Sunday, April 13, 2014
Wudhu'
serenemaklong.blogspot.com
WUDHU' adalah perbuatan menggunakan air untuk membasuh anggota badan tertentu dengan niat untuk mengangkat hadas. Adapun wuduk dengan difathahkah huruf waw, yang dimaksudkan dengannya adalah air yang digunakan untuk wudhu'.
Al-Hafiz Ibnu Hajr rahimahullah berkata, “Perkataan wudhu' diambil daripada pecahan perkataan al-wadha-ah yang bererti bercahaya. Ia dinamakan demikian kerana orang yang mengerjakan solat menyucikan dirinya (dengan wudhu') sehingga menjadi bercahaya.”
Hal yang semakna dengannya disebutkan juga oleh Imam Al-Syaukaani rahimahullah dalam Nailul Authar, Bab Sifat wuduk.
KEUTAMAAN WUDHU':
1. Cahaya pada hari kiamat. Orang yang berwuduk sempurna akan mendapat cahaya pada wajah, hujung kedua tangan dan kedua kakinya pada hari kiamat kesan daripada dia berwuduk ketika di dunia.
Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya umatku akan dipanggil pada hari kiamat dalam keadaan wajah dan hujung kedua anggota tangan dan kaki mereka bercahaya hasil daripada kesan-kesan wudhu'.” (Bukhari Muslim)
Apabila dikatakan umatku atau umat Nabi Muhammad, ia membawa dua maksud;
1. Umat Al-Dakwah (umat yang diseru yakni seluruh manusia), 2. Umat Al-Ijabah (umat yang menerima seruan yakni kaum Muslimin).
Yang dimaksudkan dengan umatku dalam hadis ini adalah umat Al-Ijabah iaitu umat Islam yang telah menerima dakwah Nabi Muhammad.
Pada hari akhirat kelak, mereka ini yang akan diseru dan mereka akan datang dalam keadaan wajah serta hujung kedua tangan dan kaki mereka bercahaya kerana hasil daripada ibadah wudhu' yang mereka kerjakan ketika di dunia. Kesan anggota badan yang telah dibasuh atau disapu untuk wuduk itu akan menjadi tanda umat Nabi Muhammad pada hari kiamat kelak.
Manusia pada hari kiamat tidak memakai tanda nama yang menunjukkan mereka Muslim, tetapi cahaya kesan daripada wudhu' ini menjadi tanda yang tidak boleh dipalsukan.
Dengan cahaya-cahaya ini umat Nabi Muhammad dikenali pada hari kiamat. Umat yang lain, jauh sekali orang kafir, mereka tidak ada cahaya ini.
2. Setengah daripada iman. Ini sebagaimana sabda Rasulullah SAW: “Bersuci (berwudhu') adalah setengah daripada iman.” (Riwayat Muslim)
3. Menghapuskan dosa kecil dan meninggikan darjat. Nabi Muhammad SAW bersabda: “Apabila seorang hamba Muslim itu berwudhu' dan dia membasuh wajahnya, maka keluarlah semua kesalahan-kesalahan hasil daripada pandangan matanya bersama air sehinggalah ke titisan air yang terakhir.
Dan apabila dia membasuh kedua tangannya, maka keluarlah dari tangannya semua kesalahan yang dilakukan kedua tangan itu bersama air sehinggalah titisan air yang terakhir. Dan apabila dia membasuh kedua kakinya, keluarlah semua kesalahan kaki yang telah digunakan untuk berjalan bersama air sehinggalah ke titisan air yang terakhir. Sehinggalah akhirnya dia keluar (selesai wudhu') dalam keadaan dia suci daripada dosa-dosa.” (Riwayat Muslim)
Uthman RA berkata, “Aku melihat Rasulullah SAW berwudhu' seperti wudhu'ku ini, kemudian Baginda bersabda: “Barang siapa berwudhu' seperti wudhu'ku ini maka diampuni dosa-dosanya yang telah lalu. Manakala solat dan langkah kakinya menuju masjid menjadi tambahan (pahala).” (Muslim)
Rasulullah SAW bersabda, “Tidaklah seorang Muslim berwuhd'k dengan membaguskan wudhu'nya lalu mengerjakan solat, melainkan ALLAH akan mengampuninya antara solat itu dan solat berikutnya.” (Bukhari dan Muslim)
Daripada Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda: “Mahukah kalian aku tunjukkan sesuatu yang dengannya ALLAH akan menghapus kesalahan dan mengangkat darjat?” Mereka menjawab, “Tentu, wahai Rasulullah".
Baginda bersabda, “Menyempurnakan wudhu' pada keadaan yang dibenci (misalnya keadaan sangat sejuk), banyak berjalan ke masjid, dan menunggu solat berikutnya setelah solat. Maka itulah ribath, itulah ribath.” (Riwayat Muslim)
Ribath adalah amalan berjaga di daerah perbatasan antara daerah kaum Muslimin dengan daerah musuh. Maksudnya pahala amalan tersebut disamakan dengan pahala orang yang melakukan ribath.
