Monday, February 3, 2014
Bandar Tenggelam Muncul Semula
serenemaklong.blogspot.com
Bandar tenggelam 25 tahun lalu muncul semula di Argentina. “Saya tidak percaya hantu itu wujud, tetapi jika benar ia pastinya penghuni Villa Epecuen,” kata jurugambar Federico Peretti di dalam majalah Vice.Imej yang diambilnya menggambarkan kehancuran perkampungan pelancongan itu yang satu ketika dulu amat popular di Argentina.Pelbagai imej dirakam seperti dahan pokok yang menyerupai tangan jahat, kereta lama berkarat umpama bangkai raksasa dan rumah runtuh di dalam air.Terletak kira-kira 600 kilometer di barat daya Buenos Aires, Villa Epecuen adalah tempat pelancongan yang sibuk kira-kira 30 tahun yang lalu.Pelancong dibawa ke sepanjang tasik Lago Epecuen seperti mana kampung itu dinamakan kerana air masin itu dikatakan mampu merawat penyakit secara terapeutik. Malang apabila tasik itu tidak memberi manfaat kepada penduduk kampung terbabit. Pada 10 November 1985, empangan yang dibina melindungi perkampungan itu daripada tasik garam akhirnya pecah selepas kejadian hujan yang luar biasa. Laluan di sekitar Villa Epecuen mula ditenggelami air. Kejadian banjir besar di seluruh bandar meragut mata pencarian penduduk, masyarakat dan kediaman mereka.
Penduduk asal, Pablo Novak, 81, yang kembali ke perkampungan itu selepas banjir berkata, air yang semakin naik itu mengejutkan penduduk Villa Epecuen.“Pada mulanya, mereka menganggap air yang melimpah itu akan surut dalam masa terdekat. Namun apabila ia tidak berlaku, pekan ini mula ditinggalkan.“Rakan dan jiran terpisah,” katanya sewaktu memberitahu Peretti. Banjir terbabit menenggelamkan Villa Epecuen sehingga 10 meter dalam air masin.Perpindahan penduduk dari Villa Epecuen dianggap tragis dan tidak mampu dipulihkan.
“Ada segelintir dalam kalangan kami membawa beg yang berat dengan pelbagai kenangan pahit dan manis,” kata bekas pemastautin Ariel Sewald yang hanya mempunyai beberapa gambar kenangan rakan-rakannya di pekan itu.Seorang lagi bekas penduduk Villa Epecuen, Norma Berg bercerita mengenai kucing dan anjing peliharaannya yang melarikan diri sebelum berlakunya banjir, seolah-olah haiwan itu mempunyai firasat bencana yang bakal melanda. Dia tidak pernah melihat mereka lagi.
“Ramai penduduk tempatan tidak pernah dan tidak akan datang kembali. Sebahagiannya meninggal dunia akibat terkejut dan tekanan kerana kehilangan segala-galanya,” kata Berg.
Apabila tasik itu surut pada 2009, ia mendedahkan suatu tempat yang sangat berbeza dengan keadaan sebelumnya kerana berada di bawah air lebih dua dekad lalu.Tumbuhan hijau yang kembang subur kini digantikan dengan batang pokok kehitaman dan dahan reput yang kelihatan seperti terbakar berbanding terendam di dalam air. Ada sesuatu yang ganjil dan boleh melemahkan semangat apabila memikirkan pokok terbabit berada dalam keadaan lurus dan teratur di dalam satu garisan. Bangunan yang muncul pula, separuh atau hancur sepenuhnya. Menurut Peretti, dia menempuh persekitaran menyenangkan itu dengan berani malah bermalam di rumah penyembelihan yang runtuh dan terbengkalai.
“Struktur rumah itu dan persekitarannya berbau laut. Beribu-ribu merpati bertenggek di atas runtuhan rumah penyembelihan manakala bunyi air yang memukul tidak menyenangkan. Kebanyakan pelancong yang datang tidak sanggup bermalam di sini,” katanya. Villa Epecuen satu ketika dulu sibuk dan meriah dengan penduduk seramai 1,500 orang dan menarik kehadiran sekitar 30,000 pelancong setiap tahun. Pelancong datang sejak awal 1920-an hanya untuk berendam di tasik. Umpama Laut Mati, air masin dari Lago Epecuen mampu merawat penyakit dan masalah kulit.Selain menjana pendapatan melalui pelancongan, Lago Epecuen turut meningkatkan ekonomi penduduk dengan membekalkan garam bagi perindustrian farmaseutikal dan pembuatan kaca. Beberapa dekad sebelum berlakunya banjir, hotel dibina bersilih ganti selain wujudnya karnival, tarian dan parti menggambarkan kegemilangan kawasan ini. Ia adalah kawasan spa terbesar di Buenos Aires dan tempat bersantai untuk keluarga menikmati keseronokan. Tiada siapa sangka tasik yang membawa kekayaan kepada penduduk kampung itu bakal membawa kemusnahan.
Namun, peristiwa tragis itu boleh dielakkan. Pada 1975, kerajaan membina terusan Ameghino bagi mengawal aliran air ke kawasan tasik. Terusan dibina untuk memastikan Lago Epecuen mempunyai air secukupnya agar dapat menampung industri pelancongan. Pembinaan terusan itu dianggap satu keajaiban dalam dunia kejuruteraan. Namun, penduduk di Villa Epecuen tidak sedar musim kemarau akan berakhir dan sejak 1980-an air di tasik mula meningkat. Pergolakan politik di Argentina pada 1970-an membuatkan terusan itu tidak dipantau secukupnya, retak - menambahkan lagi kesan buruk sedia ada.
Hingga kini hanya Pablo Novak bermastautin di Villa Epecuen dan tinggal di sebuah pondok. Adakalanya Novak seperti mengenang kembali nostalgia kampung itu sewaktu ia terkenal sebagai pusat peranginan. Nama tasik itu datangnya daripada seorang anak yatim yang diselamatkan daripada kebakaran hutan dan dikenali ‘Epecuen’ bermaksud ‘hampir dibakar’.Budak lelaki itu membesar sebagai pahlawan perkasa sehinggalah pada satu hari dia menculik anak perempuan ketua musuhnya bernama Tripantu bermaksud ‘musim bunga’. Tripantu jatuh cinta dengan lelaki yang menculiknya malah mendapat balasan cinta daripada Epecuen. Tetapi Epecuen mudah jatuh hati kepada tahanan wanitanya yang lain hingga membuatkan Tripantu kecewa. Tripantu menangis dan sedih berterusan hingga wujudnya sebuah tasik garam yang besar iaitu Lago Epecuen - membuatkan Epecuen dan kekasih barunya lemas di dalam tasik.
Menyedari kekasih yang dicintainya lemas, Tripantu menjadi gila dan merayau mengelilingi tasik. Akhirnya ketika di bulan purnama, Tripantu mendengar panggilan Epecuen dari gulungan ombak lalu hilang dan tidak pernah dilihat lagi selepas itu. Lago Epecuen pula diangkat sebagai tempat suci bagi kaum yang tinggal di sepanjang tasik itu. Keadaan air yang surut menarik orang ramai datang ke Villa Epecuen. Pengunjung berpeluang meneroka bandar yang pernah berada di bawah air dan timbul kembali ini malah pembuat filem turut melawat runtuhan Villa Epecuen yang dipaparkan di dalam filem There Be Dragons arahan Roland Joffe yang menggambarkan Perang Saudara Sepanyol.
[KEMBOJA PUTIH NASUTION]
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment