Thursday, May 22, 2014
Menghias Laluan Masuk
Kawasan atau ruang di dalam rumah selepas pintu utama lazimnya dipanggil ruang legar. Namun bagi sesetengah kediaman seperti unit kondominium atau apartmen, ruang itu sangat sempit menyerupai laluan atau lorong sebaik melepasi pintu utama. Ada yang membiarkan lorong ini kosong dan tidak kurang juga meletakkan meja konsol serta jambangan bunga tiruan di atasnya. Jika lorong atau laluan itu berukuran lebar, ada yang menghiasnya dengan hiasan menarik.
MEMANDANGKAN IA LALUAN UTAMA, SEBAIK-BAIKNYA ELAK MENYUKARKAN PERGERAKAN ORANG YANG MELALUINYA. OLEH ITU:
• Jangan letak kerusi atau meja di hadapan pintu atau lorong kerana menyekat kelancaran laluan.
• Sekiranya keadaan di situ gelap, pasangkan lampu jenis sensor yang menyala setiap kali pintu dibuka. Atau wujudkan ‘tingkap’ dengan menggantung cermin pada dinding menghadap lorong. Pantulan cahaya dari ruang lain membantu menerangkan lorong terutama pada waktu siang.
• Jika ingin meletakkan bekas payung, boleh sahaja berdekatan pintu, namun pastikan ia tidak menghalang pergerakan.
• Jika laluan itu sempit dan tiak sesuai langsung diletakkan sebarang perabot, boleh gantungkan rak kunci di dinding. Semua kunci digantung atau disimpan di situ sekali gus memudahkan sesiapa mengambilnya sebelum keluar.
• Elak mengguna permaidani jenis panjang sehingga ke daun pintu. Ia menyukarkan pembukaan pintu malah boleh menyebabkan tersadung dan terjatuh.
• Lampu menawarkan pencahayaan tambahan tetap pastikan mentol tidak digantung terlalu rendah, dikhuatiri mengganggu mereka yang tinggi melalui kawasan itu.
• Elakkan mempamerkan sebarang perhiasan di sepanjang laluan tetapi jika masih ingin berbuat demikian, pastikan ia disusun rapat ke dinding agar orang lain tidak tersepak atau tergelincir.
• Untuk memudahkan kerja mengurus anak ke tuisyen atau sekolah agama selepas sesi persekolahan biasa, boleh tempatkan bangku panjang yang juga berfungsi sebagai kotak simpanan berdekatan pintu masuk. Simpan semua beg tuisyen dan sekolah agama di dalam bangku, anak-anak tidak perlu kelamkabut mencari beg kerana semua ada di situ. Secara tidak langsung, barang mereka juga tidak bersepah di dalam bilik.
JIKA INGIN PENAMPILAN RUMAH NAMPAK BERBEZA, KREATIFKAN DIRI DENGAN MENGUBAH SUASANA DI SITU. DI SINI ADA BEBERAPA KAEDAH:
• Menata dinding dengan rona ceria seperti merah yang menggambarkan kehangatan.
• Bagi yang alah permaidani, boleh warnakan satu rona di sepanjang permukaan lantai di laluan.
• Pamerkan rak yang mengandungi kad prestasi anak-anak, tag bagasi, himpunan poskad kegemaran dan sebagainya dan sebagainya pada dinding di sepanjang lorong/laluan.
• Selalunya table runner dijadikan alas meja. Namun boleh digantungkan pada dinding sebagai hiasan.
• Jika kedudukan anak tangga berdekatan laluan masuk, ubah penampilan anak tangga dengan mengecat rona ceria.
• Atau menambah perhiasan pada pemegang rel tangga seperti melilit kain renda, bunga tiruan dan reben pada kekisi.
• Jika terdapat stor di laluan itu, lindung daun pintunya dengan menggantung langsir. Guna fabrik bermotif yang dapat mengubah penampilan.
[ANJUNG SERI]
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment