Sunday, January 15, 2017
Kenapa Tuhan Itu Mesti Esa
Aqidah Islam adalah aqidah tertua di dunia ini. Bermula dari awal kejadian manusia sehinggalah sekarang aqidah Islam sentiasa berjalan. Semua para Nabi dan Rasul membawa aqidah Islam iaitu tauhid (mengesakan) Allah.
Di dalam al Quran Allah menyebut:
قُلْ هُوَ اللَّهُ أَحَدٌ
Katakanlah (wahai Muhammad): "(Tuhanku) ialah Allah Yang Maha Esa”(Al Ikhlas 112:1)
Perkataan أَحَدٌ “ahad” di sini bermaksud satu, tunggal, esa, dan tidak mempunyai perumpamaan yang serupa. Tunggal bermakna Dia berdiri dengan sendiri, Dia sendiri yang membuat keputusan, Dia sendiri yang paling berkuasa dan Dia sendiri yang menentukan nasib seseorang. Esa bukan bermaksud dua di dalam satu, atau tiga di dalam satu atau sebarang nombor yang mempunyai bilangan. Sebenarnya untuk memahami dan membuktikan Tuhan itu satu tidaklah begitu sukar menurut akal dan ilmu yang benar, berbanding sukarnya hendak membuktikan Tuhan itu tiga, triniti atau Tuhan itu tidak wujud sama sekali.
Cuba bayangkan secara logik, apabila sebuah sekolah mempunyai tiga Guru Besar. Perkara itu pasti akan menghura-harakan keadaan tambahan pula ketika mahu membuat sesuatu keputusan. Sama juga sekiranya Amerika Syarikat mempunyai tiga Presiden Amerika Syarikat iaitu George W. Bush, Barack Obama dan Donald Trump memerintah secara serentak, bagaimana keadaannya? Setiap Presiden pasti mempunyai pendirian masing-masing tambahan pula mereka dari parti-parti yang berbeza samada Demokratik atau Republik. Berkemungkinan besar akan berlaku pergaduhan diantara mereka kerana mereka sebagai insan mesti ada sifat tamak, dengki, cemburu dan memiliki hawa nafsu. Agak tidak logik apabila Tuhan bersifat sedemikian.
Allah juga ada mengkhabarkan sekiranya tuhan itu banyak akan menyebabkan rosakknya pentadbiran alam ini:
“Kalau ada di langit dan di bumi tuhan-tuhan yang lain dari Allah, nescaya rosaklah pentadbiran kedua-duanya. Maka (bertauhidlah kamu kepada Allah dengan menegaskan): Maha Suci Allah, Tuhan yang mempunyai Arasy, dari apa yang mereka sifatkan.” (Surah al Anbiyaa’: 22)
Sebenarnya manusia juga dapat memahami akan berlaku kebobrokan sistem pentadbiran alam ini sekiranya tuhan itu melebihi dari satu. Sebagai contoh di dalam agama Hindu, kitab Siva Purana ada menceritakan kisah peperangan sengit antara tuhan Brahma dengan Visnu, peperangan itu menyebabkan para dewa di langit berasa bimbang akan kehancuran alam. Siva Purana menceritakan:
“Kedua dewa yang tangguh itu, dengan kenderaan masing-masing maka keduanya mulai bertarung. Visnu dengan mengenderai Garuda, Brahma dengan Angsa, sedangkan para prajurit kedua dewa mula bertarung satu sama lain. Sementara itu para dewa yang lain mulai berdatangan untuk menyaksikan pertarungan yang dahsyat itu. Mereka membawa kenderaan masing-masing. Sambil menyaksikan pertarungan itu dari udara, para dewa mulai menaburkan hujan bunga. Sedangkan Visnu yang berkenderaan kuda mula tidak tahan melihat tingkah Brahma yang membuatkan beliau terpaksa mengeluarkan panah-panah