Friday, July 20, 2018

Terima Kasih Allah!






Seseorang hamba yang memahami erti nikmat akan rasa bersyukur kepada Allah. 
Surah Ibrahim ayat 7: “….Sesungguhnya jika kamu bersyukur, pasti Kami akan menambah (nikmat) kepadamu,..."

Nikmat-nikmat yang Allah kurniakan kepada hamba-hamba-Nya:

NIKMAT ASASIAH (semulajadi) yang Allah ciptakan untuk makhluknya seperti udara, makanan dan minuman.

NIKMAT BADANIAH ialah kesihatan. Manusia jarang mensyukuri nikmat sihat sehinggalah datangnya sakit.

NIKMAT AKLIAH adalah ilmu dan pengalaman. Dengan ilmu dan pengalaman yang Allah kurniakan, kita dapat membezakan yang benar dari yang batil, yang baik dari yang buruk. Sebagai contoh, guru yang berpengalaman boleh membezakan tabiat dan kebolehan para pelajarnya. 

NIKMAT QALBIAH yang menyenangkan hati seperti kediaman, perhiasan, harta, anak-pinak dan sebagainya.

NIKMAT IMANIAH. Iman membuat hamba itu tenang walaupun berhadapan masalah. Dia tidak putus asa kerana ada Allah untuk menolongnya. Ada jalan keluar dari masalah. Inilah kemuncak nikmat. Tanpa nikmat iman ini, walaupun nikmat lain banyak, hati hamba itu tidak akan tenang.

ALLAH S.W.T. sentiasa bersama dengan hamba yang bersyukur. 

Cara untuk mendapat nikmat ialah dengan:

BERUSAHA. Nikmat tidak akan datang bergolek. Nikmat yang Allah berikan mengikut usaha yang dibuat. Cara usaha pula hendaklah betul. Pemain bola yang kelihatannya hanya sekadar bermain namun jika permainan itu diusahakan bersungguh-sungguh ia bakal mendatangkan rezeki yang lumayan.

RAHSIA untuk ditambah nikmat ialah dengan bersyukur. Kadang-kadang nikmat yang diperolehi itu langsung tidak terfikirkan oleh kita. Mungkin ada amalan kita yang disukai oleh Allah lalu ditambahkan-Nya nikmat buat kita.Tetapi kalau kita kufur dengan nikmat itu Allah akan turunkan balasan yang sangat keras. 

Surah Ibrahim ayat 7: “…dan jika kamu mengingkari (nikmat-Ku) maka sesungguhnya azab-Ku sangat pedih.”

DOA kepada Allah dilakukan selepas bersyukur. Walaupun doa itu adalah rahsia Allah, mintalah nikmat setinggi yang boleh. 

Allah beri nikmat dengan 3 cara.

MINTA A DAPAT A, iaitu Allah beri apa yang kita pohonkan.

MINTA A DAPAT B. Contoh, kita mohonkan suami soleh tetapi dapat yang curang. Allah tidak beri suami soleh untuk menguji keimanan kita, sebaliknya diberikan-Nya pula anak-anak yang soleh dan amat menyayangi kita.

MINTA A DAPAT C. Sebenarnya, Dia memberikan jalan untuk mendapatkan A. Contoh, kita berdoa untuk mendapatkan isteri solehah. Sebaik berdoa kita terlibat dalam kemalangan. Di hospital kita dirawat oleh doktor yang suka dengan sifat ketaqwaan kita, lalu menawarkan diri menjadi isteri. 

Itulah rahsia doa Allah. Bila mendapat nikmat keluarga, perlulah berusaha untuk menjadikan keluarga kita itu soleh/solehah yang bersyukur kepada-Nya. InsyaAllah akan diberikannya kebahagiaan dan ketenangan.

Tanda orang tidak bersyukur:

MENAFIKAN KEBAIKAN ORANG LAIN. 

Contoh pertama, isteri berkata, “Abang langsung tak memahami saya.” Sebenarnya, itu cuma perasaan saja. Mustahil selama berumahtangga, suami tidak memahami isteri.

MEMBANDINGKAN DENGAN ORANG LAIN. 

Contoh pertama, Iblis menganggap dia lebih baik dari Adam ketika diminta bersujud kepadanya. Alasannya dia dicipta dari api sedangkan Adam dari tanah. Sikap itu menunjukkan dia bukan hamba yang bersyukur. 

Contoh kedua, membandingkan pasangan kita dengan pasangan orang lain.Kita patut bersyukur dengan apa yang datang, sama ada baik atau buruk.

BERSYUKUR DENGAN LISAN ialah sebutan Alhamdulillah.

BERSYUKUR DENGAN TUBUH ialah membuat amalan ketaatan kepada Allah. Mudah-mudahan setiap hari nikmat akan bertambah.


“Ya Allah, jadikanlah kami orang yang sentiasa bersyukur dengan segala nikmat-Mu. Jadikanlah kami sentiasa mengenang hari pertemuan dengan-Mu. Jadikanlah kami orang yang sentiasa memburu segala keredhaan-Mu. Jangan jadikan kami orang yang lupa kepada-Mu dan hari pertemuan dengan-Mu. Ya Allah tambahkanlah nikmat-Mu kepada kami, tambahkan kami dengan iman terhadap-Mu kami, tambahkan kami dengan kebaikan-Mu.”

(Intipati Ceramah Motivasi Pagi di TV3 oleh Ustaz Muhammad Abdullah)


No comments:

Post a Comment