Sunday, April 26, 2015
Mutiara Kata
HARTA boleh menjadi 'hamba' yang baik, namun ia adalah 'tuan' yang buruk. Ia akan menjadi HAMBA apabila kamu mengumpul dan menafkahkannya di jalan benar dan halal, tetapi ia menjadi TUAN apabila kamu mengumpulnya ke dalam hati, lalu menjadi bakhil, tamak serta tiada menghirau yang haram. Tatkala itu berlaku, ia bakal menyakitimu dan mendukacitakanmu kerana ia telah menjadikanmu sebagai 'HAMBA'.
Jangan beribadah kepada Allah SWT kerana inginkan ganjaran keduniaan namun beribadahlah kepada-Nya agar diredhaiNya, kerana mereka yang diredhaiNya akan dkejutkan dengan pelbagai pemberian dan ganjaran.Nikmat tidak akan berterusan dianugerahi Allah swt kiranya kita asyik mengingkari kewujudannya. Sedarlah nikmat Allah kepada kita. Jangan asyik mengeluh dan rasa tertekan kerana menginginkan apa yang tidak diperolehi, nescaya hidup lebih tenang.
Apabila seseorang mampu melihat kebaikan pada orang lain dan kata-katanya, maka itulah antara tanda wujudnya kebaikan dalam dirinya juga. Demikian juga sebaliknya...Namun tidak menafikan perlunya berhati-hati pada tempatnya.
Ketidaksempurnaan adalah ciri penting dalam kehidupan manusia agar mereka saling boleh berusaha membuat amal, membuka ruang interaksi, sinergi, nasihat menasihati dan menghargai satu sama lain. Namun apabila ketidaksempurnaan menjadi punca pergaduhan melampau penuh kebencian, ia bakal mencipta musibah dan bencana. Mereka tidak pernah nampak ketidaksempurnaan itu pada diri sendiri, hanya nampak pada diri orang lainn, tidak mahu mengaku kelemahan dan kekurangan diri, malas bermuhasabah..telunjuk lurus kelingking berkait.
Indah bunga kerana warnanya, manis bunga kerana madunya,cantik bunga kerana bentuknya, daya tarikan pada wanginya. Namun .... indah hamba Allah pada tutur bicaranya, manis hamba Allah pada imannya, cantik hamba Allah pada akhlaknya,daya tarikan hamba Allah pada cahaya terpancar kerana ketenangan jiwa yang disulam keimanan pada Allah Yang Esa. Bunga yang indah mekar mewangi, cantik dipandang mata, menawan warnanya, pasti gugur jua bila tiba masa. Begitu jua hamba Allah. Segala nikmat dunia pasti hilang saat tiba kematian. Dunia hanya persinggahan sementara.
Jika mata telah terbuka, kepalsuan melampaui batas akan terlihat. Jika telinga hati telah terbuka, kebenaran yang tersembunyi akan terdengar di sebalik kata-kata yang diucap.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment