Thursday, February 13, 2014
Taubat Sebelum Terlambat
DOSA MEMBAWA BANYAK KEBURUKAN SEPERTI:-
• diharamkan daripada mendapat ilmu bermanfaat.
• sentiasa murung dan resah di hati.
• urusan harian pasti susah dan payah.
• sukar menjadi hamba yang taat.
• tidak mendapat berkat.
• dada terasa sempit.
• terus bergelumang dengan segala macam dosa lagi.
• Allah menghina.
• manusia lain pun memandang hina.
• binatang ternakan turut melaknati.
• hati dipenuhi oleh titik-titik hitam.
• doa terhijab dan terhalang daripada dimakbulkan.
• sukar mengecap kebahagiaan.
• hilang rasa malu.
• tanpa disedari, nikmat yang ada ditarik oleh Allah.
• diri terasa takut tidak terhingga.
• mudah dikuasai oleh syaitan.
• pengakhiran hidup yang buruk.
• akhirnya, azab dan sengsara Allah menanti di akhirat.
Manusia tidak lepas daripada melakukan dosa. Yang penting bertaubat setiap kali terasa melakukan dosa, berkali-kali pun tidak mengapa. Taubat tidak boleh ditangguh-tangguh kerana kematian datang secara tiba-tiba tanpa mengira usia atas banyak sebab – kemalangan, penyakit, bencana alam dan sebagainya. Allah Maha Pengampun dan sentiasa menerima taubat hamba-Nya yang ikhlas dan bersungguh-sungguh. Tidak terlambat untuk bertaubat. Pintu taubat hanya tertutup bila nyawa sudah berada dihalkum. Di mana ada kemahuan di situ ada jalan. Jangan remehkan dosa-dosa kecil kerana ia berpotensi menjadi besar. Jika ada mulut-mulut lancang yang mengata “berlagak alim” atau apa-apa sahaja, biarkanlah. Mereka tidak boleh membantu kita di akhirat kelak. Yang penting Allah redha dan suka pada kita. Apalah ertinya hidup seronok bergembira di dunia sedangkan di akhirat meraung kena azab.
TAUBAT AKAN DITERIMA DENGAN BEBERAPA SYARAT:-
• Yang berkaitan dengan Allah – menyesal, berhenti dan berazam tidak akan mengulangi dosa itu lagi.
• Yang berkaitan dengan manusia – penganiayaan, mencederakan atau mencemarkan kehormatan seseorang hendaklah ditebus kembali haknya disertai dengan permohonan maaf. Dosa sesama manusia yang lain ialah mengumpat, memfitnah, mengadu domba, menuduh tanpa bukti dan saksi (tuduhan bidaah, syirik, sesat, kafir sama ada melalui kata-kata atau media massa).
Bukan mudah hendak mengesan pemilik barang yang telah dicuri untuk mengembalikan harta itu kerana mungkin dia sudah mati, atau, harta yang hendak digantikan itu pun telah tiada, atau diri sendiri pun telah terlupa akan dosa itu!
BERTAUBATLAH SEBELUM TERLAMBAT.
Sesungguhnya taubat itu sukar, tetapi tidak bertaubat jauh lebih sukar. Telitilah hadis ini:
Telah datang seorang lelaki kepada Nabi s.a.w. dan berkata, “Wahai Rasulullah, sesungguhnya aku telah bertemu dengan seorang perempuan di sebuah kebun dan aku telah melakukan perbuatan terkutuk dengan perempuan tersebut. Aku tidak menyetubuhinya, aku telah mencium dan memeluknya. Aku tidak melakukan selain perbuatan tersebut, maka buatlah sesuka hatimu terhadapku.”
Tetapi Rasulullah s.a.w. tidak berkata apa-apa, lalu lelaki itu pun pergi dan berkata lah Umar, “Sesungguhnya, Allah telah menutup (keaiban) lelaki itu jika dia menutup (keaiban) dirinya sendiri.”
Rasulullah bersabda, “Kembalikan dia kepadaku.” Lelaki itu dipanggil semula kepada Baginda lalu dibacakan ayat Allah yang bermaksud “ Dan dirikan solat pada dua bahagian siang (pagi dan petang) dan pada ketika waktu permulaan malam (iaitu Maghrib dan Isyak). Sesungguhnya amal-amal kebaikan itu menghapuskan kejahatan. Perintah- perintah Allah yang demikian itu menjadi peringatan bagi orang yang mahu beringat,” (Surah Hud ayat 114).
Lalu Muaz r.a. bertanya, “Wahai Rasulullah, adakah hanya untuk dia sahaja atau untuk manusia seluruhnya?” Baginda menjawab, “ Bahkan ia untuk manusia seluruhnya.” (Riwayat Ahmad).
JAUHI DOSA DENGAN: 1. Mendekati al-Quran dan mengamalkan ajarannya. 2. Meneladani orang soleh. 3. Ingat kesan sampingan dosa. 4. Patuh dan taat mengenai soal halal, haram dan syubhah.
FIRMAN ALLAH: “Dan sesiapa yang mengerjakan kejahatan dan menganiaya dirinya, kemudian dia mohon ampun kepada Allah, nescaya dia mendapati Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.” (Surah an-Nisa ayat 110).
BERSIHKAN HATI DAN JIWA dengan Qiamullail tahajud, taubat dan witir setiap hari, penuhi waktu sempit dan lapang dengan zikir, wirid dan selawat, lakukan kerja-kerja bermanfaat untuk hamba-hamba Allah yang memerlukan di mana jua mereka berada.
Semoga Allah memberikan sebesar-besar rahmat dan kebaikan-Nya. Aamiin, aamiin, ya Rabbul Alamin!!!
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment