Saturday, April 13, 2013

Musibah Yang Menimpa


serenemaklong.blogspot.com




HIDUP memang penuh dengan dugaan dan ujian. Tanpa ujian dan dugaan, sudah tentulah hidup yang cuma sementara sahaja ini akan menjadi hambar.
 
Sesungguhnya apa sahaja yang ditakdirkan menimpa diri kita, mempunyai tujuan atau hikmah tertentu. Hikmah itu kadangkala kita sedar setelah ujian yang menimpa itu berlalu atau juga langsung tidak diketahui sehingga akhir hayat.

بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
وَلَا تَهِنُواْ وَلَا تَحۡزَنُواْ وَأَنتُمُ ٱلۡأَعۡلَوۡنَ إِن كُنتُم مُّؤۡمِنِينَ (١٣٩)

Petikan dari Surah Ali Imran Ayat 139 bermaksud: Dan janganlah kamu merasa lemah (dalam perjuangan mempertahan dan menegakkan Islam) dan janganlah kamu berdukacita (terhadap apa yang akan menimpa kamu), padahal kamulah orang - orang yang tertinggi (mengatasi musuh dengan mencapai kemenangan) jika kamu orang - orang yang (sungguh - sungguh) beriman.

Dalam mendepani ujian atau musibah yang melanda diri, sentiasa bersabar dan menerimanya dengan hati  terbuka penuh reda. Dalam kitab Jami’ al-Tirmizi disebutkan bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda, mahfumnya: ‘Apabila Allah mencintai sesuatu kaum, maka Dia menguji mereka. Sesiapa yang reda, ia akan mendapat keredaan Allah dan sesiapa yang marah, ia akan mendapat kemurkaan Allah’.

Selawat dan salam diucapkan kepada Junjungan Besar Nabi Muhamad s.a.w. , ahli keluarga dan sahabat - sahabat baginda dan mereka yang mengikutinya sehingga ke hari kiamat.

Semoga sahabat semua berada di dalam keadaan sihat wal-afiat, beriman, bertakwa dan bergembira di atas nikmat dan rahmat yang telah dikurniakan Allah s.w.t kepada kita semua.

Nabi s.a.w. berkata kepada Sayyidina Abu Bakar r.a. ketika Nabi dan beliau bersembunyi di Gua Tsur : “La Takhaf Wa La Tahzan. Innallaha Ma’ana” yang maksudnya: “Janganlah kamu takut dan janganlah kamu bersedih hati. Sesungguhnya Allah ada bersama kita”. Firman Allah s.w.t. Petikan dari Surah Ali Imran Ayat 139

بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
وَلَا تَهِنُواْ وَلَا تَحۡزَنُواْ وَأَنتُمُ ٱلۡأَعۡلَوۡنَ إِن كُنتُم مُّؤۡمِنِينَ (١٣٩)
Maksudnya : Janganlah kamu bersikap lemah dan janganlah (pula) kamu bersedih hati, padahal kamulah orang - orang yang paling tinggi (darjatnya) jika kamu orang - orang yang beriman. Apakah manusia itu mengira bahawa mereka itu dibiarkan (saja) mengatakan: Kami telah beriman, sedang mereka tidak diuji lagi. Apabila dilanda musibah atau kesedihan, Allah s.w.t. Petikan dari Surah Al Baqarah Ayat 156 yang berbunyi.

بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ

ٱلَّذِينَ إِذَآ أَصَـٰبَتۡهُم مُّصِيبَةٌ۬ قَالُوٓاْ إِنَّا لِلَّهِ وَإِنَّآ إِلَيۡهِ رَٲجِعُونَ (١٥٦)
Maksudnya : (iaitu) orang - orang yang apabila ditimpa musibah, mereka mengucapkan :’Innaa lilaahi wa innnaa ilaihi’. Petikan dari Surah Al Ra’ad Ayat 28 yang berbunyi

بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ وَتَطۡمَٮِٕنُّ قُلُوبُهُم بِذِكۡرِ ٱللَّهِ‌ۗ أَلَا بِذِڪۡرِ ٱللَّهِ تَطۡمَٮِٕنُّ ٱلۡقُلُوبُ (٢٨)
Maksudnya: Ingatlah hanya dengan mengingati Allahlah hati menjadi tenteram Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya.

Mari kita fahami kesedihan dan penderitaan puteri Nabi s.a.w., Fatimah Azzahrah sebelum akhir hayatnya. Hari demi hari dilaluinya dengan penderitaan yang tidak kunjung berakhir, badannya semakin tidak berdaya. Pun begitu Fatimah  berupaya memandikan puteranya, Al-Hasan dan Al-Husain, menggantikan pakaian mereka, kemudian mengirim mereka kepada sepupunya. Walaupun demikian dia berupaya menyembunyikan rasa sakitnya di hadapan kedua anaknya.

Kemudian Fatikah memanggil suami tercinta ke sisinya seraya berkata, “Ali suamiku yang tercinta, kamu sangat mengetahui mengapa aku lakukan semua itu. Maafkan segala kesalahan, mereka telah demikian menderita bersama selama aku sakit. Aku  ingin melihat mereka bahagia pada hari terakhir hidupku. Wahai Ali, kamu pun tahu bahawa hari ini adalah hari terakhir.”

“Gembira tetapi juga bersedih. Senang bahawa penderitaan akan segera berakhir dan akan bertemu dengan ayah, namun sedih kerana harus berpisah denganmu. Mohon wahai Ali, catatlah apa yang akan aku katakan dan kerjakanlah apa yang aku inginkan. Sepeninggalanku nikahilah Yamamah, sepupuku kerana dia mengasihi anak-anakku, dan Husain sangat dekat kepadanya.”

“Wahai Ali kuburkan aku pada malam hari dan jangan biarkan orang-orang yang kejam menyertai penguburanku. Kamu harus melayani Islam dan kebenaran untuk waktu yang lama. Janganlah penderitaanku memahitkan kehidupanmu. Berjanjilah wahai Ali.”
 
Dengan berlinang air mata, Ali menjawab, “Ya, wahai isteriku tercinta, aku berjanji.”

Fathimah berkata lagi, “Ali, aku tahu betapa kamu sangat mengasihi anak-anak. Namun, berhati-hatilah dengan Husain. Dia sangat mengasihiku dan akan sangat sedih dengan kehilanganku. Jadilah ibu baginya. Hingga menjelang sakit ini, dia biasa tidur ke dadaku, dan sekarang dia kehilangan itu.”

Fatimah mengangkat wajahnya dan berkata, “Jangan menangis wahai suamiku. Aku tahu dengan wajah lahirmu yang nampak kasar betapa lembut hatimu, kamu telah menderita terlalu banyak.”

Di malam terakhir kehidupunnya di dunia yang fana ini, sambil menahan rasa sakit yang menimpanya, Sayyidah Fathimah Azzahra menengadahkan kedua tangannya ke langit dan berdoa untuk pengikut dan pencinta setia keluarga Nabi. Dengan menyebut ayah, suami, dan putera – puteranya, beliau memohon kepada Allah Jalla wa 'Ala': 

“Wahai Tuhanku, sungguh aku memohon kepadaMu melalui Muhamad al-Musthofa dan kerinduannya kepadaku, melalui suamiku Ali al-murtadho serta dukanya terhadapku, melalui al-Hasan al-Mujtaba dan tangisannya atasku, melalui puteraku al-Husain As Syahid dan kedukaannya terhadapku, melalui puteri-puteriku dan duka mereka semua atasku. Sungguh Engkaulah yang paling pengasih dari segala yang mengasihi. Tuhanku, Penghuluku, aku bermohon kepadaMu melalui orang orang pilihanMu dan tangisan putera-puteraku kerana berpisah denganku, agar Engkau mengampuni para pendosa dan ahli maksiat dari pengikut keturunanku.”

Inilah satu kisah sedih yang berlaku kepada keluarga Nabi s.a.w di saat kematian Sayyidah Fatimah Azzahra. Setiap yang hidup akan mati, dan kematian akan datang bila-bila masa. Oleh itu hadapilah segala ujian dan dugaan dan bersabar dan bertenanglah menghadapinya. Sesungguhnya Allah bersama orang sabar.

Musibah yang diturunkan oleh Allah s.w.t. juga  menguji tahap kesabaran, tingkat kesyukuran selain mengukuhkan keimanan, khususnya bagi hamba - hambaNya yang beriman. Dari satu aspek, musibah yang ditimpakan Allah juga merupakan rahmat yang membersihkan diri, bertaubat kepada Allah s.w.t. dan menyesali segala kesilapan yang telah dilakukan.

Hamba yang bertaubat, samalah seperti orang yang dikatakan oleh Sa`id ibn Jubair, “Sesungguhnya seseorang hamba itu akan melakukan kebaikan, namun ia di masukkan ke dalam neraka dan ada pula yang melakukan kejahatan lalu dia di masukkan ke dalam syurga. Ini disebabkan orang yang melakukan kebaikan itu merasa `ujub dengan kebaikannya. Sedangkan yang melakukan kejahatan pula menginsafi dirinya dan memohon ampun kepada Allah serta bertaubat kepadaNya.”

Reda merupakan amalan hati, namun adalah lebih baik lagi jika kita dapat menterjemahkannya dalam kata-kata iaitu pujian terhadap Allah s.w.t. Tindakan memuji Allah ini adalah sangat utama sehingga ada yang menyatakan bahawa pujian itulah yang disebutkan reda.
 
Dalam sebuah Hadith, dijelaskan: “Orang pertama yang dipanggil untuk masuk ke syurga ialah orang yang selalu memuji Allah, sama ada dalam kesenangan mahupun dalam penderitaan.”

Kesimpulan yang dapat dibuat daripada Hadis ini ialah keredaan Allah bergantung pada sikap kita dalam menerima segala ujianNya. Sekiranya kita reda maka sudah pasti Allah akan meredai kita dan menunjukkan laluan yang mudah untuk kita. Akhirnya, kita akan dibimbing untuk menyelesaikan segala kesulitan dengan penuh ketenangan dan kebijaksanaan. Sekiranya pula kita berasa marah, kecewa dan tidak reda dengan apa yang telah ditimpakan Allah ke atas kita, kita sesungguhnya telah menyebabkan Dia memurkai kita.

Tanpa kita sedari, kita sebenarnya telah mencampakkan diri kita ke dalam kebinasaan. Tanpa keredaan Allah, bagaimanakah mungkin kita dapat melayari hidup ini dengan sebaik - baiknya. Apatah lagi untuk menghadapi segala musibah dan dugaan yang juga datang daripadaNya. Sudah pastilah jiwa kita tidak akan tenteram, langkah kita akan pincang dan hidup kita, secara keseluruhannya, hilang arah.

(Sumber: Muhamad Nor Kartor)

No comments:

Post a Comment