Friday, January 13, 2017

Legasi Tok Nan


Adenan Satem : Ketua Menteri Paling Berani.

Hari ini sudah terpahat namanya di nesan. Namun di dalam sanubari hati rakyat Sarawak namanya tak akan dilupakan. Seluruh rakyat dari lapisan kaum dan agama di bumi kenyalang ini merasai kehilangannya. Hati begitu remuk bila dikaca TV menyatakan pemergiannya. Serasa gelap dan kosong jiwa ini bila mengetahui Tok Nan sudah tiada. Jika dahulu kepulangan Tuan Guru Nik Aziz berupaya menyuntik hiba, kini giliran Tok Nan pula memberikan impak yang sama kepada seluruh masyarakat Sarawak khasnya dan negara.

Rata-rata komen komen di Facebook dan Twitter yang memujinya dari pelbagai lapisan kaum. Justeru ramai yang dari luar mungkin tertanya-tanya mengapa Tok Nan amat disenangi rakyat.


Sejak mengambil alih jawatan sebagai Ketua Menteri Sarawak pada 28hb Februari 2014 (wikipedia) telah berkhidmat selama hampir 3 tahun sebagai Ketua Menteri. Kecemerlangan Allahyarham sebagai Ketua Menteri adalah kerana beliau meletakkan kepentingan awam sebagai keutamaan. Di kala negara bergolak dengan pelbagai isu isu sensitif Tok Nan berjaya menarik sokongan rakyat sarawak dari pelbagai status dan kaum untuk terus bersama sama membangunkan negeri ini sebagai satu pasukan. Allahyarham berjaya menyuntik rasa kekitaan terhadap Sarawak dan mendahului contoh bahawa jika bukan ORANG SARAWAK SIAPA LAGI YANG MEMBELA SARAWAK.


Keberanian inilah yang membuatkan kerajaan Persekutuan akur dengan beberapa tuntutan beliau dalam isu isu dalaman negeri. Tidak pernah berlaku di Sarawak sejak diurustabdir oleh seorang ketua menteri...perdana menteri datang ke Sarawak hampir setiap bulan. Tapi ia berlaku di zaman singkat Tok Nan. Perdana Menteri Dato Sri Najib begitu rapat dengan negeri ini dalam pelbagai acara yang dianjurkan oleh kerajaan negeri. Mungkin pada sesetengah pihak ia hanya gimik politik..mungkin...tapi jika Perdana Menteri sudah kerap datang ke sini bermakna Tok Nan mempunyai pengaruh yang amat besar dan penting kepada kepimpinan pusat.

Seperti yang sedia maklum 53 keputusan besar telah dicapai hanya dalam.tempoh 2 tahun kepimpinannya. Jika dulu Pan Borneo Highway hanya janji-janji manis yang kedengaran..namun sejak Tok Nan menjadi ketua menteri..hari ini batu asas dipacak di Sematan..esok kerja kerja sudah bermula..dan sekarang jika kita menggunakan laluan jalan persekutuan kelihatan projek pan borneo ini sedang rancak dilaksanakan.

Demikian juga dengan pembangunan pendidikan Sarawak, Allahyarham begitu lantang membela insfrastruktur pendidikan seperti bangunan sekolah diperbaiki dan keperluan guru tempatan diutamakan sehingga wujudnya permintaan 9:1 adalah guru Sarawak sendiri. Mengangkat kembali penggunaan Bahasa Inggeris sebagai bagai rasmi seiring dengan Bahasa Melayu merupakan satu perkara yang tidak akan berlaku dinegeri lain namun di Sarawak ianya disebut sendiri oleh Allahyarham demi memastikan taraf pendidikan anak-anak Sarawak di tahap kompetitif dan berdaya maju di pasaran kerja antarabangsa dan tempatan.


Kesanggupan beliau bersahaja meyisihkan protokol seperti berucap menggunakan bahasa dialek Melayu Sarawak mencuit hati rakyat yang ternanti-nanti dengan bait-bait ucapan Allahyarham yang penuh isi dan fakta..bukan lagi janji-janji tetapi harapan yang pasti. Sebagai ketua menteri beliau memakai pakaian rakyat kadangkala hanya kemeja tanpa dasi, sudi turun ke pasar ikan membeli sendiri lauk pauk dan groseri membuatkan hubungannya dengan rakyat amat rapat. Makan makanan yang sederhana dan ringkas adalah lambang dia hanya ketua semasa bekerja. Jika di rumah atau luar pejabat dia hanya Adenan Satem yang biasa.

Kesimpulannya itulah kekuatan dia sebagai pemimpin yang jelas jujur dan ikhlas. Semoga sesiapa pun yang menggantikan Allahyarham selepas ini WAJIB meneruskan legasi beliau yang rapat dengan rakyat Sarawak segenap lapisan kaum. Terima kasih bapak. Meskipun kami masih perlukan bapak..tapi bapak pergi dulu menyahut panggilan Ilahi. Kami akan rindukan bapak.

#AlFatihah_buat_toknan

[FB Cikgu Emmet]

No comments:

Post a Comment