutan tertentu serta pada masa yang sama sedang memberikan alternatif lain yang boleh mencapai objektif yang sama kepada tuntutan tersebut. Adakah kerajaan tersebut masih dikira tidak toleransi dan zalim? Sebagai contoh, berpandukan seksyen 62 Kanun Tanah Negara sebagai usaha bertujuan membangunkan dan memajukan Orang Asli, Kelantan telah bersetuju mewartakan dua lagi tambahan (asalnya satu di Jeli berkeluasan 606 ekar) tanah kerajaan sebagai tapak perkampungan dan penempatan Orang Asli dengan keluasan hampir berjumlah 1600 ekar di mukim Tepi Sungai, Jeli dan 580 ekar di mukim Nenggiri, Gua Musang. Ketiga tiga kawasan tersebut diserahkan kepada Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) sebagai tapak untuk dibangunkan sebagai penempatan Orang Asli dan JAKOA ditugaskan untuk menyediakan infrastruktur dan fasiliti yang baik kepada Orang Asli.

Kelima, kenapa Orang Asli yang ditahan menerima layanan seperti orang bersalah digari dan ditahan dalam lokap? Saya kira hal ini merupakan SOP biasa dan tidak melanggar mana mana dari perundangan dalam operasi pihak penguatkuasa tersebut. "One is innocent until is proven guilty." Ditahan dan melalui soal siasat oleh pihak polis tidak bererti bersalah. Kita jangan mudah terpengaruh dengan sentimen tidak berasas. Kita tidak mahu sesuatu perkara dan kehendak disampaikan melalui jalan jalan yang tidak bertepatan dengan undang undang. Tetapi, mungkin kalau kita bercakap melalui sudut perbincangan kemanusiaan boleh membawa kepada pandangan yang berbeza. Hal ini juga membawa kepada perbincangan "what is legally right not necessary morally right." Kerana, pada prinsipnya tidak semua undang undang menjadikan moral sebagai justifikasi utama kepada kewujudannya. Setiap perundangan berfungsi untuk memenuhi keperluan sesebuah masyarakat (societal necessities), keselamatan penduduk (safeguarding the society), pentadbiran dan pengurusan sumber dalam sesebuah komuniti (engineering society) serta mengekalkan struktur yang baik dalam masyarakat (maintaining a good order in the society). Undang undang boleh juga menjadi garis panduan moral dalam sesuatu kelompok. Namun, ia juga satu praktis yang biasa di peringkat global sekalipun terdapat undang undang yang mungkin mempunyai atau mungkin tidak mempunyai kesemua elemen dan fungsi tersebut dengan memberikan pemfokusan kepada satu fungsi sahaja

Keenam, fakta nombor hasil dapatan daripada sumber pembalakan di Kelantan juga perlu diberikan perhatian. Adakah pembalakan di Kelantan benar benar tidak terkawal seperti yang cuba digambarkan? Jangan bandingkan Kelantan dengan Negeri Sembilan atau Melaka yang mempunyai taburan hutan tropika yang sedikit (pada asalnya kawasan ini secara tradisinya asal hutan juga dan telah dibangunkan oleh pihak-pihak pemaju dan dibina bangunan bangunan serta premis). Saya tidak memilih untuk mengatakan pentadbiran Kelantan terhadap pengurusan sumber alam di tahap yang terbaik dan sempurna kerana di sana pasti wujud ruang yang boleh diperbaiki demi kepentingan bersama terutamanya apabila melibatkan kerjasama antara kerajaan negeri dengan Jabatan Perhutanan dan had kelulusan untuk membalak mengikut tahunan. Kekurangan seperti yang dinyatakan dalam satu kertas kerja kajian bertajuk "An Insight to the Kelantan Timber Industry (a Need for Better Governance) yang dilakukan oleh Centre to Combat Corruption and Cronyism Northern Unit perlu diberikan perhatian yang hemah dan ditambah baik secara berkala. Mengikut statistik pula, Sarawak mengaut hasil tertinggi melalui industri balak dengan kutipan sebanyak hampir RM600 juta (10 kali ganda kutipan di Kelantan), Sabah dengan hasil hampir RM200 juta, manakala Terengganu di tempat ketiga dengan kutipan mencecah RM71 juta dan Perak RM63 juta kemudian diikuti Kelantan dengan jumlah RM61 juta. Namun, saya secara peribadi juga berpandangan projek penebangan hutan perlu dikurangkan di semua territori terbabit untuk mengelakkan bencana alam (natural calamities) seperti pencemaran sungai, tanah runtuh dan kemusnahan struktur tanah. Selain itu, pihak berkuasa perlu mencari jalan meletakkan limitasi dan mengurangkan kelulusan pembalakan secara berkala demi menjaga alam sekitar kerana alam merupakan amanah daripada Allah swt. Saya juga tidak nafikan dan menghargai usaha Kelantan yang sedang meletakkan hal ini sebagai fokus dan telah membuat penambahbaikan dari semasa ke semasa.

Ketujuh, berbalik kepada perbincangan "what is legally right not necessary morally right." Jika undang undang sedia ada yang telah wujud mendatangkan satu implikasi yang bersalahan dengan nilai moral seperti yang didakwa sebagai contoh SOP penahanan dan kodifikasi undang undang yang terkandung dalam Akta Perhutanan atau Kanun Tanah Negara tidak selari dengan nilai moral, maka bolehlah datangkan satu alternatif lain yang mungkin lebih bermoral. Cuma, fungsi undang undang tidak semestinya berlandaskan nilai moral kerana pada umumnya setiap pihak mempunyai definisi tersendiri terhadap apa itu bermoral dan tidak bermoral, berasaskan ideologi ideologi yang dianuti dan posisi masing masing. Bagi pihak penguatkuasa, mengikuti SOP untuk operasi penahanan seperti menggari dan membawa tahanan ke dalam lokap merupakan satu perkara yang bermoral bagi mereka pihak polis. Senario berbeza apabila mereka bertindak di luar batasan undang undang seperti pihak penguatkuasa memukul secara rambang dan membuat penahanan yang bersalahan dengan peraturan serta tidak membenarkan tahanan untuk mendapatkan khidmat peguam sebagai jurucakap undang undang mereka. Tindakan tersebut barulah dikira tidak bermoral dan tambahan sangat bersalahan dengan undang undang. Selain itu, saya menyambut baik cadangan rakan saya Ahmad Fahmi Mokhtar agar kes ini dibawa kepada mahkamah agar mahkamah dengan sifat adversarialnya memberikan locus standi kepada kedua dua pihak dan mahkamah juga boleh memberikan keadilan serta menyampaikan hak hak kepada pihak yang selayaknya. Tambahan, pihak kerajaan di peringkat persekutuan dan negeri serta pertubuhan badan bukan kerajaan pula boleh menyediakan satu draf undang undang bertujuan meminda undang undang sedia ada sebagai garis panduan dan mungkin juga mereka boleh mengusahakan satu modus operandi tertentu yang secara tuntasnya akan memberikan keuntungan kepada semua pihak terutamanya, kerajaan dan orang asal memandangkan KEBAJIKAN ORANG ASAL PERLU DIBERIKAN FOKUS dan dalam masa yang sama TIDAK MEMANGSAKAN KERAJAAN NEGERI yang sedang mentadbir dengan sentimen dan tuduhan yang prejudis melulu.

Setakat ini tujuh premis terlebih dahulu yang saya boleh utarakan. Pandangan ini bukanlah bererti satu cut off kebenaran tetapi boleh dibincang dengan fakta fakta lain.

[Pendapat oleh Tuan Badiu'zzaman Tuan Halizan, Pelajar Jurusan Undang-undang]

No comments:

Post a Comment