Friday, April 4, 2014
Air Mata Memadam Api Neraka
serenemaklong.blogspot.com
“KEJAHATAN YANG DIIRINGI OLEH RASA SEDIH, LEBIH ALLAH SUKAI DARIPADA SATU KEBAIKAN YANG MENIMBULKAN RASA TAKABBUR.”
Air mata yang mengalir kerana Allah adalah penyubur hati dan penawar dukacita, Jika air menyuburkan tanaman, dan sungai-sungai mengalir menghiasi bumi, air mata pula menghiasi wajah seorang Mukmin. Kerana itu para salafussoleh kerap menangis walaupun banyak beramal kerana khuatir amalnya tidak diterima Allah.
Pada hari ini ramai yang mengalirkan air mata kerana kecewa atas sebab-sebab pinggiran, seperti putus cinta, artis kesayangan terkeluar daripada program realiti TV, pasukan bolasepak yang diminati kalah, malah ada yang menangis kerana terlepas peluang melakukan maksiat!
Kita masih banyak ketawa walaupun amalan sedikit dan dibimbangi tidak ikhlas pula. Sebab itu di TV sekarang ada banyak program yang membuat orang ketawa. Ketawa,sungguhpun tidak salah, perlu dikawal dan dijaga adab dan akhlak. Ibn Abbas berpesan, “Sesiapa yang membuat dosa dalam ketawa, akan dicampakkan ke neraka dalam keadaan menangis.”
Jangan menangis kerana apa yang diidam-idamkan tidak tercapai. Ingatlah firman Allah, “Boleh jadi kamu membenci sesuatu padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu. Allah mengetahui, sedangkan kamu tidak mengetahui.” (Surah Al-Baqarah ayat 216).
Pencinta dunia menangis kerana dunia yang hilang, sedangkan perindu akhirat menangis kerana dunia yang datang. Ahli ibadah menangis sambil berkata, “Alangkah sempitnya kuburku.” Hartawan yang lupa diri pula mengeluh, “Alangkah sedikitnya hartaku.”
Orang yang beriman menyerahkan hatinya kepada Allah. Tanda hati itu telah berada di genggaman Allah ialah bila hati mampu menangis kerana-Nya. Tangisan kerana cinta, tangisan kerana takut terpisah, tangisan kerana rindu, yang semuanya tertumpu kepada Allah. Itulah tangisan iman.
[Pahrol Mohd Juoi – Solusi #62]
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment