Wednesday, May 21, 2014
Bukti Islam Tidak Dimusuhi Jika Ia Tidak Dicemari
Ahad lalu, ketika para Doktor sukarelawan dari hospital Kajang dan Serdang melakukan program pemeriksaan kesihatan percuma, kami menerima tetamu tak terduga. Beliau ialah En. Sun Zhen, berbangsa Thionghua yang juga merupakan salah seorang AJK sebuah persatuan agama Buddha. Beliau datang bersendirian dan secara spontan sahaja tanpa sebarang temujanji. Kebetulan, beliau ini mengenali Pak Nik Mat, salah seorang pengasas kami melalui mendiang seorang nenek berbangsa Tionghua yang telah beliau jaga dan rawat buat sekian lama sewaktu sakitnya hinggalah meninggal dunia. Tertarik dengan penceritaan tentang konsep yang diamalkan di RPWP sehingga sanggup menjaga seorang nenek tua berbangsa Tionghua dengan baik hingga hujung hayat itu lalu beliau datang sendiri untuk melihat bukti kehidupan di RPWP. En Sun Zhen seterusnya diberikan penerangan tentang konsep RPWP yang tidak memandang beza warna kulit, kaum dan juga agama. Kita semua manusia dan setiap manusia perlu menggunakan kasih sayang sebagai bahasa utama. Sebelum ini kami juga pernah menerima sumbangan telekung dan baju Melayu dari wakil Sekolah Cina kajang.
Setelah beliau di bawa ke belakang rumah kami, iaitu di kawasan pembinaan fasa kedua, beliau terkejut bila sukarelawan kami menyatakan kayu-kayan yang digunakan adalah pemberian Mr. Fong, seorang lelaki berbangsa Cina dan beragama Buddha juga. Beliau yang dahulunya seorang jurutera telah bermurah hati berkongsi pengalaman tentang kekukuhan bangunan melalui ciri-ciri kejuruteraan. Saranan beliau dibenarkan oleh salah seorang pengasas kami yang juga berlatarbelakangkan kejuruteraan sivil. Perkongsian turut berkisar tentang pentingnya menekankan ciri-ciri keselamatan. Sebenarnya 1Malaysia yang dipromosikan kerajaan sekarang telah lama bertapak di sini secara praktikal, faham beliau. Beliau yang dahulu seorang jurutera perkapalan dengan pendapatan yang sangat tinggi pernah hanyut dengan pelbagai aktiviti hiburan dan kini beliau telah kembali melakukan apa yang sepatutnya manusia lakukan. Hidup bukan sekadar untuk diri sendiri dan bukan sekadar untuk berhibur sebaliknya untuk meninggalkan jasa dengan menabur khidmat. Usaha itu ada di RPWP, ujar beliau. Beliau amat terkesan dengan komitmen pengasas-pengasas RPWP yang sanggup melaburkan umur, harta dan diri mereka untuk bekerja tanpa bayaran gaji bagi pembangunan sebuah komuniti yang beliau lihat sangat baik sekali (Alhamdulillah). Beliau juga menyatakan bahawa keberadaan kami di RPWP sekalipun berpaksikan Al-Quran dan Sunnah, tetapi jurang agama itu tidak langsung beliau rasai. Aura kasih sayang sesama insan amat jelas terasa. Perbualan antara En Sun Zhen dan beberapa wakil RPWP di hujung lawatan beliau berlangsung di ruang dapur. Beliau juga dijemput untuk makan tengahari bersama kami namun hanya menjamah roti sahaja kerana beliau adalah seorang Vegetarian. Sekalipun urusan makan juga RPWP agak sensitif dengan penganut Buddha yang tidak memakan daging (vegetarian). Namun kami minta maaf sangat kepada beliau kerana hanya roti sahaja mampu terhidang pada hari itu. Menu kami hari itu tidak menyediakan makanan vegetarian kerana kami tidak menjangkakan kehadiran En. Sun Zhen.
BENAR DAN MEMBENARKAN, SIDDIQ DAN SODAQOH: Aneh tetapi itulah hakikatnya. Sebelum ini, En. Ah Foo, seorang lelaki Tionghua yang merupakan penginfaq tetap kami juga pernah memberikan ungkapan yang mengejutkan. Sewaktu kali pertama beliau hadir pernah mengatakan “Rumah ini macam rumah tuhan..!!”. Padahal beliau seorang beragama Buddha. Ya, beliau seorang beragama Buddha tetapi sejak hari itu telah lebih setahun beliau memberikan infaq bulanan (RM500 sebulan) kepada RPWP. Sebelum pulang, sempat juga En Sun Zhen menghulurkan sumbangan wang tunai RM250 untuk pembangunan PRWP, Rm200 dari rakan beliau bernama Pn Salbiah yang tidak kami kenali dan RM50 dari beliau sendiri. Beliau turut menyatakan hajat untuk menyumbang lagi pada masa akan datang.
