Sunday, July 14, 2013

Hakikat Perang Di Syria

serenemaklong.blogspot.com




 Foto: Malaysia Life Line For Syria



MINGGU lalu Sister Miriam, seorang rahib dari sebuah gereja Kristian terbesar di Syria datang ke Malaysia membuat “penjelasan” mengenai hakikat perang di Syria. Menurutnya, konflik itu disebabkan campurtangan orang luar. Kononnya, ramai rakyat Syria masih mahukan Basyar terus memegang tampuk pemerintahan.

Apa yang dikatakannya itu hanya “half-truths.” Apa yang dunia lihat ialah puak Sunni bukan ditembak mati seperti yang biasa dilakukan oleh tentera Israel ke atas penduduk Palestin. Hakikatnya di Syria, tentera Basyar yang khayal dadah, menerjah masuk ke rumah-rumah puak Sunni, menyembelih anak-anak dan merogol para wanita sesuka hati mereka. Tidak kurang yang dipaksa “bersyahadat” atas nama Basyar sebelum dipancung mati. Pejuang Syria sendiri pernah mengeluarkan lebih 200 jenazah yang dicampakkan ke sungai. Mangsa-mangsa ini adalah orang awam yang tidak berdosa dan tidak bersenjata.

Rakyat Syria sudah lama ditindas oleh dinasti Assad, bermula dari tindakan bapa Basyar iaitu Hafez Assad yang membunuh dengan kejam 20,000 anggota Ikhwanul Muslimin di Bandar Hama.

Apabila Hafez mati pada 2000, perlantikan Basyar sebagai pemimpin sederhana berbanding bapanya telah disambut baik, namun dia kemudiannya berubah menjadi diktator kuku besi.

Bila protes bermula awal tahun lalu, kumpulan pembangkang hanya mahu menuntut pembaharuan dalam kerajaan dan bukan pengunduran Basyar. Tetapi segalanya berubah bila tentera rejim melepaskan tembakan rambang ke atas para penunjuk perasaan yang membantah penahanan sekumpulan kanak-kanak sekolah yang terlibat melukis graffiti antikerajaan di Daraa, selatan Syria.  

Akhirnya pertempuran merebak ke kawasan-kawasan lain. Tentera Basyar bukan sahaja menggempur kawasan kumpulan pembangkang, malah mengambil kesempatan membunuh rakyat dari kalangan Sunni. Kerana hendak mempertahankan kediaman dan keluarga, rakyat Sunni bangkit lalu bergabung dengan kumpulan penentang Basyar dan membentuk Free Syria Army (FSA).   

Apapun mari kita hayati surat dari Presiden Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir (PMRAM) mengenai tujuan sebenar berlakunya pergolakan ini.




(RISALAH AS-SURIYYUN BUAT PENUNTUT ILMU MALAYSIA DI MESIR)

Saya, Presiden PMRAM dan Naib Presiden III Ustaz Mohammad berpeluang bertemu dengan Presiden Gerakan Selamatkan Revolusi Syria di Mesir, Dr.Usamah El-Maluhi bersama pembantu beliau, Syeikh Rabi'e El-Junaidi. Pertemuan hampir 2 jam itu membicarakan konflik berdarah di Syria yang telah melewati tahun kedua. Beliau memperkenalkan diri di awal pertemuan beliau dan pembantunya berasal dari wilayah Homs, negeri sahabat Nabi, Khalid Al-Walid r.anhu.

Seperti pertemuan dengan Dr. Ali As-Salus dan ulamak serta tokoh lain yang membicarakan isu Syria, Dr.Usamah tetap bertegas apa yang berlaku di Syria hari ini "bukan agenda perancangan Yahudi" dan menegaskan penyembelihan Sunni di Syria bukan sehari dua bahkan telah berlaku lebih 50 tahun.

Penglibatan Hizbullah pula, dakwa beliau bukan sehari dua. Sejak dua tahun lalu, Hizbullah menghantar bantuan senjata dan tentera memerangi Sunni di Syria. "Cuma sejak kebelakangan ini, mereka tidak sembunyi lagi. Hasan Nasrallah sendiri mengakui Hizbullah membantu rejim".

Dr.Usamah aktif menulis artikel-artikel dalam Bahasa Arab yang disiarkan dalam web peribadi dan akhbar online. Antara tulisan 'bahaya' yang ditulis oleh beliau bertajuk "Darah Syria Merupakan Makanan bagi Israel" yang mendedahkan hubungan 'intim' antara negara haram Israel dengan Iran. Menurut beliau, natijah tulisan tersebut beliau disenaraikan di tangga keenam "musuh ketat bagi Zionis". Dr.Usamah mendakwa hingga kini, Amerika yang berjanji hendak membekalkan senjata kepada pembangkang Syria kembali berundur dan kemungkinan besar tidak menjadi kenyataan. Janji tinggal janji. Hanya permainan media.

Pengenalan antara kami dengan Dr.Usamah Al-Maluhi segala-galanya bermula pada pagi sehari sebelumnya apabila kami menerima mesej (pm) dari beliau yang bertanya, di mana sensitiviti pelajar Malaysia di Al-Azhar apabila tidak meletakkan sebarang tanda kebersamaan di Facebook sama ada di gambar profail atau lain-lain.

Beliau memberitahu, usaha beliau seawal jam 3 pagi hampir menjelang Subuh apabila membuat carian (search) Facebook untuk mengikuti Facebook pelajar Malaysia yang belajar di Al-Azhar. Hasil 500 carian, beliau menghantar mesej dalam Bahasa Arab kepada 80 pemilik Facebook bertanya sensitiviti berkaitan revolusi Syria dan daripada jumlah tersebut, beliau hanya dapati tidak sampai 10 orang yang meletakkan gambar profail/header Facebook tanda kebersamaan dengan revolusi Syria.

Beliau bertanya dalam mesej tersebut, adakah revolusi yang telah memasuki dua tahun setengah itu, siswa siswi Al-Azhar di Mesir masih belum terusik hati mereka, bagaimana pula dengan rakyat awam di Malaysia?

Dr.Usamah bagaimanapun mengakui, jumlah 10 orang tersebut membuatkan beliau menangis kegembiraan kerana masih ada yang prihatin dengan kesengsaraan mereka sekalipun dengan sekadar sokongan di dalam alam maya.

Pembantu beliau, Syeikh Rabi'e pula pernah meringkuk dalam penjara Mesir kerana merempuh Pejabat cawangan Askar Udara Syria di Kaherah. Ketika itu, beliau dan kumpulan pemuda memperoleh maklumat kapal terbang tentera memindahkan senjata dari bandar ke bandar dalam Syria.

Saya semakin jelas kini, konflik berdarah Syria sekarang adalah Syiah perangi Sunni. Saya yakin sekarang, ia bukan perancangan Yahudi. Dr.Usamah Maluhi kata begitu. Dr.Ali As-Salus kata begitu. Syeikh Qardhawi kata begitu. Ulamak ummah pun begitu. Memadailah sumber ini.


No comments:

Post a Comment