Wednesday, July 25, 2018

Manis Dan Pahit

Dalam kehidupan sehari-hari manusia sukakan yang manis-manis belaka. Kehidupan yang manis, anak isteri yang berwajah manis, kenangan percutian yang manis, makanan dan minuman yang manis. 




Tiada siapa yang mahukan sesuatu yang pahit. Kepahitan hidup, peristiwa yang pahit, kenangan yang pahit ----Hakikatnya, manusia mudah menelan apa sahaja yang manis tanpa memikirkan kemungkinan bahawa ia mengandungi "racun' berbisa. 

Kehidupan yang terlalu "manis" membuat manusia lupa untuk bersyukur. Contoh, anak isteri yang manis tanpa didikan agama bakal menjadi racun yang memakan diri. Jangan lupa, penyakit diabetes itu berpunca dari kandungan gula yang berlebihan dalam darah. Lantas, untuk mengubatnya terpaksalah ditelan penawarnya yang pahit. 




Kekadang manusia yang mengalami “kepahitan” hidup yang perit selalunya ingin cepat keluar daripada penderitaan tersebut hingga tidak merenung hikmah dan iktibar di sebalik kejadian. Dalam musibah banjir, ada mangsa marah-marah kepada sukarelawan yang lewat tiba di tempat mereka. Susah payah sukarelawan yang menyabung nyawa untuk menyelamatkan mereka tidak diambil kira. Langsung tidak memikirkan bahawa sukarelawan itu mungkin kepenatan,kurang tidur dan mungkin juga nasib kerluarga sendiri pun belum tentu terjamin.

Kita hendaklah selalu ingat bahawa pahit dan manis akan selalu datang silih berganti di dalam kehidupan kerana ia adalah ketentuan Allah, didatangkan untuk mendidik manusia menjadi hamba Allah yang bijak menangani segala bentuk situasi. 

Mintalah pertolongan Allah supaya diberikan sifat muhasabah diri - sentiasa bersyukur ketika mendapat kebahagiaan dan bersabar ketika menghadapi kesulitan.

No comments:

Post a Comment