4. Wudhu' adalah amalan yang membawa ke syurga. Daripada Umar RA, Rasulullah SAW bersabda: “Tidaklah seseorang daripada kalian berwudhu' secara sempurna lalu mengucapkan: Asy-hadu an laa ilaaha illallah wahduu laa syarika lah wa asy-hadu anna Muhammadan ‘abduhu wa rasuuluh (Aku bersaksi bahawa tiada Tuhan kecuali ALLAH semata yang tiada sekutu bagiNya dan bahawa Muhammad adalah hamba dan utusanNya) melainkan kelak akan dibukakan untuknya lapan pintu syurga yang kepadanya dipersilakan untuk masuk melalui pintu mana saja yang dia sukai.” (Riwayat Muslim)
Dalam hadis lain, Rasulullah SAW berkata kepada Bilal RA setelah solat fajar: “Sesungguhnya aku mendengar suara terompahmu di hadapanku di syurga.” Bilal berkata, “Tidaklah aku mengamalkan suatu amalan yang lebih aku harapkan di sisiku, melainkan berwudhu' pada malam atau siang hari dan terus mengerjakan solat yang dapat aku lakukan setelah itu.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)
Hadis disebutkan ini menunjukkan kelebihan wudhu'. Keutamaan ini hanya dimiliki apabila wudhu' dilakukan secara sempurna. Kesempurnaan wudhu' ini tentu dikembalikan kepada dua syarat diterima ibadah secara mutlak; iaitu ikhlas kerana ALLAH, dan ittiba (mengikuti contoh daripada Rasulullah SAW), sebagaimana sabda Baginda: “Sesiapa yang berwudhu' seperti wudhu'ku ini, nescaya dosanya yang telah lalu akan diampuni.” (Riwayat Muslim)
Maka wajarlah kita mempelajari serta mengerjakan wudhu' itu dengan sebaik dan sesempurna mungkin. Semoga kita tergolong dalam kalangan mereka yang mendapat fadilat ini.
IBADAH WUDHU' HANYA DIWAJIBKAN DALAM DUA KEADAAN:
1. Solat. Wudhu' adalah di antara syarat sah solat, di mana solat adalah ibadah yang paling utama bahkan ibadah pertama yang akan disoal kepada seseorang itu pada hari akhirat kelak.
Sekiranya solatnya diterima dan baik maka baiklah seluruh amalannya, mudahlah urusannya yang berikut. Adapun jika solatnya tidak baik maka sukarlah perjalanan yang akan dihadapi selepas itu di Padang Mahsyar kelak.
Wudhu' menjadi syarat sah untuk apa jua solat yang ingin dikerjakan, baik solat fardu mahupun solat sunat."
Hal ini sepertimana keumuman firman ALLAH SWT: “Wahai orang beriman, apabila kamu bangkit untuk solat maka basuhlah wajah kamu, dan kedua tangan kamu sehingga ke siku, dan sapulah kepala kamu, dan kedua kaki kamu sehingga dua buku lali.” (Surah Al-Maaidah: 6)
Antara hadis Nabi Muhammad SAW mengenai wudhu' sebagai syarat sah untuk solat adalah Baginda SAW bersabda: “Tidak akan diterima solat seseorang yang berhadas sehingga dia berwudhu'.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)
Seseorang yang mengerjakan solat dalam keadaan berhadas maka solatnya tidak diterima sehingga dia mengangkat hadas tersebut dengan berwudhu'. Bahkan kalau dia sengaja solat tanpa wudhu', dia berdosa kerana solat dalam keadaan tidak suci (berhadas).
Hadas adalah satu sifat berbentuk hukum, di mana keberadaan hadas menyebabkan ibadah yang disyaratkan taharah (bersuci) menjadi tertolak. Jika seseorang melakukan juga ibadah yang disyaratkan taharah dalam keadaan berhadas, maka ibadah itu tidak diterima dan tidak sah.
2. Tawaf di Baitullah Al-Haram. Ini berdasarkan sabda Nabi Muhammad SAW yang bermaksud: “Tawaf di Baitullah sama seperti solat, kecuali ALLAH membolehkan berbicara di dalamnya.” (Sahih. Riwayat At-Tirmidzi)
Hanya dalam dua keadaan ini sahaja kita diwajibkan berwudhu'. Bagaimanapun, umat Islam disunnahkan untuk sentiasa dalam keadaan berwudhu' demi meraih kebaikan yang boleh diperoleh kesan daripada ibadah wudhu' tersebut.
Bahkan Rasulullah SAW tidak berzikir yakni menyebut nama ALLAH kecuali dalam keadaan Baginda berwudhu'. Dan kita dituntut untuk sentiasa mengingati ALLAH dalam setiap keadaan.
Ini sebagaimana hadis yang diriwayatkan daripada Al-Muhajir bin Qunfudz ra, dia pernah mendatangi Nabi Muhammad SAW ketika Baginda SAW sedang buang air kecil.
Dia mengucap salam kepada Baginda SAW namun Baginda tidak menjawab salamnya sehingga Baginda berwudhu' lalu Baginda SAW berkata, “Sungguh aku tidak suka menyebut nama ALLAH melainkan dalam keadaan bersuci.” (Sahih. Abu Daud)
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment