Saturday, April 12, 2014

Bahaya Streptococcus Pneumoniae

serenemaklong.blogspot.com
Ini adalah X-Ray bahagian dada seorang pesakit berusia dua bulan. Dia telah dibawa ibubapanya datang ke Jabatan Kecemasan kerana nafasnya kelihatan laju. Apa yang dihidapi adik ini, cukup singkat. Dua hari sebelumnya dia demam, dan cuma pagi hari tersebut nafanya laju. Tidak ada masalah lain. Apabila tiba di Jabatan Kecemasan, bacaan oksigen (SPO2) nya cuma 80%. Doktor menjadi hairan apabila stetoskop diletakkan di bahagian kiri dada, tidak kedengaran apa-apa. Lantas X-ray ini dilakukan. Apa yang adik ini hidapi, adalah penyakit jangkitan kuman yang dinamakan "empyema". Apa yang berlaku? MelaluiX-xray ini, kita dapat lihat, hampir keseluruhan ruang paru-paru sebelah kiri dipenuhi sesuatu, kemungkinan cecair, (dilihat berwarna putih di dalam X-ray). Penuhnya cecair itu hingga menolak jantung adik ini yang sepatutnya di sebelah kiri, menghimpit ke sebelah kanan. Jika diperhatikan juga pada trachea (salur pernafasan), dilihat berwarna agak gelap berbentuk tiub, menyenget ke sebelah kanan dada kecilnya. Adik ini segera dimasukkan ke wad. Tanpa berlengah lagi, prosedur “chest tube insertion” dilakukan. Sebuah jarum bertiub dicucuk dan dimasukkan ke bahagian kiri dada adik ini. Hasilnya, keluar cecair berupa nanah pekat, bagaikan teh tarik pekat, mengalir keluar dari tiub tersebut. Selama tiga hari, adik ini dipasang chest tube. Jumlah nanah yang dikeluarkan, hampir 300ml. Hanya selepas nanah dikeluarkan, barulah adik ini semakin kurang penat, dan oksigen badannya semakin pulih. Nanah yang keluar tersebut, dihantar ke bahagian kaji kuman, untuk mengetahui apakah bakteria punca kepada empyema adik ini. Keputusannya mendapati, adik ini terkena jangkitan Streptococcus Pneumoniae.Rawatan antibiotik dimulakan segera. Dua minggu antibiotik melalui intravena, diteruskan lagi dengan empat minggu antibiotik yang diberi melalui mulut. Itu pun, tidak ada jaminan bahawa tiada kerosakan kekal ke atas paru-paru anak kecil ini. Paru-parunya mungkin mengalami fibrosis, seterusnya cacat kekal menyebabkan fungsi pernafasan kanak-kanak ini terjejas sepanjang hayat.
Ramai yang menolak vaksin, berbangga mengatakan "anak aku tak vaksin, sihat je." Vaksin Pneumokokkal sememangnya sudah ada di negara kita, namun dalam bentuk opsyenal dan tidak disubsidikan. Kekurangan bajet menyebabkan kerajaan hanya mampu memberi subsidi ke atas vaksin-vaksin lain untuk mencegah penyakit lain yang LEBIH berbahaya. Vaksin Pneumococcal, buat masa ini hanya dibekalkan oleh swasta. Satu suntikan, RM200. Bagi yang mampu, usahakanlah. Manfaatnya melebihi kos, apatah lagi risiko. Ingatlah, X-ray itu mungkin milik anak anda. Ingatlah juga, sebelum anak kecil di atas datang ke hospital, dia mungkin telah bernafas udara yang sama dengan anak lain di nursery, pasar malam, pusat beli-belah, atau di kerusi teksi yang anda naiki. .................................................................................................................... "Streptococcus pneumoniae is normally found in the nasopharynx of 5–10% of healthy adults, and 20–40% of healthy children. It can be found in higher amounts in certain environments, especially those where people are spending a great deal of time in close proximity to each other (day care centers, military barracks)." - Wikipedia [NURUL NITA – pelajar perubatan di Universiti Bangalore, India]

No comments:

Post a Comment