Wednesday, December 14, 2016

Pesanan Buat Pemimpin



Assalamualaikum

Al Kisah

Baju perang itu kelihatan kotor sekembalinya Amirul Mukminin Khalifah Ali r.a.dari medan perang. Ia digantung di luar rumah sementara Khalifah Ali masuk ke dalam untuk mengambil peralatan pembersihan.

Beberapa minit kemudian beliau keluar semula dengan peralatan pembersihan. Namun beliau terasa hairan, "Eh, ke mana pula perginya baju perangku tadi?"

Bila ditanya, tiada seorang pun dari anggota keluarganya yang tahu. Bahkan mereka turut kehairanan.

Khalifah Ali berkunjung ke pasar. Sehelai baju perang yang kelihatan serupa dengan baju perang miliknya tergantung di sebuah gerai milik seorang peniaga Yahudi. Bila ditanya, Yahudi itu bermati-matian mengatakan baju perang itu miliknya. Khalifah Ali r.a. yang berasa tidak puas hati lalu mengadukan hal itu kepada Hakim Qhadi.

Setelah beberapa hari kes itu pun dibawa ke muka pengadilan. Khalifah Ali r.a. bertindak sebagai pendakwa. Peniaga Yahudi hadir dengan perasaan risau memandangkan dia bakal berdepan dengan seorang PEMIMPIN ISLAM yang berpengaruh. Tambahan pula Hakim Qadhi juga seorang Muslim.

Semasa sesi mahkamah sedang berlangsung, Khalifah Ali gagal membuktikan baju perang itu miliknya. Kesaksian dari anggota keluarganya juga ditolak. Akhirnya Hakim Qadhi memutuskan kes itu dimenangi oleh peniaga Yahudi.

Kemenangan itu membuat peniaga Yahudi tersentak. Lalu dengan rasa bersalah dia menghampiri Khalifah Ali dan memulangkan baju perang itu. Dia mengaku mencurinya kerana terpaksa mencari wang untuk menyara keluarganya yang susah.

Baginya pengadilan Muslim sangat luar biasa. Ternyata mahkamah yang berlandaskan hukum Allah itu tidak memandang statusnya yang bukan Muslim lagi miskin sedangkan pendakwanya adalah seorang PEMIMPIN BESAR.

"Wahai Khalifah Ali, mulai saat ini aku memeluk agama Islam dan aku berazam untuk menjadi seorang Muslim yang baik."

Dengan penuh bersemangat Khalifah Ali menjawab, "Kamu ambillah baju perang ini. Saya hadiahkannya kepada kamu. Saya gembira dengan keIslamanmu."

Peniaga Yahudi dan Khalifah Ali pulang dengan rasa amat gembira dan puas hati.

Kesimpulan

KEADILAN ADALAH MAGNET YANG DAPAT MENUNDUKKAN NURANI KEMANUSIAAN.

No comments:

Post a Comment