Monday, February 17, 2014

Ikhlas

"Saya nak ajarkan kamu ilmu ikhlas," kata seorang guru kepada pelajarnya. "Nanti saya ambil buku dan pen untuk menulis." "Tak payah, bawa sahaja karung guni." "Karung guni?" soal anak muridnya seperti tidak percaya. "Mari kita ke pasar!"
Dalam perjalanan ke pasar mereka berdua melalui jalan yang berbatu-batu. "Kutip batu-batu yang besar dan masukkan ke dalam guni yang kamu bawa itu sampai penuh," kata guru itu memberi arahan. Tanpa banyak soal,pelajarnya memasukkan batu-batu besar yang ditemui di sepanjang jalan. Sampai di pasar, mereka berdua tidak membeli apa-apa. Berlegar-legar, melihat-lihat dah kemudiannya mula beredar keluar. "Cikgu, kita tak beli apa-apapun?" "Tak. Bukankah karung guni kamu dah penuh?" "Ya,ya..."kata si pelajar, agak kelelahan.
"Banyak beli barang," tegur seorang kenalan apabila melihat mereka dengan guni yang kelihatan berat itu. "Wah, tentu mereka berdua ini orang kaya! Banyak sungguh barang yang mereka beli," kata seseorang yang lain. "Agaknya, mereka hendak buat kenduri besar, kot,"kata yang lain pula. Sebaik kembali ke kediaman, si pelajar meletakkan guni yang berisi batu-batu tadi. "Oh, letih sungguh.. apa yang kita nak buat dengan batu-batu ni, Cikgu?" "Tak buat apa-apa" "Eh, kalau begitu letih sahajalah,"balas si pelajar. "Letih memang letih, tapi kamu dah belajar tentang ikhlas." "Ikhlas?" tanya pelajar itu kehairanan. "Kamu dah belajar apa akibatnya jika tidak ikhlas dalam beramal," "Dengan memikul batu-batu ini?"
"Ya. Batu-batu itu umpama amalan yang riyak. Tidak ikhlas. Orang memujinya seperti orang-orang dipasar tadi memuji banyaknya barang yang kamu beli.Tapi, kamu sendiri tahu itu bukan barang makanan atau keperluan, hanya batu-batu." "Amal yang tidak ikhlas umpama batu-batu ini?" tanyanya lagi. "Ya. hanya berat sahaja yang ditanggung. Dipuji orang, tetapi tidak ada nilainya di sisi ALLAH. Yang kamu dapat, Hanya penat." "Sekarang saya faham apa akibat jika beramal tetapi tidak ikhlas!" ujar si pelajar.
PENGAJARAN : Ramai manusia tertipu dalam beramal kerana mengharapkan pujian. Padahal kata-kata pujian hakikatnya hanya menyebabkan diri terseksa kerana terpaksa hidup dalam keadaan yang bermuka-muka. Rugi benar orang yang tidak ikhlas,terseksa di dunia, terseksa di akhirat" [Dr. Tengku Asmadi Tengku Mohammed]

No comments:

Post a Comment