Saturday, February 8, 2014
Nafsu Pembawa Sengsara
Ketika pulang ke kampung, Ahmad terjumpa Pakcik Razak dalam suatu majlis kenduri. Kesungguhan Pakcik Razak menghadiri majlis itu cukup mengagumkan. Apa tidaknya dia datang dengan dipapah oleh anaknya. Semasa bersembang, Ahmad terlihat buku lali kaki Pakcik Razak bengkak membusung dan merenih kemerah-merahan dengan cecair putih mengalir daripada punatnya. Sesekali lelaki tua itu mengaduh menahan kesakitan.
"Pakcik dah lama kena gout." Ahmad hanya mengangguk dengan rasa simpati.
Ketika tiba waktu menjamu selera, Ahmad mengambil hidangan yang tersedia. Limpahan makanan di atas meja hidangan itu ada beraneka jenis, udang, ketam, sotong,juga ayam, ikan serta daging. Kerana teringatkan nasib yang menimpa Pakcik Razak, Ahmad sekadar mengambil beberapa jenis sayur dan ikan goreng.Ketika tercari-cari tempat duduk, dia ternampak Pakcik Razak sedang makan makanan yang diambilkan oleh anaknya. Ahmad terkejut melihat pinggan lelaki tua itu dipenuhi makanan laut.
"Doktor kata, makan sikit tak apa," jawabnya spontan. Ahmad diam tidak terkata. Hatinya memikirkan betapa sebentar lagi Pakcik Razak akan menderita kesakitan yang amat sangat.
MORAL CERITA:
Begitulah dahsyatnya nafsu manusia. Langsung tidak peduli akan sengsara yang bakal menimpa. Sesungguhnya jika nafsu itu dididik, maka baiklah jadinya manusia tersebut.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment