Friday, July 5, 2013

Perjuangan Lillahi Taala

serenemaklong.blogspot.com



DALAM Islam, seseorang yang hendak berjuang, terlebih dahulu hendaklah dia membetulkan niatnya dengan Tuhannya. Keimanan yang luhur kepada pembalasan baik dan buruk terhadap amalan di dunia ini boleh menjadikan seseorang itu pejuang yang sejati.

Pengiktirafan Allah itu maha penting. Kerana itu Nabi s.a.w bersabda:
Orang yang awal dibicarakan pada hari kiamat ialah orang yang mati syahid.

Dia dibawa memperkenalkan diri. Allah bertanya, “Apakah yang telah kamu lakukan di dunia?” Dia menjawab, ”Aku telah berperang keranaMu sehingga syahid.” Allah berkata, “ Kamu bohong, sebaliknya kamu berperang supaya kamu dikatakan berani dan itu telahpun dikatakan kepadamu.” Lalu diperintahkan agar dia dihukum diheret wajahnya sehingga dihumban ke dalam neraka.

Datang pula seorang yang lain yang mempelajari ilmu, mengajarnya dan membaca al-Quran. Dia dibawa memperkenalkan diri. Allah bertanya, “Apakah yang telah kamu lakukan di dunia?” Dia menjawab, “Aku telah mempelajari ilmu, mengajarnya dan membaca al-Quran keranaMu.” Allah berkata, “ Kamu bohong, sebaliknya kamu belajar ilmu supaya kamu dikatakan alim dan kamu baca al-Quran supaya kamu dipanggil qari. Itu telah pun dikatakan kepadamu.” Lalu diperintahkan agar dia dihukum diheret wajahnya sehingga dihumban ke neraka.

Datang pula seorang yang Allah luaskan rezekinya dan telah diberikan pelbagai jenis harta. Dia dibawa memperkenalkan diri. Allah bertanya, “Apakah yang telah kamu lakukan di dunia?” Dia menjawab, “Aku tidak tinggal satu jalan pun yang Kau suka untuk didermakan melainkan aku telah menderma padanya keranaMu.”
Allah berkata, “Kamu bohong, sebaliknya kamu lakukan supaya kamu dikatakan pemurah dan itu telah pun dikatakan kepadamu.” Lalu diperintahkan agar dia dihukum diheret wajah sehingga dihumban ke neraka – Hadis Riwayat Muslim.  

Dalam Islam, sesiapa yang ingin berjuang hendaklah mengikhlaskan diri kepada Allah, kemudian memastikan dia berada pada landasan perjuangan yang betul yang Allah reda padanya.

Nabi s.a.w. pernah ditanya, “Seseorang yang berperang untuk mendapatkan harta rampasan, seseorang yang berperang agar dipuji dan seseorang yang berperang untuk memperlihatkan kehebatannya, siapakah di antara mereka yang berada di jalan Allah?”

Rasulullah s.a.w menjawab,” Sesiapa yang berperang untuk meninggikan kalimah Allah (tertegak) maka dia berada di jalan Allah – Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim.


Sesungguhnya, pejuang Islam ialah seorang yang ikhlas dan benar jalan perjuangan yang dipilihnya. Dengan niat yang betul, barulah dia boleh dikatakan syahid. 

No comments:

Post a Comment