Monday, April 28, 2014

Pemimpin

serenemaklong.blogspot.com
Pemimpin dalam mana-mana organisasi dan misi yang bijak, bukan sekadar mengarah orang bawahannya membuat itu dan ini. Sebaliknya dia turun padang, melihat sendiri kerja mereka dan memastikan ia dilaksanakan mengikut perancangan. Pemimpin ini jenis “Hands On” yang memahami selok-belok projek dan tetap bersama-sama dengan orang-orangnya sehingga projek sudah stabil atau selesai. Pemimpin yang baik bersedia menerima kesilapan kecil orang bawahannya yang berlaku sekali-kala, tetapi tidak akan bertoleransi dengan mereka yang bersikap buruk, terlalu bangga dengan kebolehan diri, enggan belajar dan tidak mahu menerima saranan orang lain.
Pemimpin yang baik tidak akan rasa tergugat bila berdepan dengan tukang cacat berlagak pandai yang mengkritik orang itu, orang ini, dan hasil kerja orang lain, selepas projek siap, sedangkan dia sendiri langsung tidak menangkat walau satu jari pun. Sebagai pembuat dasar dan pengatur projek, pemimpin sedia maklum segala perkara yang berlaku. Pemimpin harus bijak membuat keputusan membabitkan dasar, cekap dalam bab pentadbiran dan kewangan, juga mempunyai empati dalam keperitan hidup golongan daif dan uzur dalam organisasinya yang terpaksa menyewa kediaman sekangkang kera, naik turun bas untuk menyelesaikan urusan harian, beratur di kedai dan di bank, berurusan sendiri di pejabat kerajaan, dalam keadaan pendapatan yang kecil. Pemimpin atasan akan sentiasa berhadapan ujian dan cabaran. Ujian berupa kesusahan, cercaan dan kekurangan boleh menaikkan taraf dan martabat kepimpinannya. Semakin diuji semakin dirinya jadi kuat, ikhlas dan sabar. Bak layang-layang yang terbang tinggi bila melawan angin.
Namun bila ujian berupa kesenangan, kenikmatan dan pujian, terutama dari para pengampu, dia akan terleka, mula merasakan dirinya besar lagi "super" dan tidak nampak jalan kebenaran. Teguran dan kritikan ikhlas dari orang-orang yang jujur, setia dan tidak suka bermuka-muka dicap sebagai "menderhaka" dan menggugat kepimpinannya. Kemusnahan akan berlaku bila mereka yang setia meninggalkan pemimpin tersebut dan membiarkannya terkatung-katung dengan "penyokong yang membawa rebah." Pemimpin yang baik akan sentiasa dihormati oleh ahlinya. Tetapi jika dia hidup ala jutawan, jauh dari situasi akar umbi, dia akan dianggap terpisah, terasing dan sukar difahami. Wallahualam.

No comments:

Post a Comment