Sunday, July 14, 2013

Saling Beringat



  

SAHABAT Rasulullah saw, Ibnu Mas'ud pernah didatangi oleh seorang lelaki yang sedang berduka dan berkata kepadanya: "Wahai Ibnu Mas'ud, berikan kepadaku nasihat yang dapatku jadikan penawar buat hatiku yang gelisah. Aku tidak ada selera hendak makan, tidurku pun tidak lena.”

Mendengar itu Ibnu Mas'ud pun berkata: "Jika itulah penyakit yang  menimpa jiwa kamu, maka hendaklah kamu pergi ke tiga tempat iaitu tempat al Quran, sama ada kamu membacanya sendiri atau kamu mendengar orang membacanya. Kedua, majlis ilmu yang mengingatkan hatimu kepada Allah dan ketiga, tempat dan waktu yang sesuai untuk kamu beribadat kepada Allah SWT dengan khusyuk dan tulus ikhlas."

Sesungguhnya membaca al-Quran, berzikir, menghadiri majlis ilmu dan menyembah Allah akan menambah pahala, ilmu agama, menguatkan iman, mendapat ketenangan, dan menghapuskan kerungsingan hati.

Haruslah dingat bahawa hidup ini umpama sedang menaiki kapal yang singgah di sebuah pulau. Di pulau inilah tempat mencari bekalan sebanyak-banyaknya.

Paling ramai penumpang kapal yang terpesona dengan keindahan pulau sehingga terlupa mencari bekalan. Bila sedar, terpaksa naik kembali ke kapal dengan tangan kosong. Orang ini kerugian.

Tidak kurang juga yang terpesona dengan keindahan pulau, namun segera sedar lalu mencari bekalan setakat yang terdaya.Orang ini boleh jadi rugi, boleh jadi untung, bergantung kepada sebanyak mana bekalan yang diperolehi.

Yang paling sedikit ialah yang tidak terpesona langsung. Dia mencari bekalan sebanyak mungkin. Inilah orang beruntung.

Carilah bekalan taqwa di tempat persinggahan ini sebelum terlambat.


Pemberi nasihat bukan bererti yang terbaik kerana setiap insan pernah melampaui batas dan menganiayai diri sendiri. Menyampaikan dakwah adalah tugas setiap umat Islam, tidak perlu menunggu sehingga segalanya sempurna baru hendak berdakwah. Marilah kita saling beringat-ingat.

No comments:

Post a Comment