sakti dan berbagai senjata sakti lainya ke arah Brahma. Sebaliknya, Brahma juga melemparkan berbagai senjata hebat ke arah Visnu. Melihat pemandangan itu, para dewa mulai ketakutan akan efek dari senjata yang mereka keluarkan untuk menyerang lawan masing-masing. Dalam keadaan itu Visnu mulai mengeluarkan senjata Mahesvara ke arah Brahma. Namun Brahma juga tidak mahu kalah, beliau mengeluarkan senjata Pasupata yang sangat hebat itu. Senjata itu mulai menerjang di angkasa dengan sinar yang sangat menyilaukan, dan suara uang amat gemuruh. Kedua senjata hebat itu kini mulai berhadapan satu sama lain, dan pertemuan kedua senjata ini akan berakibatkan hancurnya alam semesta” (Siva Purana: 5: 10-18)
Begitu juga situasi yang sama di dalam agama Zoroaster (Majusi). Dilihat dalam rujukan Parsi (myth of Persian) yang mana tulisan evolusi kedua agama Zoroaster pada zaman Parthia dan Sasanid juga memiliki kisah perbalahan di antara dua kuasa yang sama hebat iaitu kegelapan yang dikenali Ahriman (Angra Manyu) dan juga cahaya iaitu Ahura Mazda (Tuhan). Dari perbalahan ini wujudnya konsep dualisme dalam Zoroaster.
Begitu juga di dalam buku Kojiki dan juga Nihon Shoki yang merupakan dua buah buku terawal menceritakan sejarah negara Jepun. Di dalam buku ini mengetengahkan mitos kepercayaan masyarakat Jepun (Shinto) mengenai sejarah dewa-dewi mereka. Diceritakan juga cerita Dewi Ameterasu Omikami (dewi matahari) berbalah dengan Dewi Tsukuyomi (Bulan) dengan menuduh Tsukuyomi adalah dewi jahat lalu menyebabkan Ameterasu menjauhkan diri dengannya dan itu alasan kenapa malam dan siang tidak pernah bersama. Dalam buku ini juga ada menceritakan kisah peperangan antara Dewi Ameterasu dengan Susanoo (dewa ribut).
Dalam kepercayaan lain juga memiliki kisah pertarungan antara dewa-dewi seperti mitos dewa Yunani, mitos dewa dalam kepercayaan Asatru (Norse Cult) iaitu dewa Loki dan Thor. Begitu juga mitos perang dewa Mesir antara Horus melawan Set. Dalam mitos dewa-dewi Cina pula ada peperangan antara dewa air Gong Gong dengan dewa api Zhurong dan lain-lain. Hakikatnya ia menggambarkan kecelaruan (peperangan) dalam kuasa pentadbiran alam.
Allah Maha Mengetahui berlakunya kerosakkan sekiranya hal ini benar-benar terjadi. Malah manusia juga memahami akan berlakunya kerosakkan pentadbiran alam ini jika tuhan itu ramai. Jika tidak, mana mungkin wujudnya mitos-mitos peperangan tuhan di dalam kepercayaan mereka. Kadang kala punca peperangan itu disebabkan oleh perkara yang remeh temeh.
Oleh kerana sebahagian manusia di dunia ini beranggapan tuhan itu seperti manusia, adanya lemah, adanya dendam, adanya kesedihan sehingga memerlukan tuhan berkorban untuk manusia dan perkara itu secara langsung telah menempel sifat lemah manusia itu kepada tuhan.
Oleh kerana manusia itu dirumitkan kepada mereka untuk memahami bagaimana Tuhan yang sebenar yang Maha Esa itu dengan perlunya ditambah imaginasi dan cerita untuk membantu mereka bagi memahami bagaimana bentuk tuhan itu kuat dengan mitos perang dan sebagainya.
