Tuesday, April 22, 2014

Malaikat Kecil

serenemaklong.blogspot.com
“Setiap Jumaat, seusai menunaikan solat Jumaat, seorang Imam dan anaknya yang berumur 7 tahun berjalan menyusuri jalan di kota dan menyebarkan risalah bertajuk “Jalan-jalan Syurga” dan beberapa karya Islamik yang lain. Pada satu Jumaat yang indah, ketika Imam dan anaknya hendak keluar seperti biasa menghulurkan risalah-risalah Islam, cuaca menjadi amat dingin dan hujan mulai turun. Si Anak kecil mula membetulkan jubahnya yang masih kering dan panas dan seraya berkata “Ayah, saya dah bersedia.” Ayahnya terkejut dan berkata “Bersedia untuk apa?” “Ayah, bukankah kita akan keluar menyampaikan risalah Allah?” ”Anakku, sejuk keadaan di luar sana dan hujan juga agak lebat.” ”Ayah, bukankah masih ada manusia yang akan masuk neraka walaupun ketika hujan turun?” Ayahnya menambah, “Ayah tidak bersedia hendak keluar dalam keadaan cuaca begini”. Dengan merintih anaknya merayu, “Benarkan saya pergi, ayah.” Ayahnya berasa agak ragu-ragu namun menyerahkan risalah-risalah itu kepada anaknya “Pergilah nak dan berhati-hatilah. Allah bersama-sama kamu!” ”Terima kasih, ayah.” Dengan wajah bersinar-sinar anak itu pergi meredah hujan dan susuk tubuh kecil hilang dalam kelebatan hujan. Si anak kecil menyerahkan risalah kepada sesiapa sahaja yang ditemuinya. Dia juga mengetuk pintu setiap rumah dan memberikan risalah kepada penghuninya.
Setelah dua jam, hanya tinggal satu saja risalah “Jalan-jalan Syurga” yang tinggal di tangannya. Dia berasakan tanggungjawabnya tidak akan selesai jika masih ada baki risalah. Dia berpusing-pusing ke sana dan ke mari mencari siapa yang akan diserahkan risalah terakhirnya itu namun gagal. Akhirnya dia ternampak sebuah rumah yang agak terperosok di jalan itu dan mula mengatur langkah menghampirinya. Sesampai sahaja, dia lantas menekan loceng rumah itu sekali. Ditunggunya sebentar dan ditekan sekali lagi namun tiada jawapan. Diketuk pula pintu itu namun sekali lagi tiada jawapan. Ada sesuatu yang menahannya daripada pergi. Mungkin di rumah ini harapannya agar risalah dapat diserahkan. Dia mengambil keputusan menekan loceng sekali lagi. Akhirnya pintu rumah itu dibuka. Berdiri di depan pintu adalah seorang perempuan dalam lingkungan 50an. Mukanya suram dan sedih. “Nak, apa yang makcik boleh bantu?” Wajahnya bersinar-sinar seolah-olah malaikat yang turun dari langit. “Makcik, maaf saya mengganggu, saya hanya ingin menyatakan yang ALLAH amat sayangkan makcik dan sentiasa memelihara makcik. Saya datang ini hanya hendak menyerahkan risalah akhir ini dan makcik adalah orang yang paling bertuah.” Dia senyum dan tunduk hormat sebelum melangkah pergi. ”Terima kasih, nak dan Tuhan akan melindungi kamu” dalam nada yang lembut.
Minggu berikutnya sebelum waktu solat Jumaat bermula, seperti biasa Imam memberikan ceramahnya. Sebelum selesai dia bertanya, “Ada sesiapa nak menyatakan sesuatu?” Sekujur tubuh bangun dengan perlahan dan berdiri. Dia adalah perempuan separuh umur itu. “Saya rasa tiada sesiapa dalam perhimpunan ini yang kenal saya.Saya tak pernah hadir ke majlis ini walaupun sekali. Untuk pengetahuan semua, sebelum Jumaat minggu lepas saya bukan seorang Muslim.Suami saya mati beberapa tahun lepas dan meninggalkan saya sendirian di dunia ini.” Air mata mulai bergenang di kelopak matanya. ”Pada Jumaat lepas saya mengambil keputusan untuk membunuh diri. Jadi saya ambil kerusi dan tali. Saya letakkan kerusi di atas tangga menghadap anak tangga rumah. Saya ikat hujung tali di galang atas dan hujung satu lagi diketatkan di leher. Apabila tiba saat saya hendak terjun, tiba-tiba loceng rumah saya berbunyi. Saya tunggu sebentar, pada anggapan saya, siapa pun yang menekan itu akan pergi jika tidak dijawab. Kemudian ia berbunyi lagi. Kemudian saya mendengar ketukan dan loceng ditekan sekali lagi. Saya bertanya sekali lagi. Belum pernah pun ada orang yang tekan loceng ini setelah sekian lama.Lantas saya melonggarkan tali di leher dan terus pergi ke pintu.Seumur hidup saya belum pernah saya melihat anak secomel itu. Senyumannya benar-benar ikhlas dan suaranya seperti malaikat. “Makcik, maaf saya mengganggu, saya hanya ingin menyatakan yang ALLAH amat sayangkan makcik dan sentiasa memelihara makcik.” Itulah kata-kata paling indah pernah saya dengar. Saya melihatnya pergi kembali menyusuri hujan. Saya kemudian menutup pintu dan terus baca risalah itu setiap muka surat. Akhirnya kerusi dan tali yang hampir-hampir menyentap nyawa saya diletakkan semula ditempat asal. Saya tak perlukannya lagi. Lihatlah, sekarang saya sudah menjadi seorang yang bahagia, yang menjadi hamba kepada Tuhan yang satu iaitu ALLAH. Di belakang risalah terdapat alamat ini dan itulah sebabnya saya di sini hari ini. Jika tidak disebabkan malaikat kecil yang datang pada hari itu tentunya roh saya ini akan berada selama-lamanya di dalam neraka.”
Tiada satu pun anak mata di masjid itu yang masih kering. Ramai pula yang berteriak dan bertakbir ALLAHUAKBAR! Imam lantas turun dengan pantas dari mimbar lantas terus memeluk anaknya yang berada di kaki mimbar dan menangis sesungguh-sungguh hatinya. Jumaat ini dikira Jumaat yang paling indah dalam hidupnya. Tiada anugerah yang amat besar dari apa yang dia ada pada hari ini. Iaitu anugerah yang sekarang berada di dalam pelukannya. Seorang anak yang seumpama malaikat. Biarkanlah air mata itu menitis. Air mata itu anugerah ALLAH kepada makhlukNya yang penyayang. Ingatlah, ALLAH sentiasa menyayangi dan memelihara kamu!
ALLAHUAKBAR! Dari Amru bin Auf r.a katanya Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya sedekah seseorang Islam itu memanjangkan umur dan mencegah daripada mati dalam keadaan teruk dan Allah SWT pula menghapuskan dengan sedekah itu sikap sombong, takbur dan membanggakan dirmi (dari pemberiannya).” (HR. Bukhari) [Petikan status Cerita Kami Di Bumi Haramain]
Sebelum bercakap, dengar dulu…….Sebelum bertindak, fikir dulu....... Sebelum mengkritik, sabar dulu…….Sebelum mendoakan orang, maafkan dulu…….Sebelum berputus asa, cuba dulu…… Apabila redha pada sesuatu yang mengecewakan hati, percayalah Allah akan menggantikan kekecewaan itu dengan sesuatu yang tidak dijangka.....Insya-Allah.

No comments:

Post a Comment