Saturday, April 13, 2013

Bantuan Dari Allah

serenemaklong.blogspot.com



SEORANG pelajar masuk ke dewan peperiksaan dalam keadaan keletihan dan tertekan. Dia duduk di tempat yang telah dikhaskan untuknya. Dia kemudian menerima kertas ujian.
Seorang guru terperasan bahawa pelajar tersebut
tidak menulis apa-apa pun pada kertas jawapannya sehingga berlalu separuh masa peperiksaan. Maka guru tersebut mula memberi perhatian yang lebih kepadanya.

Tiba-tiba pelajar tersebut mula menulis dan menjawab semua soalan dengan pantas dan ini mengejutkan guru yang sedang memerhatikannya sejak tadi.
Pelajar tersebut menjawab semua soalan dengan baik. Ini menambahkan lagi rasa ragu-ragu pada guru tersebut dan dia beranggapan pelajar tersebut telah menggunakan taktik baru dalam meniru. Tetapi guru tersebut tidak menjumpai apa-apa tanda yang pelajar itu telah meniru dalam peperiksaan.

Setelah pelajar itu menyerahkan kertas jawapannya, guru telah bertanya kepadanya apa yang berlaku sebenarnya.

Dan jawapannya amat mengejutkan dan menyentuh perasaan. Pelajar tersebut menceritakan : “Semalam saya berjaga sepanjang malam sehingga subuh. Saya dalam keadaan tidak sihat dan menjaga ibu saya yang sakit sehingga tidak sempat mengulangkaji untuk ujian. Saya datang menghadiri peperiksaan dengan harapan saya dapat melakukan sesuatu dalam peperiksaan nanti.

Saya melihat soalan-soalan namun tidak dapat menjawabnya. Saya hanya berdoa kepada Allah dengan amalan terbaik yang saya lakukan iaitu berbakti kepada ibu semata-mata kerana Allah.

Tidak lama selepas itu, Allah memakbulkan doa saya dan seolah-olah saya nampak buku di depan. Saya mula menulis dengan pantas. Itulah yang saya dapat dan amat bersyukur kepada Allah kerana menerima permohonan saya.

Kisah ini menjelaskan bahawa betapa besarnya ganjaran berbuat baik kepada ibu bapa dan merupakan amalan yang paling Allah sukai. Maka Allah membalasnya dengan memberi kebaikan kepadanya kerana berbakti kepada orang tua.

Kepada sesiapa yang masih mempunyai ibu dan bapa, segeralah berbakti kepada mereka untuk mencari keredaan Allah sebelum mereka pergi meninggalkan kita.



No comments:

Post a Comment