Akan tetapi sekiranya mereka berani menggunakan sedikit akal dan fikiran untuk merenungi kebobrokan kepercayaan ini, nescaya tidak susah untuk mereka memahami mengapa perlunya Tuhan itu Esa. Malah konsep ketuhanan yang sebenar ini sudah pun dikhabarkan kepada manusia, tetapi mereka telah memilih jalan untuk mengubah dan menokok tambah kepercayaan mereka dengan mengatakan Tuhan mereka itu lebih dari satu:
a) Khabar mengenai perlunya Tuhan itu Esa terdapat di dalam kitab suci dalam agama terdahulu yang dibawa oleh utusan Allah. Di dalam kitab Veda dan Upanishad:
“Ekam Sad Vipra Bahudha Vadanty”
Para pendeta terpelajar menyebut yang Tuhan yang satu dengan banyak nama” (Rig Veda buku 1, rangkap 164 ayat 46)
“Ekam eva advityam Brahman”
“Tuhan hanya satu, tidak ada yang kedua” (Chandogya Upanishad bab 6 rangkap 2 ayat 1)
b) Begitu juga peninggalan di Mesir Kuno mengenai Tuhan yang Maha Esa. Terdapat batu bersurat di kuil Karnak dan batu di makam dekat Tell-el-Amarna terdapat tulisan yang menceritakan mengenai Tuhan Aten:
“Aten yang wujud, tidak ada lain selain Dia”
“Dia terlahir dengan sendirinya”
“Dia yang menetapkan hukum di dalam kehidupan, Tuhan kepada sinar matahari”
“Dunia datang daripada tangan-Mu (Aten)”
c) Di dalam agama Yahudi juga menyatakan mengenai konsep Tuhan Maha Esa:
“Tuhan telah melakukan semua perkara itu supaya kamu tahu bahawa Dia satu-satunya Allah dan tidak ada yang lain.” (Keluaran 4: 35)
d) Di dalam kitab suci Taoisme, Dao De Ching oleh Lao Tze mengatakan:
昔之得一者:天得一以清;地得一以寧;神得一以靈;谷得一以盈;萬物得一以生;侯王得一以為天下貞。其致之,天無以清,將恐裂;地無以寧,將恐發;神無以靈,將恐歇;谷無以盈,將恐竭;萬物無以生,將恐滅;侯王無以貴高將恐蹶。故貴以賤為本,高以下為基。是以侯王自稱孤、寡、不穀。此非以賤為本耶?非乎?故致數譽無譽。不欲琭琭如玉,珞珞如石。
Terjemahan Dr. I.D. Lika:
“Hanya satu yang Maha Esa dan Maha Kuasa, iaitu DAO! Kerana itu, DAO dapat diandaikan sebagai YANG SATU! Sejak zaman dahulu, langit kalau mendapat yang SATU akan jernih dan bening. DI kalau mendapat yang SATU akan tenang, SHEN kalau mendapatkan yang SATU akan menjadi sakti. Lembah pergunungan kalau mendapatkan yang SATU akan penuh berisi. Semua makhluk menjadi hidup kalau mendapatkan yang SATU. Kalau penguasa mendapatkan yang SATU, negaranya akan damai tenteram dan harmonis. Sebaliknya, kalau langit tidak mendapatkan jernih dan bening, mungkin akan hancur berantakan. Kalau DI tidak mendapatkan tenang, mungkin akan terjadi bencana. Kalau SHEN tidak sakti mungkin akan lenyap. Kalau lembah tidak penuh berisi, mungkin akan kosong dan kering. Kalau semua makhluk hidup tidak mendapatkan kehidupan, semuanya akan binasa. Kalau para penguasa tidak menjalankan DAO, pasti akan diturunkan dari kekuasaannya.” (Dao Te Ching: bab 39: Dao De Gen Ben)
e) Agama Kristian, Jesus mengatakan Tuhan itu Esa:
“Inilah perintah utama, dengarlah, hai bangsa Israel! Tuhan Allah kita, Dialah Tuhan yang Esa” (Markus 12: 29)
Itulah sebahagian teks terdahulu yang memiliki teks ajaran tauhid mengenai Tuhan. Teks inilah yang telah dicemari dengan syirik oleh kaum terdahulu dan akhirnya dibersihkan semula oleh nabi terakhir iaitu nabi Muhammad SAW.
Wallahua’lam.
[Sumber: FB Multiracial Reverted Muslims]
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment