Wednesday, April 10, 2013

Seks Untuk Kesihatan


serenemaklong.blogspot.com
SEKS adalah salah satu kurniaan Tuhan yang memang membawa kebaikan jika diamalkan secara betul.
Oleh itu, seks hanya HALAL kepada pasangan yang sudah berkahwin sahaja. Terdapat beberapa faedah seks kepada kesihatan yang mungkin tidak pernah anda fikirkan:

Mengurangkan Berat Badan
Aktiviti seks boleh membakar sebanyak 75 - 150 kalori setiap setengah jam. Aktiviti seks hampir setara dengan senaman lain seperti yoga (114 kalori setiap setengah jam), menari (129 kalori setiap setengah jam) atau berjalan (153 kalori setiap setengah jam).
Seks juga boleh membantu mengekalkan kekuatan otot kerana rangsangan seksual dan inzal menyebabkan badan mengeluarkan hormon testostron, yang salah satu fungsinya ialah untuk membina dan mengekalkan tisu dan otot.

Tingkatkan Kesihatan Jantung
Penyakit jantung adalah antara penyakit yang paling banyak membunuh wanita. Bersenam, mengambil makanan yang berkhasiat, mengurangkan pengambilan garam, gula dan lemak merupakan cara untuk mendapatkan jantung yang sihat.
Seks juga merupakan senaman yang meningkatkan nadi serta pengaliran darah. Menurut kajian yang telah dilakukan, aktiviti seks sebanyak 1 - 2 kali seminggu boleh mengurangkan 2 kali ganda risiko serangan jantung manakala yang telah berumur 55 tahun ke atas tidak digalakkan berbuat demikian, sebulan sekali sudah memadai kerana faktor usia.

Membantu Tidur lebih Nyenyak
Jika mengalami masalah untuk tidur malam, ia merupakan petanda tekanan atau stres. Pasangan yang kerap melakukan hubungan seks melaporkan, mereka dapat mengatasi tekanan dengan lebih mudah. Perasaan tenang selepas inzal membantu badan berehat sepenuhnya. Berdasarkan laporan penyelidikan, ramai pasangan dapat tidur dengan mudah dan nyenyak sepanjang malam selepas melakukan hubungan seks.

Meningkatkan Sistem Imunisasi
Menurut kajian yang dilakukan oleh penyelidik dari Wilkes University, Pennsylvania, individu yang melakukan hubungan seks 1 - 2 kali seminggu menunjukkan 30% peningkatan antibodi immunoglobulin A yang berfungsi meningkatkan sistem imunisasi.

Meningkatkan Kesihatan Mental
Hubungan seks dalam keadaan yang HALAL dan penuh KASIH SAYANG boleh membantu kerana keintiman dan kasih sayang yang terlibat membantu mengurangkan tekanan. Hasilnya, paras hormon kortisol akan menurun. Hormon kortisol dikeluarkan oleh badan akibat stres dan ia boleh meningkatkan risiko darah tinggi dan kencing manis.

Membantu Melegakan Kesakitan
Menurut pakar kesihatan, seks dapat melegakan kesakitan dengan pengeluaran hormon oksitosin yang merangsang penghasilan endorfin, pelega kesakitan.

Membantu Mengawal Pundi Kencing
Pakar seks menyarankan senaman Kegel (kemutan otot pelvik) setiap hari dan sewaktu hubungan seks. Senaman ini bukan sahaja boleh meningkatkan rangsangan, tetapi juga menguatkan otot-otot yang terlibat dengan penyakit “incontinence” iaitu kurang pengawalan pundi kencing dan menyebabkan anda “tercicir” sewaktu bersin atau batuk. Cara senaman Kegel ialah ketatkan otot pelvik sebagaimana anda menahan kencing. Tahan selama 3 saat dan lepaskan. Ulang sebanyak mana yang dikehendaki.

Mencantikkan Kulit
Aktiviti seks akan menggalakkan badan mengeluarkan pelbagai hormon yang meningkatkan kesihatan keseluruhan termasuklah kulit. Semasa hubungan seks, badan akan menghasilkan hormon “dehydroepiandrosterone” yang berfungsi meningkatkan sistem imunisasi, mengurangkan tekanan dan meningkatkan kesihatan kulit.

Semoga yang baik dijadikan ikutan manakala yang kurang menyenangkan sebagai batas sempadan bagi mengimbangi kehendak seseorang yang sesuai dengannya.
(Sumber: Mohamad Nor Kartor)

No comments:

Post a Comment