Wednesday, January 4, 2017

Wariskan Taqwa Kepada Pewaris



Ketika Khalifah Umar bin Abdul Aziz wafat dia meninggalkan 11 orang anak. Dia hanya meninggalkan harta sebanyak 18 dinar. 5 Dinar digunakan untuk membeli kafan dan biaya penyelenggaraan jenazahnya. 4 dinar untuk membeli sebidang tanah untuk kuburannya. Selebihnya dibahagikan kepada 11 orang anaknya.

Hisyam bin Abdul Malik juga mempunyai 11 orang anak. Setelah dia wafat, setiap anaknya mendapat warisan 1 juta dinar.

Beberapa tahun kemudian pada hari yang sama terlihat salah seorang anak Umar bin Abdul Aziz menyedekahkan 100 ekor kuda untuk berjihad di jalan Allah, dan salah seorang anak Hisyam bin Abdul Malik menjadi pengemis di tengah pasar.

Ada yang sempat bertanya kepada Umar bin Abdul Aziz ketika beliau sedang sakit sebelum wafatnya, "Apa yang kamu tinggalkan untuk anak-anakmu, wahai Umar?"

Beliau menjawab, "Aku tinggalkan untuk mereka ketaqwaan kepada Allah. Jika mereka soleh, maka Allah yang akan menjadikan mereka pembela orang-orang soleh."


Mari kita renungkan:

Kebanyakan manusia berusaha, memeras keringat, membanting tulang dan bersusah payah demi kesejahteraan masa depan anak-anak. Mereka menyangka harta itu bakal menjadi jaminan keamanan masa depannya. Malangnya, mereka lalai untuk menyiapkan keamanan yang lebih besar, sebagaimana firman Allah:

وَلْيَخْشَ الَّذِينَ لَوْ تَرَكُوا مِنْ خَلْفِهِمْ ذُرِّيَّةً ضِعَافًا خَافُوا عَلَيْهِمْ فَلْيَتَّقُوا اللَّـهَ وَلْيَقُولُوا قَوْلًا سَدِيدًا

"Dan hendaklah takut kepada Allah orang-orang yang seandainya meninggalkan di belakang mereka anak-anak yang lemah, yang mereka gelisah terhadap kesejahterahan mereka. Oleh kerana itu hendaklah mereka bertakwa kepada Allah dan hendaklah mereka mengucapkan perkataan yang benar". (An Nisa' ayat 9)

Semoga kisah ini memberi sedikit ilmu sebagai didikan untuk masa depan anak-anak generasi sekarang.

[Ustazah Siti Nurbaya Usman]

No comments:

Post a Comment