Firman Allah: " Tidak AKU CIPTAKAN JIN DAN MANUSIA
MELAINKAN SUPAYA MEREKA MENYEMBAH AKU." (Surah Adzzariyat ayat 56).
Sebenarnya apa yang kita dapat dari habuan dunia ini telahpun ditentukan
oleh-Nya. Kita sering iri hari melihat orang lain dapat lebih daripada kita
dari segi gaji, pangkat, harta, kereta mewah dan rumah besar. Mengapa kita
tidak pernah cemburu melihat ILMU DAN AMALAN orang lebih daripada kita? Mengapa
tidak pernah iri hati melihat mereka bangun sepertiga malam untuk QIAMULLAIL?
Tidak juga cemburu melihat orang dapat khatam Al-Quran sebulan dua kali. Paling
menyedihkan kita tidak takjub melihat ORANG KELAINAN UPAYA BERSUNGGUH-SUNGGUH
MENGERJAKAN SOLAT.
Kita sungguh lalai kerana setiap kali menyambut ulangtahun
kelahiran kita sibuk meraikannya semeriah mungkin, padahal pertambahan umur
bererti kita semakin kembali ke sisi Allah. Sepatutnya kita sediakan bekalan
yang cukup untuk menuju ke tempat yang jauh perjalanannya, dan kita tidak
akan kembali buat selama-lamanya.Kesemua ini adalah petanda dunia akhir zaman
apabila duit, pangkat dan harta mengatasi segalanya. Sesungguhnya mati itu
benar, alam kubur itu benar, pertanyaan Munkar Nakir itu benar, Mahsyar Allah
itu benar, syurga dan neraka itu benar.
Jadilah hamba yang dikasihi Allah dengan menggunakan HARTA yang
dicari untuk membuat kebaikan sebagai BEKALAN menuju Akhirat, contoh, sedekah,
waqaf dan perbelanjaan yang dibuat atas dasar mencari ilmu untuk keluarga
sendiri, apatah lagi untuk orang lain. Jangan terlalu leka mengumpul harta untuk
diwariskan kepada anak-anak.
Mereka sepatutnya mencari harta sendiri.
Allah
mencintai hamba yang MENYUCIKAN hati dengan bertaubat, berakhlak mulia dan
menjaga kebersihan diri dan persekitaran. Tunaikan semua janji. Kerja pula
JANGAN DITANGGUH. Sempurnakannya sekarang juga, bukan esok yang belum tentu,
dan bukan pula semalam yang sudah berlalu.
Dampingi orang-orang beriman dan
bertaqwa. Letakkan rasa TAWAKAL kepada Allah jauh di dalam hati. Didik anak
cucu dalam hal-hal keagamaan dan KEIMANAN. Sentiasa menegakkan keadilan dalam
memberi hukuman.
Jangan menjadi pengasuh cucu sepenuh masa. Itu tanggungjawab
ibu bapa anak-anak tersebut. Tingkatkan KESABARAN ketika ditimpa penyakit dan
berhadapan dengan keadaan fizikal yang lemah.Sentiasa BERLAPANG DADA.
Berikan
KEMAAFAN kepada diri sendiri dan orang lain. Ketika itu hati pasti akan menjadi
tenang dan tenteram. Jangan bimbang tentang KEMATIAN. Ia adalah sahabat yang
akan membawa kita ke permulaan HIDUP ABADI.Bayangkan kegembiraan di alam abadi.
Petua untuk menjadi hamba yang berjaya dalam hidup dan memastikan Allah
sentiasa ada di sisi pada setiap masa, kita mesti sentiasa ingat kepada-Nya
melalui ZIKIR. Gunakan segala peluang dan ruang untuk menunaikan ibadah yang
ringkas namun bermanfaat ini, contoh, ketika sedang memasak dan mengemas rumah,
ketika berada di jalan raya, terutama apabila terperangkap dalam kesesakan
lalulintas.Tindakan positif yang dilakukan akan ditiru oleh ahli keluarga lain,
terutama anak-anak kecil yang mindanya mudah menyerap segala apa yang
dilihat.Wallahualam.
Ramai menyangka orang yang bekerja secara ikhlas ialah mereka
bekerja tanpa bayaran, sedangkan bekerja dengan ikhlas akan membuat mereka
dibayar lebih tinggi lagi. Kenapa? Kalau buat kerja berhabis-habisan,
bermati-matian tentulah bos sayang dan mungkin dapat naik gaji. Andai kata dalam
bank ada RM500 tetapi yang diberi RM100, itu boleh juga dikatakan ikhlas.
Tetapi kalau yang dihulur hanya RM1 sedangkan baki dalam bank RM15,000, sesungguhnya
Allah memang tahu derma itu ikhlas atau tidak. Semoga Allah berikan mereka yang
ikhlas itu dengan keberkatan rezeki supaya mampu mencukupkan keperluan pihak
yang daif. Jika benar-benar ikhlas, tidak perlulah menyebut yang kita ini
ikhlas. Pihak yang satu lagi pun BOLEH RASA keikhlasan hati itu.
Kesimpulannya,
JIKA IKHLAS, BUATLAH SEHABIS BAIK SECARA BERHABIS-HABISAN dan bukan buat lebih
kurang sahaja. Ambil iktibar cerita antara Habil dan Qabil tentang bagaimana
Allah menilai keikhlasan. Jangan menghukum sesiapa. Mustahil kita boleh menilai
keikhlasan orang lain. Itu hanya ALLAH dan orang itu sendiri sahaja yang tahu.
No comments:
Post a Comment