Sunday, January 15, 2017

Pesan Luqman Kepada Anaknya



Wahai anakku, saya sudah cuba memikul batu besar dan besi yang berat, namun saya dapati bebanan ‘hutang’ jauh lebih berat.

Saya cuba menikmati makanan yang lazat, dan berpelukan dengan wanita jelita, namun tidak ada yang lebih nikmat dari ‘keafiatan’.

Saya sudah cuba merasakan pelbagai benda pahit, namun saya dapati yang paling pahit adalah peri keberhajatan kepada manusia.

Wahai anaku! Ibubapa adalah bagaikan pintu syurga, jika kedua mereka redha terhadapmu syurga berada di tanganmu, namun jika mereka murka nescaya engkau terjijab dari syurga.

Wahai anakku! Engkau jangan duduk bersama para penjahat, jangan berjalan bersama mereka, kerana dikhawatiri mereka ditimpa azab dari langit lantas engkau juga terkena azab.

Wahai anakku! Duduklah bersama para ulama dan berjalanlah bersama mereka, barangkali rahmat Allah turun ke atas mereka, lantas engkau juga mendapat habuan.

Wahai anakku! Gadaikanlah ‘keduniaan’ demi akhirat nescaya engkau akan meraih keduanya; namun jangan gadaikan akhirat demi keduniaan nescaya engkau akan kehilangan keduanya.

Wahai anakku! Biasakanlah lidahmu berzikir ‘Allahumma ighfirli’ (Ya Allah berilah daku keampunan), kerana Allah memiliki saat ijabah yang tidak diketahui.

Wahai anakku! Janganlah suka melambatkan taubat, kerana ‘kematian’ boleh jadi datang mengejut.

Wahai anakku! Janganlah makananmu dimakan melainkan oleh ahli takwa; dan berbincanglah dalam hal urusanmu dengan ahli ilmu.

Wahai anakku! Jadilah engkau hamba abdi golongan solihin; awas jangan sekali-kali engkau berteman si penjahat.

Wahai anakku! Banyaklah bergaul dengan ahli ilmu, dekatkanlah lututmu dengan lutut mereka; kerana Allah swt akan menghidupkan hati dengan nur ilmu hikmah, sepertimana bumi yang kering hidup dengan air hujan.

Wahai anakku! Hendaklah engkau berkata baik, dan berwajah ceria, nescaya engkau akan lebih disukai manusia lebih dari memberi mereka harta benda.

Wahai anakku! Jadikanlah ‘ibadat’ ketaatan sebagai perniagaan, nescaya engkau akan dibalut keuntungan tanpa barang jualan.

Wahai anakku! Janganlah engkau lebih lemah dari ayam jantan yang membangunkan manusia sejak waktu sahur; manakala engkau tidur nyenyak di waktu sahur.

Luqman pernah ditanya, ‘Siapakah orang yang jahat’? Jelas beliau ‘Dialah orang yang tidak peduli seandainya manusia menyaksikan kejahatannya’.


[Ustaz Ahmad Asri Lubis]

No comments:

Post a Comment