Saturday, May 17, 2014
Ibadah
serenemaklong.blogspot.com
Konsep Ibadah terdiri daripada:
IBADAH ASAS seperti solat, puasa, zakat, haji dan rukun Islam yang lain.
IBADAH SUNAT ada banyak yang mana di antaranya ialah zikir, wirid, selawat, membaca al-Quran, solat sunat dan puasa sunat.
IBADAH UMUM berupa seluruh aktiviti hidup ( selain daripada ibadah asas dan ibadah sunat). Contoh berniaga, bekerja, berhibur, bermesyuarat, berinteraksi sesama insan, haiwan, dan lain-lain.
Kesemua konsep ibadah ini adalah demi HABLUMINALLAH (hubungan dengan Allah) dan HABLUMINNAS (hubungan dengan manusia). Ibadah yang sempurna akan membangunkan roh jihad sejati.
“Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji), serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman).” (3:110).
Kita dituntut beramal soleh dan menjaga hubungan baik sesama manusia. Dalam pada itu kita mesti menyebarkan ajaran agama ini menerusi Dakwah (yang dilakukan oleh para ilmuan Islam), dan Islah (yang disampaikan oleh Muslim biasa seperti kita). Tidak boleh tunggu sehingga ilmu cukup di dada baru mahu menyebarkan. Sampaikanlah apa saja yang kita benar-benar faham dan amalkan. Para pedagang Arab dan India yang tiba di Semenanjung pada zaman dahulu, walaupun sifat mereka adalah peniaga namun tetap juga menyampaikan ilmu agama yang mereka anuti di kalangan penduduk tempatan. Jika tidak kerana mereka, mungkin tidak ramai di kalangan kita yang muslim sekarang.
Seperkara lagi, sebagai umat Islam hendaklah kita berakhlak dengan akhlak yang diperintahkan Allah S..W.T. menerusi al-Quran. Tidak cantik jadinya kalau dalam Facebook kita menulis yang baik-baik sedangkan kita sendiri tidak amalkan. Cuba selarikan perbuatan kita dengan akhlak. Yakinlah, tidak akan ada sesiapa yang boleh menempelak kita dengan berkata, “Cakap tidak serupa bikin.” Bila iman kuat di dalam dada, dan akhlak pula cantik, kita tidak akan terpengaruh dengan apa-apa dakyah lain yang disebarkan oleh mana-mana pihak pun. Daripada berdemonstrasi di jalan, alangkah baiknya kita praktikkan dan perkukuhkan iman di kalangan ahli-ahli keluarga sendiri.
Kita buangkan tabiat menuding jari kepada orang lain. Kita cermin-cerminkan diri kita sendiri dahulu. Ini ada satu analogi yang dikongsi dari FB Malaysia Reverted Muslim:
“Analogi sebagaimana bila dalam satu syarikat : ada pekerja A dan B. Pekerja A sentiasa kerja dengan bersungguh-sungguh, manakala pekerja B pula curi tulang banyak dan sentiasa complain pasal A kepada bosnya. Rasa-rasanya kita ini pekerja A ataupun B ? fikir-fikirkanlah sendiri berapa banyak orang yang sudah kita sampaikan tentang Islam.”
Wahai umat Muhammad, sudahkah kita menjalankan amanah yang dipertanggungjawabkan?
[Peringatan untuk diri sendiri dan juga para sahabat].
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment