Seawal bulan Julai kumpulan yang terdiri daripada tiga keluarga itu sudah merancang hendak membuat membuat perjumpaan, kononnya atas nama silaturahim.
Memang ia suatu silaturahim tetapi lazimnya bila mereka bertemu, mereka banyak bercerita tentang perkara-perkara yang menyalahi akidah. Contohnya kehebatan saka leluhur mereka barang-barang lama yang disimpan untuk tujuan berbentuk khurafat dan ilmu hitam.
Sudah ditegur beberapa kali tetapi pengaruh saka dan khurafat tetap juga mempengaruhi mereka. Allah Maha Berkuasa. Dia tidak akan mengizinkan perkara-perkara itu berlaku. Lantas terjadilah beberapa kejadian yang menyebabkan perjumpaan mereka terpaksa dibatalkan.
- Anak lelaki IM terlibat dalam kemalangan yang menyebabkan luka-luka di tubuh badan.
- Ibu mertua AR meninggal dunia.
- Jaring yang dipasang oleh BI di pesisir pantai dikoyakkan orang dan tangkapan ketamnya dicuri.
- NQ menderita sakit barah hidung. Dia sepatutnya dirujuk ke hospital namun kerana taksub bahawa itu adalah kerana"buatan orang", dia dirawat cara kampung oleh pihak keluarga. Akhirnya allahyarham menghembuskan nafas terakhir semalam (23 Julai 2018). Innalillahi wainna ilaihi rojiun. Semoga rohnya dirahmati Allah dan ditempatkan di kalangan para solehin. Aamiin.
⧫⧫⧫⧫⧫⧫⧫
Amalan syaitan ini menyesat dan menghancurkan umat manusia. Di dalam Surah al-Baqarah ayat 102, Allah menjelaskan bagaimana ilmu jahat ini diajar oleh syaitan bernama Harut dan Marut kepada manusia ketika zaman pemerintahan Nabi Sulaiman di Babylon.
Oleh itu ketahuilah cara memagari diri dari kesan amalan khurafat dan gangguan syaitan yang dilakukan oleh pihak tidak bertanggungjawab.
Pagar Pertama (1) - Makan Tamar 'Ajwah dan Tamar Madinah :
Amalkan memakan tamar (kurma) 'Ajwah dan jika boleh makan bersama dengan Tamar Madinah. Sekiranya tidak boleh mendapatkan kedua-dua jenis tamar tersebut, makanlah apa-apa jenis tamar yang ada supaya menepati sabda Rasulullah s.a.w. yang berbunyi: "Barangsiapa yang memakan tujuh biji tamar 'Ajwah, dia tidak akan mendapat sebarang kemudaratan racun atau sihir yang terkena pada hari itu". (Hadis Riwayat al Bukhari.)
Pagar Kedua (2) - Berwuduk sebelum tidur :
Sihir tidak akan memberi kesan terhadap seseorang muslim yang mempunyai wuduk kerana dia akan sentiasa dikawal ketat oleh para Malaikat sebagaimana diperintahkan oleh Allah s.w.t. kepada mereka.
Sabda Rasulullah s.a.w. : "Sucikanlah jasad-jasad ini mudah-mudahan Allah akan menyucikan kamu. Kerana sesungguhnya tiada seorang pun dari mereka yang bersuci terlebih dahulu sebelum tidur, melainkan ada bersamanya seorang Malaikat. Malaikat tersebut tidak akan pernah terlalai walaupun sedetik untuk mengucapkan doa: 'Ya Allah!Ampunilah dosa hambaMu ini kerana dia telah tidur dalam keadaan bersuci.'
(Hadis Riwayat at Tabraaniy dengan sanad yang baik.)
Pagar Ketiga (3) - Mengambil berat tentang solat berjemaah :
Solat berjemaah akan menjadikan seseorang muslim bebas serta aman dari gangguan syaitan. Bersikap sambil lewa terhadap solat berjemaah menyebabkan syaitan akan mengambil peluang untuk mendampingi mereka. Apabila selalu berdampingan, lama kelamaan ia akan berjaya merasuk, menyihir atau melakukan kejahatan lain.
Mengikut riwayat Abu Hurairah r.a., Rasulullah s.a.w. telah bersabda : "Mana-mana kampung mahupun kawasan kawasan hulu yang tidak mendirikan solat berjemaah meskipun penduduknya cuma tiga orang, nescaya akan didampingi oleh syaitan. Oleh itu hendaklah dirikan solat berjemaah.Sesungguhnya serigala akan memakan kambing-kambing yang menyendiri dari puaknya."
