Saturday, April 6, 2013

Menghadapi Kehidupan


serenemaklong.blogspot.com



JANGAN tertarik kepada seseorang kerana parasnya, sebab keelokan paras boleh menyesatkan. Jangan pula tertarik kepada kekayaannya, kerana kekayaan boleh musnah. Tertariklah kepada seseorang yang dapat membuatmu tersenyum, kerana hanya senyuman dapat mencerahkan hari-hari yang gelap. Semoga dipertemukan dengan orang seperti itu.

Ada saat-saat dalam hidup ketika kita sangat-sangat merindukan seseorang, sehingga hati ingin menjemputnya dari alam mimpi dan memeluknya di alam nyata. Semoga diimpikan orang seperti itu.

Impikan saja apa yang dirindui, pergilah ke mana-mana yang diingini, jadikan diri sendiri apa yang diidamkan, kerana kita hanya memiliki satu kehidupan dan satu kesempatan untuk melakukan apa-apa yang dicitakan.

Semoga memperoleh kebahagiaan yang cukup untuk membuat hati menjadi baik, ujian yang cukup untuk menguatkan diri, kesedihan yang cukup untuk mengingatkan bahawa diri ini adalah manusiawi, harapan yang cukup untuk memberi kebahagiaan dan wang yang cukup untuk membeli hadiah dan bingkisan.

Ketika satu pintu kebahagiaan tertutup, pintu yang lain dibukakan. Tetapi acapkali kita terpaku terlalu lama pada pintu yang tertutup sehingga tidak melihat pintu lain yang dibukakan bagi kita.

Sahabat terbaik adalah dia yang dapat duduk di sisi, tanpa mengucapkan sepatah kata, dan kemudian berlalu dengan perasaan yang telah bercakap-cakap lama dengannya.

Memang kita jarang sedar apa yang kita miliki sehingga tiba masa kita kehilangannya. Begitu juga,  kita tidak tahu apa yang belum pernah kita miliki sehingga kita mendapatkannya.

Pandanglah segala sesuatu dari kacamata orang lain. Jika sesuatu itu menyakitkan hati sendiri, kemungkinan besar ia juga menyakitkan hati orang lain.

Kata-kata yang diucapkan sembarangan mampu membawa perselisihan. Kata-kata yang kejam boleh menghancurkan kehidupan. Kata-kata yang diucap pada tempatnya dapat meredakan ketegangan. Kata - kata yang penuh cinta dapat menyembuhkan dan memberi keberkatan.

Biarkan orang yang kita cinta menjadi dirinya sendiri. Jangan ubah dia mengikut acuan kita. Jika tidak, kita hanya mencintai pantulan diri sendiri yang kita temukan di dalam diri dia.

Orang paling berbahagia tidak selalu memiliki yang terbaik. Mereka hanya berusaha menjadikan yang terbaik dari setiap hal yang hadir dalam hidupnya.

Mungkin Tuhan sengaja mempertemukan kita dengan orang yang ‘salah’ sebelum dipertemukan  dengan orang yang tepat. Kita patut bersyukur di atas kurniaan itu.

Hanya seminit yang diperlukan untuk mengkaji seseorang, sejam untuk menyukai seseorang dan sehari untuk mencintai seseorang, tetapi diperlukan waktu seumur hidup untuk melupakan seseorang.

Kebahagiaan tersedia bagi yang menangis, yang disakiti hatinya, yang mencari dan yang mencuba. Mereka sangat menghargai orang-orang yang pernah hadir dalam hidup mereka.

Cinta adalah jika kamu kehilangan rasa, ghairah dan romantis namun masih mengambil berat tentang dia.
Yang amat menyedihkan dalam hidup ialah ketika  bertemu seseorang yang sangat bermakna tetapi  akhirnya mendapati bahawa keadaan dia bukanlah seperti itu, lantas harus dilepaskan pergi.

Cinta dimulai dengan sebuah senyuman, tumbuh dengan sebuah ciuman dan berakhir dengan air mata.

Cinta datang kepada orang yang masih berharap sekalipun pernah dikecewakan, kepada orang yang masih percaya sekalipun pernah dikhianati, kepada orang yang masih mencintai padahal hati pernah dilukai.

Memang derita jika cinta tidak berbalas, namun  lebih menyakitkan bila gagal meluahkan perasaan yang terpendam kepada orang yang dipuja sepenuh hati.

Masa depan yang cerah bergantung kepada masa lalu yang dilupakan. Hidup tidak dapat diteruskan dengan baik jika gagal melupakan kekecewaan dan rasa sakit hati masa silam.

Jangan ucapkan selamat tinggal jika hati masih mahu mencuba. Jangan pernah mengalah jika diri masih merasa sanggup. Jangan pernah kata tidak cinta jika diri masih belum dapat melupakannya.

Memberikan seluruh cinta kepada seseorang bukan jaminan cinta itu akan berbalas. Jangan harapkan balasan cinta. Tunggu sampai cinta berkembang di hatinya. Tetapi jika tidak, berbahagialah kerana cinta tumbuh di hati sendiri.

Ada hal-hal yang sangat ingin didengari tetapi tidak pernah diucap oleh orang yang diharapkan. Namun jangan pula memekakkan telinga bila ia diucapkan sepenuh hati oleh orang lain.

Waktu lahir, kita menangis sedangkan orang-orang di sekeliling kita tersenyum. Jalani hidup sebaik mungkin sehingga saat kita meninggalkan dunia. Ketika itu kita tersenyum dan orang-orang di sekeliling kita pula menangis.

(Adaptasi dari posting Mohd Nor Kartor)

No comments:

Post a Comment