Thursday, January 12, 2017

Teladani Yang Di Atas Dan Di Bawah




Pesan nabi s.a.w.:
عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهم عَلَيْهِ وَسَلَّمَ انْظُرُوا إِلَى مَنْ أَسْفَلَ مِنْكُمْ وَلَا تَنْظُرُوا إِلَى مَنْ هُوَ فَوْقَكُمْ فَهُوَ أَجْدَرُ أَنْ لَا تَزْدَرُوا نِعْمَةَ اللَّهِ عَلَيْكُمْ (مُتَّفَقٌ عَلَيْهِ)
Dari Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu ia berkata, “Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda, “Lihatlah orang yang berada di bawah kamu, dan jangan lihat orang yang berada di atas kamu, kerana dengan begitu kamu tidak meremehkan nikmat Allah yang diberikan-Nya kepada kamu” (HR. Bukhari-Muslim)

Hadis ini mengajar kita supaya bersyukur dengan apa yg kita ada, namun tidaklah salah untuk kita berusaha membaiki diri,cuma tidak meletakkan seluruh matlamat hidup untuk jadi kaya raya. Lihat mereka yang lebih susah hidup berbanding kita akan mendidik hati kita untuk bersyukur.

Dalam hadis lain:
إِذَا نَظَرَ أَحَدُكُمْ إِلَى مَنْ فُضِّلَ عَلَيْهِ فِي الْمَالِ وَالْخَلْقِ فَلْيَنْظُرْ إِلَى مَنْ هُوَ أَسْفَلَ مِنْهُ مِمَّنْ فُضِّلَ عَلَيْهِ
“Apabila salah seorang di antara kamu melihat kepada orang yang berada di atasnya dalam hal harta dan dan kebendaan, maka hendaknya ia melihat kepada orang yang berada di bawahnya di antara mereka yang diberikan kelebihan.” (HR. Muslim)

Perlu diketahui, tidak ada seorang pun yang tertimpa musibah di dunia ini, kecuali dia akan menemukan orang yang lebih besar lagi musibahnya. Dengan melihat orang yang berada di bawahnya, maka rasa sedih yang dia rasakan akan berkurang dan membantunya untuk bersabar kerana ternyata masih ada orang yang lebih berat musibahnya.

Sabda nabi s.a.w.:
Dari Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu ia berkata, “Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda, "Barang siapa yang melihat orang yang tertimpa musibah, lalu dia mengucapkan
الحَمْدُ لِلَّهِ الَّذِي عَافَانِي مِمَّا ابْتَلَاكَ بِهِ، وَفَضَّلَنِي عَلَى كَثِيرٍ مِمَّنْ خَلَقَ تَفْضِيل
( Segala puji bagi Allah yang telah menjagaku dari musibah yang menimpamu, dan melebihkan diriku di atas kebanyakan manusia dengan kelebihan yang banyak), maka ia tidak akan tertimpa musibah itu” (HR. Tirmidzi dan dishahihkan oleh Syaikh Al Albani)

Hadis ini menjelaskan lebih lanjut bahawa bila melihat orang lain tertimpa musibah, kita kena bersyukur dan merasa Allah melebihkan kita.

Para ulama menjelaskan dalam hal ibadat kita perlu melihat orang ysng di atas dari yang di bawah. Maksudnya supaya kita sentiasa merasa kurang dalam ibadat berbanding orang lain, bukan merasa ujub bahawa kita lebih banyak ibadat dari orang lain.

Sebab itu kita kena memandang orang yang lebih kuat ibadatnya,ingin menirunya dan merasa diri kita masih kurang. Dengan itu jika kita melihat orang yang kuat ibadatnya, sedekah jariahnya, kerja kebajikannya, maka melihat orang yg di atas seperti ini lebih baik kerana kekayaannya diganding dengan ketaatan kepada Allah. Itulah yang terbaik untuk dicontohi.

Jadi bila kita bertemu orang yang berjaya dengan keduniaannya yang mempamerkan kekayaan mereka, berpalinglah dan lihat pada mereka yang jauh lebih susah dari kita.

Bila melihat seorang ahli ibadat yang gigih dalam kerja kebajikan, perjuangan Islam sama ada dia kaya atau miskin, itulah orang yang patut dijadikan teladan.

Jika panduan yang diberi nabi ini kita patuhi, kita tidak akan bimbangkan keduniaan, tidak tersalah arah hidup, tidak ada sifat riak dan ujub. Wallahua'lam

[Abdul Ghani Haron]

No comments:

Post a Comment