Kami lihat bagaimana PIAGAM MADINAH yang baginda Rasulullah SAW laksanakan dahulu amat tidak mustahil untuk berjaya kita laksanakan semula jika kena dengan caranya. Jika Islam sebenar-benarnya dilaksanakan, maka hasilnya ialah SEJAHTERA (SALAM). Tidak perlu memaksa Non-Muslim masuk Islam kerana mereka akan masuk sendiri bila mereka lihat betapa indahnya Islam itu. Yang tidak mahu memeluk Islam tetap sanggup bayar jizyah kerana SEMUA INSAN DI DUNIA INGINKAN SEJAHTERA. QURAN, ISLAM, SUASANA SYURGA & NASIB MUSLIM En Sun Zhen katakan bahawa jelas terasa suasana kekeluargaan di RPWP. Beliau juga katakan dapat melihat dengan jelas kemesraan yang terzahir dari wajah setiap orang yang beliau lihat sepanjang lawatan ini. Terpacul dari mulutnya mengatakan “tempat ini sangat tenang” dan menyenangkan. Ungkapan sebegini bukan kali pertama keluar dari mulut tetamu kami. Terasa aneh juga bila Rumah usang yang masih dalam pembinaan dengan pelbagai kekurangan di sana dan sini masih beliau lihat amat menenangkan. Sebelum ini pernah RPWP dihadiri seorang Sami Budha dari Sepang yang juga memberikan ungkapan yang sama. Beliau hadir untuk mewakafkan kereta lama. Demikian juga beberapa individu Tionghua, India dan Kristian yang turut melakukan perkara yang sama. Team dari persatuan Generasi Muda Kristian dari Petaling Jaya juga telah beberapa kali melakukan program di RPWP. Ungkapan secara terang-terangan di ‘belakang’ kami seperti “We have just got back from HEAVEN” setiap kali mereka pulang dari sini amatlah memeranjatkan kami. Ungkapan yang sama turut diwar-warkan oleh Puan Mursyidah, pakar motivasi terkenal.
Banyak juga perbincangan mengenai falsafah agama Islam dan Budha yang turut dibincangkan dengan En Sun Zhen ini. Tambahan pula beliau adalah orang penting, mungkin bertaraf sami dalam persatuan agama itu. Beliau yang fasih berbahasa Melayu ini turut mengakui kemurnian Islam dan kebenaran alQuran.Kalimah Insyaallah, Alhamdulillah kerap sekali beliau lafazkan secara spontan. Ungkapan sebegini membuatkan kami teringat pengalaman yang dialami oleh Pengasas kami Dr Hj Masjuki. Beliau pernah bermusafir di Thailand bersama seorang lelaki Tionghuwa beragama Budha dari Pulau Pinang. Lelaki ini mengaku telah membaca terjemahan alquran hampir masuk kali ke3. Walaupun beliau tidak dapat memahami kesemua ayat-ayat dalam quran itu namun beliau nampak kemurnian dan kehebatan Islam darinya. Satu kenyataan yang mengejutkan dari lelaki ini ialah… JIKA SEMUA ORANG ISLAM BACA DAN LAKSANAKAN APA YANG TERTULIS DALAM QURAN, PASTI TIDAK ADA BANGSA DI DUNIA INI DAPAT MENGALAHKAN MUSLIM. Akhirnya, En Sun Zhen turut menyalahkan sistem politik KEPARTIAN di negara ini yang menyebabkan rakyat bermusuhan dan berpecah belah. Kami tidak menyangka bahawa ada juga pihak lain yang berfikiran sama dengan kami dalam soal ini. Nyata dan jelas, Islam bukan sekadar nampak dipakaian, kata-kata maupun tulisan sahaja, tetapi amal-amal Islam itu jika dilakukan dengan betul, InsyaAllah semua bangsa dan semua agama mampu menjadi sahabat dan menerima kita dengan baik sekali. Mengapa harus bermusuh jika kita boleh bersahabat?
[perkongsian dari laman WARGA PRIHATIN]
Kucing dan anjing boleh bersahabat tetapi manusia zaman ini tidak demikian. Sesekali terasa rindu pada suatu masa dahulu, ketika anak-anak di kejiranan boleh bermain dengan penuh gembira, tanpa memikirkan kaum dan keturunan masing-masing. Ibu bapa boleh bersembang mengenai hal di sekitar dunia kecil mereka. Walaupun bahasa yang digunakan "bahasa pasar", tetapi itu bukan masalah. Persahabatan ikhlas antara kaum, tidak ada rasa curiga. Tanpa Internet, tanpa Red Bean Army dan parti politik yang menanam rasa perasaan kebencian. Namun kini, walaupun slogan 1MALAYSIA dilaung-laungkan, rasanya zaman indah kanak-kanak dahulu tidak mungkin akan kembali lagi. Wallahualam.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment