Sunday, July 14, 2013

Iblis Tersungkur

serenemaklong.blogspot.com




DALAM sebuah kitab karangan Imam al-Ghazali menyatakan bahawa Iblis itu namanya disebut sebagai :

Pada langit yang pertama disebut al-Abid (ahli ibadah).
Pada langit yang keduanya disebut az-Zahid.
Pada langit ketiga, namanya disebut al-Arif.
Pada langit keempat, namanya adalah al-Wali.
Pada langit kelima, namanya disebut at-Taqi.
Pada langit keenam namanya disebut al-Kazin.
Pada langit ketujuh namanya disebut Azazil
Dalam Luh Mahfudz, namanya ialah Iblis.

Allah S.W.T memerintahkan Iblis sujud kepada Adam. Lalu iblis berkata, "Adakah Engkau mengutamakannya daripada aku, sedangkan aku lebih baik daripadanya. Engkau jadikan aku daripada api dan Engkau jadikan Adam daripada tanah.”

Lalu Allah S.W.T berfirman yang maksudnya, "Aku membuat apa yang aku kehendaki."
 
Iblis enggan sujud kepada Adam A.S kerana bangga dan sombong.Dia berdiri tegak sampai saatnya malaikat bersujud.

Ketika para Malaikat mengangkat kepala, mereka mendapati Iblis tidak sujud sedangkan  mereka telah selesai sujud. Maka para Malaikat bersujud lagi bagi kali kedua kerana bersyukur, tetapi Iblis tetap angkuh dan enggan sujud. Dia berdiri tegak dan berpaling daripada para Malaikat yang sedang bersujud. Dia tidak ingin mengikut mereka dan tidak pula merasa menyesal atas keengganannya.


Kemudian Allah S.W.T mengubah mukanya yang pada asalnya sangat indah cemerlang dengan membentukkan kepalanya seperti kepala unta, dadanya seperti daging yang menonjol di atas punggung, wajah yang ada di antara dada dan kepala itu seperti wajah kera, kedua matanya terbelah pada sepanjang permukaan wajahnya.
Lubang hidungnya terbuka seperti cerek tukang bekam, kedua bibirnya seperti bibir lembu, taringnya keluar seperti taring babi hutan dan janggut ada tujuh helai.
 
Setelah itu, Allah mengusirnya dari syurga, dari langit, dari bumi dan ke beberapa jazirah.Dia tidak akan masuk ke bumi melainkan dengan cara sembunyi. Allah S.W.T melaknatinya sehingga ke hari kiamat kerana dia menjadi kafir.

Walaupun iblis itu dahulunya berwajah indah cemerlang, dengan empat sayap, banyak ilmu dan ibadah, dibanggakan oleh para malaikat, menjadi pemimpin malaikat karubiyin dan banyak lagi, tetapi semua itu tidak menjadi jaminan baginya.

Ketika Allah S.W.T membalas tipu daya Iblis, Jibril A.S dan Mikail menangis. Allah S.W.T berfirman yang bermaksud, "Apakah yang membuat kamu menangis?"
 
Lalu mereka menjawab, "Ya Allah! Kami tidaklah aman dari tipu dayamu.”
 
Firman Allah bermaksud, "Begitulah aku. Jadilah engkau berdua tidak aman dari tipu dayaku.”
 
Setelah diusir, Iblis berkata, "Ya Tuhanku, Engkau telah mengusir aku dari Syurga disebabkan Adam, dan aku tidak menguasainya melainkan dengan penguasaan-Mu.”

Allah berfirman bermaksud,
"Engkau dikuasakan atas dia, iaitu atas anak cucunya, sebab para nabi adalah maksum.”

Kata Iblis lagi, "Tambahkanlah lagi untukku."
 
Allah berfirman bermaksud, "Tidak akan dilahirkan seorang anak baginya kecuali tentu dilahirkan untukmu dua padanya.”

Kata iblis, "Tambahkanlah lagi untukku."
 
Lalu Allah berfirman dengan maksud, "Dada-dada mereka adalah rumahmu, engkau berjalan di sana sejalan dengan peredaran darah.”

Iblis terus memohon, "Tambahkanlah lagi untukku."
 
Allah berfirman yang bermaksud, "Dan kerahkanlah pasukan berkuda dan pasukan yang berjalan kaki, ertinya mintalah tolong menghadapi mereka dengan pembantu-pembantumu, baik yang naik kuda mahupun yang berjalan kaki. Dorong mereka mengusahakan harta dan mengarahkannya ke jalan yang haram. Anjurkan supaya mereka mendapatkan anak dengan cara yang dilarang, seperti melakukan hubungan kelamin ketika haid, membuat perkara syirik mengenai anak-anak itu dengan memberi kan mereka nama Abdul Uzza, menyesatkan mereka dengan cara mendorong ke arah agama yang batil, mata pencarian yang tercela dan perbuatan-perbuatan yang jahat".

Hal ini ada disebutkan dalam Surah Al-Isra Ayat 64:
بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
وَٱسۡتَفۡزِزۡ مَنِ ٱسۡتَطَعۡتَ مِنۡہُم بِصَوۡتِكَ وَأَجۡلِبۡ عَلَيۡہِم بِخَيۡلِكَ وَرَجِلِكَ وَشَارِكۡهُمۡ فِى ٱلۡأَمۡوَٲلِ وَٱلۡأَوۡلَـٰدِ وَعِدۡهُمۡ‌ۚ وَمَا يَعِدُهُمُ ٱلشَّيۡطَـٰنُ إِلَّا غُرُورًا (٦٤)

Maksudnya:
Gerakkanlah orang yang engkau kuasai di antara mereka dengan suara engkau dan kerahkanlah kepada mereka tentera engkau yang berkuda dan yang berjalan kaki dan serikanlah mereka pada harta dan anak-anak dan berjanjilah kepada mereka. Tidak ada yang dijanjikan iblis kepada mereka melainkan (semata-mata) tipuan.

Sesungguhnya yang baik dijadikan ikutan manakala yang kurang baik dijadikan sempadan supaya selamat dalam menjalani kehidupan yang sementara ini.

(Sumber: Muhamad Nor Kartor)

 

No comments:

Post a Comment