(Hadis Riwayat Abu Daud dengan sanad yang baik).
Pagar Keempat (4) - Mendirikan Solat Tahajjud untuk memagar diri dari sihir :
Kerjakan solat malam dan janganlah permudahkannya kerana ini boleh memberi ruang kepada syaitan untuk menguasai diri.
Ibnu Mas'ud r.a. telah berkata: Rasulullah s.a.w. pernah diberitahu tentang perihal seorang lelaki yang tidur hingga ke Subuh dengan tidak mengerjakan solat malam, maka Rasulullah s.a.w. pun bersabda: "Sesungguhnya syaitan telah kencing di dalam telinganya"(Hadis Riwayat al Bukhari dan Muslim).
Pagar Kelima (5) - Membaca doa perlindungan apabila masuk di dalam tandas :
Tandas adalah tempat kotor yang merupakan rumah syaitan. Ia akan cuba sedaya upaya untuk menguasai seseorang muslim setiap kali dia masuk ke tandas.
Di dalam sebuah buku, seorang mangsa sihir melaporkan dia pernah masuk ke tandas dengan tidak membaca doa perlindungan. Akibatnya dia telah dirasuk oleh syaitan.
Apabila Rasulullah s.a.w. mahu memasuki tandas, baginda akan membaca doa perlindungan dengan berkata: "Dengan nama Allah. Ya Allah! Sesungguhnya aku berlindung denganMu dari sebarang kekotoran dan gangguan syaitan".
(Hadis Riwayat al Bukhari dan Muslim. Maksudnya adalah berlindung dari gangguan syaitan-syaitan jantan atau betina.)
Pagar Keenam (6) - Memagar isteri selepas selesai akad nikah :
Selepas majlis akad nikah, pada malam pengantin, sebelum memulakan adab-adab berpengantin yang lain, hendaklah suami meletakkan tangan kanannya di atas ubun-ubun kepala isterinya sambil berdoa:
"Ya Allah, aku memohon kepadaMu kebaikannya dan kebaikan yang telah Engkau selubungi ke atasnya, dan aku berlindung dari keburukannya dan keburukan yang telah Engkau selubungi ke atasnya. Ya Allah berkatilah isteriku ini ke atasku dan lindungilah dirinya dari segala keburukan perbuatan orang-orang yang dengki, dan perbuatan tukang sihir apabila dia telah melakukan sihir dan dan perbuatan orang-orang yang suka melakukan tipu daya."
(Hadis Riwayat Abu Daud dan menurut al Albaaniy sanadnya baik).
Pagar Ketujuh (7) - Berwuduk sebelum tidur, membaca ayat-ayat al Kursi dan berzikir kepada Allah sehingga terlelap :
Dalam satu hadis sahih menceritakan bahawa syaitan telah berkata kepada Abu Hurairah: "Barangsiapa yang membaca ayat-ayat al Kursi sebelum tidur, dirinya sentiasa di dalam peliharaan Allah manakala syaitan sekali-kali tidak mampu mendekatinya sehinggalah ke waktu pagi''.
Rasulullah s.a.w. telah bersetuju dengan cerita Abu Hurairah tersebut sambil berkata: "Ia telah bercakap benar kepada engkau, walhal ia sendiri sememangnya penipu."
(Hadis Riwayat al Bukhari).
Terdapat beberapa bacaan yang perlu diamalkan sebelum tidur :
1. Baca Al-Fatihah (berhenti di setiap waqaf. Jangan dibaca terus tanpa berhenti).
2. Surah 3 Qul
3. Surah Al-Baqarah (Ayat 255 - Ayat Qursi, Ayat 285 , Ayat 286)
4. Baca Bismillaa hillaa dzi laa yaadurru ma'as mihi syai'un fil ardhi walaa fissamaa'i wa huwassamii 'ul 'alim (3x pagi, 3x petang)
5. Zikir Laa ila ha illaa wah dahu laa syarikalah lahul mulku walahul hamdu yuhyi wa yumii tu wahuwa 'ala kulli syai'in qadir
InsyaAllah syaitan tidak akan dapat menganggu ketika kita tidur, dan bila bermimpi pun mimpi tersebut adalah merupakan petunjuk daripada Allah s.w.t.
Wallahualam bissawab
No comments:
Post a Comment