Wednesday, April 22, 2015
Taubat Si Pelacur
Al-Hasan meriwayatkan, seorang pelacur jelita tidak mahu melayan mana-mana lelaki kecuali jika dibayar seratus dinar. Seorang ahli ibadah jatuh cinta selepas melihat kejelitaan pelacur tersebut. Tanpa wang seratus dinar, ahli ibadah itu pergi mencari kerja membanting tulang untuk mengumpulkan wang tersebut. Setelah wang dapat dikumpulkan, dia pergi menemui pelacur cantik itu dan berkata kepadanya: “Kecantikanmu membuatkan aku benar-benar tergoda. Aku telah berusaha sedaya upayaku mendapatkan seratus dinar sebagaimana yang kamu kehendaki.” Si pelacur mempersilakannya masuk. Di dalam rumah itu tersedia sebuah tempat tidur dibuat dari emas. Pelacur itu duduk di atas tempat tidurnya dan meminta dia mendekatinya. Ketika ahli ibadah itu hendak menidurinya, tiba-tiba ia teringat kepada Allah sehingga menggigil seluruh tubuhnya. “Biarlah aku pergi saja meninggalkan kamu dan wang seratus dinar itu ambillah!” Pelacur itu kembali bertanya: “Mengapa jadi begini?” Jawab ahli ibadah, “Sesungguhnya aku takut kepada Allah SWT dan juga atas kedudukanku selama ini di sisi-Nya. Aku benci kamu kerana Allah." Pelacur segera membuat keputusan, "Kalau begitu aku tidak akan bersuami kepada orang lain melainkan kamu.” Lelaki itu menjawab: “Untuk menjadi isteriku boleh saja, akan tetapi aku harus pergi meninggalkan tempat ini kembali ke tempat biasanya aku melakukan ibadah.”
Ahli ibadah langsung meninggalkan rumah tersebut. Si pelacur juga ikut dia keluar dari daerahnya untuk bertaubat kepada Allah dan menyesali segala perbuatan yang telah dilakukannya. Akhirnya dia sampai ke tempat asal lelaki tersebut. Seorang kenalan ahli ibadah melihat wanita cantik sedang mengekorinya lalu memberitahu, “Permaisurimu telah datang kepadamu.” Ahli ibadah terkejut langsung jatuh dalam pelukan si jelita dan menghembuskan nafas terakhir. Pelacur yang bertaubat itu bertanya, “Adakah lelaki idaman yang meninggalkan aku buat selama-lamanya ini ada mempunyai saudara?” Orang itu menjawab: “Dia ada seorang saudara lelaki yang hidup miskin.” “Kalau begitu, aku akan menikah dengannya sebagai ganti dari lelaki yang aku cintai ini.”
Akhirnya wanita tersebut menikah dengan saudara lelaki ahli ibadah itu dan dari hasil pernikahan tersebut, Allah SWT mengurniakan mereka sebanyak tujuh orang anak yang mana kemudiannya menjadi hamba yang soleh belaka. Lihatlah, betapa Allah Maha Pengampun. Walaupun besar dosa seseorang hamba, dosa itu akan diampun jika dia mahu bertaubat. Semoga menjadi iktibar…InsyaALLAH.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment