Saturday, April 27, 2013

Universiti Kehidupan






ANAK Melayu Pertama Menjadi Pensyarah di Universiti Oxford (lepasan dari sistem Pondok)

Siapa kata belajar pondok tiada masa depan? Yang tiada masa depan itu disebabkan belajar hanya sekerat. Bila terasa diri sudah cukup alim tiada kemahuan untuk berusaha lebih lagi.

Kalau betul-betul belajar agama dan jadi pakar dalam bidang agama, tidaklah susah kerana Allah akan pelihara. Buktinya, anak melayu pertama menjadi menjadi pensyarah di Universiti Oxford adalah bekas lepasan pondok dan terus menambahkan lagi ilmu pengetahuan hingga ke negara orang.

Dr Muhammad Afifi al-Akiti MA (Oxon), MSt (Oxon), DPhil (Oxon), MSIEPM – juga dikenali sebagai Sheikh Afifi adalah salah seorang felo pensyarah Pengajian Islam di Pusat Pengajian Islam Oxford, dan Pensyarah Pusat Islam dalam bidang pengajian Islam di Fakulti Teologi, Universiti Oxford, United Kingdom. Beliau juga merupakan felo pensyarah di Worcester College, Oxford. Beliau adalah anak  Melayu pertama berjaya menjadi salah seorang tenaga pensyarah di universiti paling berprestij di dunia.

Dr al-Akiti berjaya mendapat ijazah kedoktoran falsafah (DPhil) dalam jurusan Falsafah Arab Pertengahan (Medieval) dari Universiti Oxford sebagai Cendekiawan Clarendon pada tahun 2008. Tesisnya dianggap sebagai suatu bentuk penulisan falsafah yang diletakkan di bawah kumpulan pertama yang digelar sebagai Karpus Madnun, dipersembahkan kepada teologis Islam termasyhur, Imam Al-Ghazali (d. 505/1111) . Penemuannya adalah berdasarkan kepada kaji selidik yang mendalam terhadap kira-kira 50 manuskrip Arab zaman pertengahan (medieval).

Selain itu, terdapat juga tiga siri kajiannya yang diterbitkan yang dapat menyajikan edisi kritis hasil kerja yang paling maju dan teknis dari korpus, manual pada metafizik serta falsafah alam yang disebut Mayor Madnun.

Dr al-Akiti, yang berasal dari Malaysia, telah dilatih sebagai seorang ahli teologi dan ahli falsafah dalam kedua-dua bidang keutamaan khususnya berkaitan dengan Dunia Islam dan tradisi barat. Beliau telah dididik oleh pelbagai Ulama Dunia Islam yang masyhur sejak beliau memulakan pengajian dari sekolah pondok lagi. Beliau telah menerima Ijazah Sarjana Muda Kelas Pertama dalam bidang Falsafah Skolastik dan Sejarah Sains dari Universiti Queen Belfast, di mana beliau berpeluang mendapat pelbagai anugerah biasiswa untuk meneruskan pengajiannya di peringkat sarjana dan doktor falsafah di Oxford. Bidang kepakaran beliau adalah  teologi Islam, falsafah dan sains.

Pada 2009, bersama Profesor Muhammad Abdel Haleem dan IIIT, Dr al-Akiti telah disenarai pendek sebagai salah seorang yang tersenarai dalam Anugerah Muslim UK Tahunan, atas kecemerlangannya menyumbang ilmu pendidikan Islam.

Pada 2010, Dr al-Akiti telah dilantik sebagai Ahli Dewan Penasihat Agama Islam Negeri Perak, Malaysia, di mana pengisytiharan ini telah disempurnakan oleh Raja Muda Perak, Raja Dr Nazrin Shah.

Akhir kalam, kalau tidak dipecahkan ruyung manakan dapat sagunya. Genggam bara api biar menjadi abu. Belajarlah betul-betul.Jangan jadikan ilmu agama penyebab tidak dapat kerja dan tidak berjaya. Salahkan diri sendiri yang tidak berusaha keras dalam menuntut ilmu agama.

Sedarlah, wahai golongan yang belajar ilmu agama, rezeki itu Allah sudah tentukan untuk kita. Kerja kita ialah berusaha.

Tanda ilmu tidak berkat ialah:

1. Semakin tinggi ilmu semakin menjadi angkuh dan sombong dengan Allah SWT dan juga sesama manusia.

2. Semakin banyak ilmu semakin diri terasa hebat, tidak langsung merasa hebatnya Allah SWT.

3. Penyakit hati semakin bersarang tebal di dalam dada.

4. Memandang rendah pada orang lain.

Semoga ilmu yang dipelajari dapat membuatkan kita menjadi hamba Allah yang bertakwa. In sya Allah.


No comments:

Post a Comment