Tuesday, February 18, 2014

DUIT



Nama aku DUIT, kadang-kadang orang panggil aku wang, fulus dan macam-macam lagi.

Rupa aku biasa saja, badan aku lemah tetapi aku boleh membuatkan satu dunia inginkan aku. Aku juga boleh merubah sifat seseorang manusia, kerana manusia mengidolakan aku.Banyak orang berubah keperibadiannya, mengkhianati kawan,memutuskan persaudaraan, menjual maruah,malahan meninggalkan keyakinan imannya, demi aku!

Aku tak mengerti perbezaan orang senang dengan orang susah,tetapi manusia memakai aku untuk dijadikan loncatan darjat, menentukan kaya miskin dan terhormat atau terhina.Aku bukan Iblis, tetapi seringkali manusia melakukan kejahatan demi mendapatkan aku. Aku juga bukan orang ketiga, tetapi banyak suami isteri bergaduh dan berpisah kerana aku. Anak dan ibubapa berselisihan kerana aku.


Sangat jelas juga aku bukan tuhan, tetapi manusia menyembah aku seperti tuhan,bahkan kerapkali hamba-hamba tuhan lebih menghormati aku, padahal seringkali kita diingatkan supaya jangan sesekali menjadi hamba duit.

Aku tidak pernah mengorbankan diriku untuk sesiapapun, tetapi ramai orang yang rela mati demi aku. Ingin aku ingatkan bahawa aku hanya boleh menjadi alat untuk membayar resit ubat, tetapi aku tidak mampu untuk memanjangkan jangka hayat hidup seseorang. Aku juga satu alat yang boleh membuatkan kamu bersedekah dan memperolehi pahala dan keberkatan-Nya.


Kebanyakan orang sanggup bekerja demi aku siang dan malam. Walhal, tidakkah mereka sedar bahawa aku sebaliknya boleh bekerja untuk mereka dengan lebih efisien lagi.

Andai aku digunakan untuk bersedekah, nescaya aku tidak akan pernah putus dari kamu.Aku akan sering mendatangi kamu dengan keberkatan dari-Nya.Gunakanlah aku ke jalan yang diredhai olehNya. Yang benar, Duit..

 [Smasid Cikgu Yusof]

No comments:

Post a Comment