Saturday, April 25, 2015

Gagal Bukan Penamat

Kejayaan bukan bergantung kepada akademik semata-mata. Orang terkaya di dunia pun tidak ada ijazah universiti. Yang nyata mereka mempunyai hala tuju hidup yang tepat. Sebahagian siswa masuk ke universiti hanya hendak menunjuk-nunjuk mereka berjaya masuk ke sana, bukan kerana mereka mempunyai matlamat hidup tertentu. Belajar kurang rajin, selepas tamat belajar tidak pula berusaha mencari kerja. Temuduga yang dihadiri gagal belaka. Ini adalah disebabkan mindanya tidak berada dalam paradigma orang berjaya.

Setiap orang bertanggungjawab sepenuhnya ke atas apa yang berlaku ke atas diri sendiri. Keputusan peperiksaan yang kurang memuaskan mungkin akibat usaha dahulu yang dibuat secara sambil lewa. Kalau terus berfikiran negatif disebabkan keputusan tersebut, sampai bila pun kejayaan tidak akan muncul. Untuk mencapai kejayaan minda mesti diset semula. Sekali tersadung bukan bererti jatuh selama-lamanya. Bangkitlah dan gambarkan dalam minda apa yang diingini beberapa tahun akan datang. Apa yang difikir akan menjana emosi, dan kemudiannya menentukan tindakan. Dalam gambaran minda, lihatlah diri yang Berjaya, lihat pejabat, para pekerja, pendapatan, keluarga, kaabah, atau apa sahaja yang diingini. Semua itu dapat dilihat bila kita mempunyai tujuan yang besar: kejayaan, kesenangan, kebahagiaan, kewangan. Minda positif adalah magnet emosi yang sangat kuat yang dapat menarik situasi, orang dan peluang ke arah yang dikehendaki.


Orang selalu kata, usaha tangga kejayaan. Tetapi usaha fizikal tidak sekuat usaha di minda. Sediakan satu buku perancangan. Di dalamnya, tulislah tentang kesihatan yang perlu ditentukan pada tahap yang baik, mengenai usaha yang hendak dilakukan untuk mencari ilmu bermanfaat, usaha membina hubungan kerohanian dengan Allah melalui solat, penjagaan aurat dan meraih kasih sayang Allah, melayan hubungan dengan orang di sekeliling dengan sopan santun dan ikhlas, usaha untuk memberi manfaat kepada setiap makhluk Allah. Kewangan pula diguna untuk manfaat yang diredhai Allah. Semua itu dilakukan semata-mata kerana Allah. Manfaatkan setiap detik waktu. Semua lisan berbentuk positif belaka. Hindari apa sahaja yang mempunyai aura negatif seperti muzik bising, hiburan melampau, program TV yang tidak membangunkan minda, berita sensasi dan gosip, rakan Facebook yang rendah budi bahasa, makanan dan minuman berpengawet dan diproses. Lakukannya untuk memastikan tenaga positif tetap berada di tahap tertinggi. Jadilah tangan yang sentiasa menghulur bantuan, bukan yang mengharap bantuan, dan tentunya bukan tangan yang asyik mengharapkan benda percuma.


Gunakan kuasa imaginasi untuk menimbulkan kepositifan diri. Lima minit sebelum tidur, gambarkan apa yang kita hendak jadi esok, maafkan semua orang supaya hati tenang. Baca doa tidur, 3 Qul dan Ayatul kursi. Bayangkan diri kita yang murah hati, rajin, suka menolong, lebih beriman, tidak merungut. Sematkan di minda bahawa “Tidak ada orang yang mengejar akhirat akan gagal. Kita bukan golongan yang mengejar dunia dengan menjual akhirat.”


Jangan pernah berputus asa. Kadangkala kejayaan sudah terlalu hampir,cuma kita yang tidak sabar lalu mengalah. Teruskan berusaha, kelak pasti kau akan menemui kemanisan hasilnya. Pesan Hukama: ORANG YANG TIDAK BERHARAP UNTUK MENANG, TELAH BERSEDIA UNTUK KALAH.

No comments:

Post a Comment