Monday, April 27, 2015
Amanah Dalam Kerjaya
Bila kehidupan dijalani untuk memenuhi keperluan, sesiapapun boleh mendapatnya, TETAPI TUJUAN HIDUP TIDAK DAPAT DICAPAI. Manusia dilahirkan ke dunia ini untuk MENJADI HAMBA ALLAH. Sebagai hamba, tidak harus ada soalan-soalan seperti, “Mengapa saya mesti solat?” … “Mengapa saya mesti tutup aurat?” Tujuan kedua, untuk MENJADI KHALIFAH di muka bumi, bagi memimpin diri dan juga orang di bawah jagaan. Tujuan ketiga, untuk MENGIMARAHKAN DUNIA MENGIKUT HUKUM ALLAH.
Jika bekerja tanpa mengikut lunas-lunas ditetapkan Allah, contoh pekerja wanita memakai uniform yang tidak menutup aurat, bekerja di tempat yang menjual minuman atau benda-benda haram, melakukan perbuatan buruk semasa bekerja seperti curi tulang, main Facebook, guna telefon pejabat untuk perniagaan sendiri, dan lain-lain, bererti sudah mengingkari amanah kepada Allah. Oleh itu jangan kesal kalau hidup sentiasa dilanda musibah. Kualiti kerja yang diberi tidak sama dengan imbuhan (gaji) yang dibayar. Lebihan imbuhan itu ditarik balik oleh Allah melalui kesulitan hidup yang sentiasa sahaja timbul … selalu sakit dan kena bayar kos perubatan, rumah dimasuki pencuri, kereta rosak, anak-anak nakal, hidup tidak bahagia. Allah yang menentukan kita hanya boleh dapat nilai yang kita beri. Pun begitu, jika seseorang itu mendapat imbuhan lebih rendah namun dengan rela hati dia memberikan nilai kerja yang lebih tinggi, in sya Allah lebihan nilai itu akan Allah gantikan dengan keberkatan dalam kehidupan. Pendapatan nampak macam sedikit, tetapi tetap mencukupi, malah masih dapat disedekahkan kepada makhluk Allah yang lain. Untuk menentukan kejayaan, sama ada di tempat kerja ataupun dalam rumahtangga, tiga prinsip utama mesti diberi tumpuan. Prinsip pertama, INTEGRITI iaitu APA YANG DICAKAP SAMA DENGAN YANG DIBUAT. Jangan cakap lain tetapi buat lain. Kedua, MELAYAN ORANG LEBIH BAIK DARIPADA KITA INGIN DILAYAN. Dengan demikian tidak akan ada penganiayaan.
Sebagai contoh, jika masih ada lagi orang yang perlu dilayan di kaunter, janganlah ditutup kaunter itu semata-mata kerana hendak keluar makan tengah hari. Fikirkanlah, mungkin orang itu datang dari jauh dan tidak mudah untuknya menunggu, atau datang semula selepas kaunter dibuka pada jam 2.00 petang. Atau mungkin orang itu sudah lanjut usia, dan tidak boleh menunggu lebih lama atas faktor kesihatan. Selesaikan dahulu urusan orang itu, kemudian barulah berhenti makan. Tidak ada orang mati kerana kuat kerja tetapi lebih ramai yang mati kerana kuat makan. Orang jarang berkira dalam bab makan tetapi sangat berkira dalam soal kerja. Percayalah, orang tidak amanah dalam kerja bakal hidup merana. Kadang-kadang Allah turunkan balasan bukan di akhirat tetapi semasa di dunia lagi. Kalau pun kesusahan itu tidak menimpa diri sendiri, ia mungkin terkena kepada ahli keluarga. Prinsip ketiga, buat lebih dari yang patut. Seboleh mungkin, MASUKKAN KONSEP KETUHANAN DALAM KERJAYA. Hidup pasti lebih bahagia. Lihat sahaja para sukarelawan, sibuk menolong orang dan tidak banyak mendapat sakit. ORANG BANYAK PENYAKIT SUKA BERCAKAP TENTANG DIRI SENDIRI, “saya itu, saya ini, saya begitu, saya begini”. Setiap kali berjumpa asyik menunjukkan ubat-ubatnya. Dia tidak peduli tentang orang lain. Orang yang amanah memanfaatkan setiap waktu bekerja, kurang merungut atau mengurus hal-hal peribadi. Solat zohor ditunaikan tepat pada waktunya, bukan pada jam 2.00 ketika sudah masuk waktu bekerja. Waktu makan tengah hari benar-benar diguna untuk makan, bukan bersukaria atau berlepak.
Kebanyakan orang bekerja untuk mengejar cita-cita yang dapat dilihat oleh manusia lain. Namun, orang yang bekerja untuk mencari makna kehidupan, niat dan usahanya dilihat oleh Allah. Dia menjadikan kerjayanya sebagai ladang untuk menanam kebaikan yang hendak dibawa ke negeri akhirat. Dia menyayangi diri sendiri dan orang di sekeliling. Sebagai contoh, anak-anak yang dihargai dan disayangi bakal menjadi manusia yang ceria. Sebaliknya, anak yang sering dimarahi kerana kesilapan-kesilapan kecil akan sentiasa murung dan tidak menyayangi diri. Dia melakukan perkara-perkara yang merosakkan seperti menghisap rokok, melanggar disiplin, bergaul bebas, malas belajar. Sebaik-baiknya, bangunkanlah imej dan kekuatan dalamannya supaya bersikap positif dan tidak mengharapkan pujian dan motivasi dari orang. Dengan cara itu dia akan membesar menjadi hamba Allah yang amanah.
Ingatlah, tanpa matlamat hidup, amanah dalam kerjaya tidak pula dijaga, maka kebahagiaan tidak akan dicapai. Jadilah orang yang PROAKTIF UNTUK MENJADI AMANAH. Kenalilah diri sendiri, dalam hati rasa akan kehadiran Allah, lakukan sesuatu mengikut hukum yang ditetapkan-Nya. Setiap makhluk akan berjumpa Allah, oleh itu muhasabah di atas kesilapan yang dilakukan dan mengambil iktibar darinya, mencari inspirasi dalam diri sendiri dan bersyukur kepada-Nya setiap hari, memastikan kesihatan berada di tahap yang baik, membina hubungan dengan Allah dan sesama makhluk ciptaan-Nya, mencari wang yang halal dan berbelanja secara berhemah, perkara negatif ditangani sebaik mungkin. Bila semua ini dijaga, in sya Allah, kita akan menjadi seorang yang sangat menjaga amanah.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment