Monday, May 19, 2014

Menuntut Ilmu

serenemaklong.blogspot.com
Imam Syafie, seorang ilmuan Islam yang mementingkan ilmu. Dalam sebuah tulisan beliau pernah menulis: “Belajarlah…! Kerana seseorang itu tidak dilahirkan dalam keadaan sedia berilmu. Tidak sama bersahabat bersama orang berimu dengan orang tidak berilmu. Sesungguhnya pemimpin besar kepada sesuatu kaum tapi tidak berilmu, dia sebenarnya kecil dan lemah tatkala dikerumuni gerombolah tentera yang ramai.” Untuk menuntut ilmu, beliau berhijrah dari tanah kelahirannya di Palestin menuju Makkah, kemudian pergi menemui Imam Malik di Madinah, sanggup mengembara ke Iraq dan Mesir semata-mata kerana hendak mendapatkan satu hadis. Beliau belajar tanpa sebarang kemudahan, menggunakan air liur bagi menggantikan dakwat. Pun begitu beliau tidak pernah mengeluh kelelahan.
Dalam zaman serba canggih seperti sekarang, banyak kemudahan belajar siap tersedia, tetapi ramai pelajar masih merungut keletihan dan bosan. Hakikatnya, mereka bukan letih kerana belajar, sebaliknya hati tidak dapat ditumpukan kepada pelajaran dek banyaknya terhidu racun hedonisme (hiburan melampau lagi melalaikan) yang berlambak di sana sini. Tugasan pelajaran yang datang bertimpa-timpa, ditambah dengan tugasan luar kerana persatuan atau urusan peribadi yang menyebabkan pelajar terasa terhimpit masih tidak boleh disamakan dengan susah payah para ilmuan dahulu kala.
Ramai yang terlupa bahawa di banyak negara, rakyatnya sangat-sangat dahagakan ilmu kerana hanya itulah cara untuk keluar dari kelompok kemiskinan dan penganiayaan penzalim. Di Syria dan Palestin contohnya, anak-anak tetap mahu ke sekolah, serangan yang berlaku sedikit pun tidak mematahkan semangat mereka. Bandingkanlah dengan keadaan pelajar kita di sini. Sungguh-sungguh rugi!!!
Berhibur tidak salah, bahkan ada sebuah hadis dari Aisyah r.h.a menyatakan bahawa pada hari raya Fitri atau Adha, bapanya, Saiyidina Abu Bakar masuk ke rumah Aisyah ketika Rasulullah s.a.w. sedang berada di sisinya. Ketika itu ada dua orang penyanyi wanita sedang menyanyi lagu kebanggaan kaum Ansar pada Hari Bu’ath (peperangan antara Aus dan Khazraj). Abu Bakar berkata,” Suara syaitan” sebanyak dua kali. Selepas itu Nabi s.a.w. bersabda,” Biarkan mereka wahai Abu Bakar. Setiap kaum ada hari raya (untuk berhibur) dan sesungguhnya hari ini adalah hari kita.” HR Bukhari dan Imam Muslim.
Saidina Ali Bin Abi Talib k.r.w. berkata, “ Sesungguhnya hati akan bosan (letih dan lelah) sama seperti anggota badan (letih bila sibuk bekerja). Oleh itu carilah segi-segi kebijaksanaan demi kepentingan (kerehatan dan hiburan) untuk hati, istirehatkan hatimu sekadarnya, sebab hati itu apabila tidak suka (lantaran kepenatan) ia boleh menjadi keras.” Kerehatan hati (hiburan) berfungsi sebagai dorongan untuk bekerja lebih gigih, sama ada dalam urusan dunia mahupun akhirat bermatlamatkan keredhaan Allah. Sebaik-baiknya cara mendapatkan kerehatan ialah dengan zikir dan selawat.
INFO: Nabi s.a.w. bersabda: “Barangsiapa berasa susah (dalam) menuntut ilmu, maka hal itu merupakan kifarah (penebus) bagidosa-dosanya yang lalu.” (HR Imam Tarmizi). Daripada Abu Darda’ r.a. katanya; “ Aku telah mendengar Nabi s.a.w. bersabda: “Barangsiapa yang menjalani satu jalan (menuntut) ilmu bererti dia talah menjalani suatu jalan daripada jalan-jalan menuju syurga. Sesungguhnya para malaikat menghamparkan sayapnya kerana redha bagi orang yang menuntut ilmu. Dan sesungguhnya seluruh makhluk (manusia, malaikat dan lain-lain makhluk) yang berada di seluruh lapisan langit dan bumi memohon ampun bagi orang yang berilmu sehingga ikan yang ada di dalam lautan (turut sama memohon ampun). (HR Imam Abu Daud). [KREDIT FOTO:Steve Mc Currys ~Stolen Childhoods]

No comments:

Post a Comment