Thursday, July 25, 2013

Militia Samseng Upahan Mesir

serenemaklong.blogspot.com



Gambar ini insiden yang berlaku di hadapan Kedutaan Amerika di Kaherah pada 24 Julai 2013. Lelaki yang memegang pistol mengheret seorang penyokong Mursi dengan dikelilingi oleh samseng yang lain. Siapa lelaki itu? Mungkin polis berpakaian biasa atau mungkin ketua samseng upahan.


INILAH militia samseng upahan, dalam bahasa Arab disebut "baltojiyah". Tugas mereka sama dengan kumpulan "syabih" di Syria yang  membantu tentera menyembelih rakyatnya sendiri. Jumlah kematian yang meningkat saban hari di Mesir antaranya disebabkan peluru "baltoji".

Militia ini wujud sejak puluhan tahun dan semakin aktif di zaman Mubarak. Dalam buku, "Menanti Fajar Menyingsing" terbitan Telaga Biru, ada diperincikan taktik serangan kumpulan ini pada hari revolusi Januari 2011 di Tahrir. Serangan ini bertujuan untuk rakyat lari menyelamatkan diri dari Tahrir namun gagal.

Bekas Ketua Agensi Perisikan Mesir yang telah meninggal dunia, Omar Suleiman pernah mendedahkan bilangan militia samseng di Mesir keseluruhan lebih kurang 500,000 orang dan mereka ini dijaga dan dipelihara oleh Unit Perisikan Perang, di bawah Majlis Tentera.

Presiden Parti Wasat (serpihan Ikhwan Muslimin), Ir. Abul 'Ela Madhi pula berkata, Presiden Mursi pernah memberitahu beliau bilangan militia ini lebih 300,000 dan mereka mempunyai "tanzim" atau organisasi yang lengkap.

Mereka disebut sebagai "militia upahan" kerana dibiayai oleh orang kenamaan dan tokoh korporat yang menjadi kroni Mubarak. Sebagai contoh, di Mansurah pembiaya milita samseng ini bernama Waheed Fudah, bekas Ahli Parlimen dari parti Mubarak (NDP). Ramai lagi golongan kaya dari kroni Mubarak seperti Rejab Humaidah dan Abul 'Ainain yang mempunyai "tanzim" samseng di bawah naungan mereka.

Sobry Nakhnukh, ketua militia samseng Iskandariah yang diberkas tahun lalu adalah di antara yang terkaya di negeri tersebut. Nakhnukh dijaga sendiri oleh bekas Menteri Dalam negeri zaman Mubarak, Habib 'Adli.

Berapa 'gaji tetap' kumpulan ini tidak diketahui. Namun pernah didedahkan oleh bekas Ahli Parlimen, Dr.Mohammed Beltaji bahawa dalam setiap operasi menyerang dan mengganas, mereka diberikan elaun. Sesiapa yang mampu menyerang menggunakan senjata api dibayar LE2,000, dengan pedang atau parang dibayar LE1,000 dan sesiapa hanya mampu membaling batu dibayar LE200. Selain bantuan kewangan, mereka turut dibekalkan senjata api.

Mutakhir ini, himpunan aman digempur oleh polis yang bukan saja datang dengan ketumbukannya tetapi turut membawa militia samseng. Pada malam serangan solat terawih di Ramsis, polis dilihat berada di belakang barisan militia samseng menyerang umat Islam yang sedang solat. Mereka saling melindungi antara satu sama lain ketika membelasah rakyat yang menuntut hak.

Ini bermakna Kementerian Dalam Negeri, polis dan tentera sendiri yang membiayai militia samseng ini. Jika rakyat Syria mati disembelih oleh kumpulan "syabih", maka rakyat Mesir mati di tangan "baltojiyah".


No comments:

Post a Comment