Friday, April 25, 2014
Jangan Berhenti Berdoa
serenemaklong.blogspot.com
Seorang pakar bedah terkenal tergesa-gesa menuju lapangan terbang. Beliau merancang untuk menghadiri seminar dalam bidang kedoktoran yang akan membahas penemuan terbesarnya di bidang perubatan.
Setelah pesawatnya terbang dalam sejam, tiba-tiba diumumkan bahawa penerbangannya mengalami gangguan dan harus mendarat di lapangan terbang terdekat.
Beliau menghampiri ruang penerangan dan berkata, "Saya ini doktor pakar, tiap minit nyawa manusia bergantung kepada saya, dan sekarang awak meminta saya menunggu pesawat ni untuk dibaiki sampai 16 jam?"
Pegawai Penerbangan menjawab, "Assalamualaikum doktor, saya mohon maaf, jika Doktor nak cepat, Dr boleh guna kereta, tempat yang Doktor nak pergi pun tak jauh dari sini, dalam 3 jam in sha Allah sampai."
Doktor pun setuju dan berjaya mendapatkan sebuah teksi. Ketika beliau baru bertolak kira-kira baru 5 minit, tiba-tiba cuaca mendung, disusuli dengan hujan lebat dan ribut petir yang menyebabkan jarak pandangan sangat pendek ketika memandu.
Setelah hampir 2 jam perjalanan dengan teksi tadi, pemandu teksi tersebut baru tersedar mereka telah sesat dan terasa kepenatan. Tidak jauh dari situ, terlihat sebuah rumah kecil di hadapannya, mereka menghampiri rumah tersebut dan mengetuk pintunya. Terdengar suara seorang wanita tua, "Silakan masuk, siapa ya?" Pintu pun dibuka.
Doktor meminta izin kepada wanita tua tersebut untuk berehat dan mahu meminjam telefonnya. Wanita tua itu tersenyum dan berkata, "Telefon apa nak? Anak tak sedar ke kat mana ni sekarang? Kat sini memang takde elektrik, apalagi telefon. Tapi masuklah dulu silakan duduk dan berehatlah sekejap, sekejap lagi makcik buatkan teh dan biskut untuk anak. Bagi badan tu segar balik."
Doktor mengucapkan terima kasih kepada wanita tua lalu menjamah hidangan yang diberikan. Sementara makcik solat dan berdoa, Doktor perlahan-lahan mendekati seorang anak kecil yang terbaring tidak bergerak di atas tilam di sisi ibu tersebut. Ibu tersebut melanjutkan solatnya dengan doa yang panjang.
Doktor menghampiri makcik tersebut dan berkata, "Demi Allah, makcik telah buat saya kagum dengan keramahan makcik dan kemuliaan akhlak makcik, semoga Allah menjawab doa-doa makcik."
Makcik tu berkata, "Anak adalah seorang musafir yang sudah diwasiatkan Allah untuk dibantu. Doa-doa makcik dah dijawab Allah semuanya, kecuali satu."
Bertanya Doktor, "Apa satu doa makcik yang Allah belum jawab?"
Makcik berkata, "Budak kecil yang terbaring ini adalah cucu makcik, dia yatim piatu. Dia menderita sakit yang tidak boleh disembuhkan oleh doktor-doktor yang ada di sini. Mereka berkata kepada saya ada seorang doktor pakar bedah yang akan mampu menyembuhkannya. Kata mereka Dr Ishan, tapi dia duduk jauh dari sini, yang tak mungkin makcik mampu bawak cucu makcik ni ke sana, dan makcik risau kalau terjadi apa-apa masa dalam perjalanan nanti. Sebab tu makcik berdoa kepada Allah agar Allah memudahkannya."
Menangis Doktor tadi dan berkata, "Allahu Akbar, Laa haula wala quwwata illa billah. Demi Allah, sungguh doa makcik telah membuatkan pesawat yang saya naik rosak dan kena dibaiki dalam waktu yang sangat lama serta doa makcik membuatkan hujan petir dan menyesatkan kami. Hanya untuk menghantarkan saya kepada makcik secara cepat dan tepat. Sayalah Dr Ishan, sungguh Allah telah menciptakan semua kejadian seperti ini kepada hambaNya yang mukmin dengan doa. Ini adalah perintah Allah kepada saya untuk mengubati cucu makcik ni."
Kesimpulannya, "Jangan sesekali berhenti berdoa sampai Allah menjawabnya." Hanya Allah Maha Mengetahui.
[Terjemahan ke dalam Bahasa Malaysia ini berdasarkan sebuah kisah benar di Pakistan, disampaikan ketika Tazkirah Zohor di Masjid Zel Noorein, Riyadh, Saudi Arabia.]
[FOTO HANYA HIASAN]
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment