serenemaklong.blogspot.com
USTAZ Halim sering diganggu suatu mimpi yang tidak difahaminya. Berbulan-bulan
dia tidak lelap tidur kerananya.
Seorang lelaki mendatanginya dalam mimpi
dengan keadaan yang amat terseksa dan
melambai-lambaikan tangan kepadanya dengan kata-kata, “Tolong bebaskan aku”.
Ustaz Halim bersolat hajat dan bertanya kepada
orang-orang alim. Mengikut kata mereka, lelaki yang memanggilnya itu ialah roh
ayahnya. Ustaz Halim mendatangi ibunya untuk mendapatkan berita mengenai
kedudukan kubur bapanya.
Ternyata ibu Ustaz Halim telah terpisah
dengan suaminya ketika Jepun menyerang Tanah
Melayu. Hampir 40 tahun tiada sebarang berita mengenainya. Maklumat yang
diketahui bapanya terbunuh ketika perang itu.
Ustaz Halim terus diganggu oleh mimpi itu.
Dia tidak jemu-jemu bermunajat dan berdoa agar Allah memberikannya petunjuk untuk
menyelesaikannya, berdoa supaya dosa bapanya diampunkan dan seksaan yang
dideritainya dilepaskan.
Akhirnya dia mendapat tahu bahawa bapanya
yang merupakan seorang peniaga berjaya, baru meninggal dunia lebih kurang dua
tahun lalu. Arwah banyak melakukan amal kebajikan atas nama Islam.
Diberitakan dia berusaha mencari
isterinya setelah perang Jepun berakhir namun tidak berjumpa. Dia bernikah buat
kali kedua setelah mendapat tahu isteri pertamanya meninggal dunia. Dia dikurniakan lima orang
anak perempuan.
Ustaz Halim mendatangi rumah ibu tirinya
untuk mengetahui jika bapanya ada meninggalkan apa-apa hutang belum langsai. Ibu tiri dan adik-adik tirinya
tidak memberikan kerjasama setelah mengetahui Ustaz Halim juga seorang waris. Mereka takut Ustaz Halim
menuntut haknya daripada harta pusaka.
Bagaimanapun peguam keluarga bapanya menyatakan
bahawa semua hutang si mati telah
dijelaskan dan tidak ada satu pun yang tinggal. Ustaz Halim terus mendatangi semua kenalan bapanya dan memohon mereka
memaafkan jika ada salah dan silap arwah ketika hidupnya.
Disebabkan mimpi itu berterusan, Ustaz
Halim menemui semula ibu tirinya dan menceritakan bahawa mimpi itu bermula
setelah kematian bapanya.
Ibu tirinya tidak yakin lelaki dalam
mimpi Ustaz Halim itu adalah si mati kerana dia taat beribadah dan rajin
bersedekah, suka menolong orang susah, tidak pernah lambat menjelaskan zakat
perniagaan. Tidak mungkin dia terseksa.
Setelah berbincang panjang lebar, Ustaz Halim mengambil keputusan untuk balik.
Ketika keluar daripada rumah tersebut, dia
berserempak seorang pakcik yang bertanyakan di mana rumah Datuk Azlan Affendi
kerana dia ingin menemuinya. Ustaz Halim mengaku itulah rumah bapanya, Azlan.
Tanpa banyak soal, Ustaz Halim membawa pakcik
itu ke kubur bapanya. Di dalam perjalanan, Ustaz Halim menceritakan
segala-galanya. Ternyata pakcik adalah sahabat karib Azlan.
Beberapa minggu sebelum itu, pakcik
terbaca sebuah buku tulisan Azlan dan di belakang buku tersebut terdapat
biodatanya. Lalu pakcik terus datang ke Kuala Lumpur untuk berjumpa dengannya.
Sebelum sampai ke kubur, mereka singgah
minum di warung kopi. Ustaz Halim bertanya jika pakcik pernah berselisih faham
dengan bapanya. Pakcik menjawab, tidak pernah dan kalau adapun dia telah
mengampunkan segala dosanya.
Mereka kemudiannya terus ke kubur dan
berdoa. Selesai berdoa pakcik tiba-tiba teringat peristiwa sejurus sebelum
Jepun datang menyerang kampung mereka. Ketika itu dia dan Azlan sedang minum
kopi di warung. Kerana tergesa-gesa hendak beredar, Azlan meminta pakcik membayarkan
dahulu harga minuman kopi itu sebanyak 5 sen dan berjanji akan membayar balik
kemudian. Bila Jepun tiba di kampung itu, mereka berdua terus terpisah.
Pakcik mengangkat tangan dan berdoa
kepada Allah bahawa menghalalkan hutang lima sen yang kawan ku Azlan berhutang
kepada ku. Setelah hari itu, Ustaz Halim tidak diganggu mimpi itu lagi.
(
Sumber: I. Hamzah)
No comments:
Post a Comment